Hanya 15 saat! varian Delta 'menyerang' melalui udara. Berikut 7 fakta perlu ambil tahu...

A
A
A

DALAM tempoh 15 saat sahaja jangkitan varian Delta Covid-19 boleh merebak melalui udara. Fakta tersebut secara tidak langsung menjentik kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Sebelum ini, pelbagai varian dikenal pasti namun Delta disifatkan 'mengganas' dan meningkatkan kadar kebolehjangkitan dengan cepat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini memberi amaran bahawa varian terbabit lebih ekstrem dan sentiasa bermutasi sehingga menyebabkan dunia kini fasa bahaya.

Dikatakan varian Delta dikesan pada akhir tahun 2020 di India sebelum menular di pelbagai negara antaranya Indonesia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman, Kanada, Portugal dan Sepanyol.

Di Malaysia setakat 30 Jun lalu hasil penjujukan genom menunjukkan sebanyak 40 kes jangkitan Covid-19 varian Delta telah dikesan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, sifat varian Delta berubah-ubah.

Jika sebelum ini, kontak rapat terdedah kepada positif Covid-19 kira-kira 15 minit pada jarak kurang satu meter, namun varian Delta menjangkiti 15 saat sahaja melalui udara.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya ters mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka berganda dan elak berada di kawasan sesak, sempit dan sistem pengudaraan kurang baik," katanya dalam satu hantaran menerusi laman sosial Twitter.

Sementara itu, Dr Noor Hisham juga menyatakan selain mengamalkan SOP masyarakat juga disarankan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 bagi membendung penularan jangkitan dalam komuniti.

7 fakta varian Delta

1. Varian itu juga dikenali sebagai B.1.617.2.

2. Ia pertama kali dikesan di India pada Oktober 2020 dan kini merebak ke 111 negara di seluruh dunia.

3. Kadar kebolehjangkitan varian biasa antara 2.5 hingga 3, tetapi varian Delta adalah tinggi antara 5 hingga 8.

4. Varian Delta mencetuskan ‘tsunami Covid-19’ di India sehingga sistem perkhidmatan kesihatan di negara itu hampir lumpuh.

5. Dalam satu kajian di China mendapati pesakit dijangkiti varian Delta yang tidak divaksinasi mengalami gangguan sistem pernafasan 1,000 kali ganda lebih lebih tinggi berbanding mereka dijangkiti strain asli Covid-19.

6. Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC) telah mengklasifikasikan sebagai variant of concern (VOC) kerana mudah menular dan menyebabkan komplikasi parah.

7. CDC mengesyorkan orang ramai segera mendapatkan suntikan vaksin untuk melindungi diri.

Baca juga Awas! Varian Baharu Merebak Lebih Cepat, Terus Kekal Di Rumah

Gejala Covid-19 varian Delta

1. Sakit kepala

2. Sakit tekak

3. Selsema

4. Demam

5. Batuk

Dalam perkembangan berkaitan di India kajian mendapati pesakit dijangkiti varian Delta juga mengalami sakit perut, mual, muntah, hilang selera makan dan sakit sendi.

Sementara itu di Indonesia pula sebilangan kecil pesakit berdepan dengan gejala hilang pendengaran dan pembekuan darah yang menyebabkan kematian tisu atau gangren.

Sumber: KKM, WHO, Hackensack Meridian Health, Scientific American, CNN Indonesia

Foto: Pixabay

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca