Latih anak berpuasa, ini cara berkesan ajar berperingkat ikut waktu solat

A
A
A

BEBERAPA hari sahaja lagi kita bakal menyambut bulan Ramadan yang mulia.

Sememangnya umat Islam menantikan kedatangan bulan yang penuh rahmat itu malah jika ditanya pada anak-anak, pastinya mereka juga tidak sabar untuk berpuasa pada hari pertama

Ramadan.

Namun, bilakah waktu yang sesuai bagi seorang kanak-kanak itu perlu dididik untuk berpuasa?

Menurut Imam al-Nawawi di dalam Kitab Majmu’ yang bermaksud:

"Al-Shirazi dan ulama mazhab al-Syafie menyatakan apabila seorang anak itu mampu berpuasa, maka wali wajib menyuruhnya berpuasa ketika berusia tujuh tahun, dengan syarat dia sudah mumayyiz. Dan memukulnya sekiranya dia tidak berpuasa ketika usia 10 tahun. Anak perempuan sama seperti anak lelaki tanpa khilaf."

Maksud tujuh tahun ialah setelah sempurna umur tujuh dan memasuki lapan. Juga setelah sempurna umur sepuluh tahun dan memasuki sebelas tahun.

Hal ini diqiyaskan dengan hadis suruhan mendidik anak-anak untuk solat:

Maksudnya: "Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun, dan apabila dia berumur sepuluh tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan

melukakan dengan tujuan untuk mendidik)." [HR Abu Daud, No. Hadis 494]

Walau bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga hendaklah menilai sejauh mana kemampuan kanak-kanak tersebut untuk berpuasa serta memastikan ia tidak menyebabkan kemudaratan kepada

mereka.

Menurut pendakwah, Ustazah Asma’ Harun ini antara cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga untuk mendidik anak-anak berpuasa;

Latih anak berpuasa, ini cara berkesan ajar berperingkat ikut waktu solat

1. Menjadi role model bagi anak-anak.

• Ibu bapa adalah watak utama dalam menunjukkan contoh yang terbaik kepada anak-anak. Jadi, pamerkanlah akhlak yang baik dengan mempraktikkan ibadah-ibadah semasa Ramadan seperti

tadarus Al-Quran, berterawih dan amalan bersedekah.

• Sekiranya ibu itu tidak berpuasa (uzur syarie) elakkan makan di hadapan anak-anak.

2. Berbicara mengenai puasa.

• Menjelaskan kepada anak-anak mengenai puasa secara santai seperti berkongsi kisah nabi-nabi, cara puasa Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan kisah-kisah teladan.

• Mengajar anak-anak cara membaca niat puasa, memberitahu syarat wajib dan syarat sah puasa, rukun puasa, ganjaran bagi orang yang berpuasa dan keistimewaan berpuasa Ramadan.

• Mengucapkan kata-kata semangat kepada anak-anak supaya timbulnya perasaan teruja menunggu kehadiran Ramadan.

3. Mengajar anak-anak berpuasa secara berperingkat mengikut waktu solat.

• Fasa pertama : Puasa hingga waktu Dhuha

• Fasa kedua : Puasa hingga waktu Zohor

• Fasa ketiga : Puasa hingga waktu Asar

• Fasa terakhir : Puasa hingga waktu Maghrib

Fasa begini dilakukan supaya tubuh serta minda anak-anak bersedia dan mereka tidak rasa terbeban jika terpaksa untuk terus berpuasa sepenuh hari.

Baca juga Mudah! Sistem pendaftaran perkahwinan kini boleh dibuat secara online

4. Memberi ganjaran kepada anak.

• Berilah dakapan dan pujian atas kejayaan usaha mereka melaksanakan puasa tanpa mengambil kira mereka berjaya berpuasa penuh atau tidak.

• Menyediakan makanan kegemaran anak-anak untuk berbuka.

• Jika perlu, berikan hadiah supaya mereka lebih bersemangat untuk meneruskan puasa sehingga ke akhir Ramadan.

5. Mendoakan anak-anak diberikan kefahaman agama:

Maksudnya: “Ya Allah, berikan kefahaman agama kepadanya dan ajarkannya takwil (tafsir al-Quran). [HR Ahmad]

Justeru, ibu bapa atau penjaga perlu mengetahui tahap kemampuan anak-anak supaya sebarang kemudaratan tidak berlaku.

Oleh itu, pentingnya bagi kita untuk menyediakan diri dengan ilmu yang mantap mengenai puasa Ramadan supaya ia dapat diwariskan pada anak-anak seterusnya generasi yang akan datang.

Semoga kita semua akan menempuh Ramadan kali ini dengan penghayatan yang berbeza. Semoga bermanfaat buat semua.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca