"Ramai doktor menangis kecewa, tak mampu selamatkan pesakit muda Covid-19"- doktor sifatkan varian baharu licik
Jangan lupa follow kami di Instagram!
BAGI yang pernah mengalami jangkitan Covid-19 pasti mengetahui betapa getirnya berjuang melawan
kesakitan untuk terus bertahan.
Begitu juga dengan barisan hadapan yang saban hari komited ketepikan lelah dalam menguruskan pesakit pelbagai fasa jangkitan wabak tersebut.
Seorang doktor dikenali Hana Hadzrami mendedahkan bermacam-macam cabaran dihadapi barisan hadapan dan pesakit Covid-19.
Katanya golongan pesakit bertarung nyawa melawan virus tersebut dalam keadaan nafas yang lemah ekoran kekurangan oksigen.
"Semalam pesakit Covid-19 saya meninggal dunia. Cardiac arrest ketika dalam posisi telangkup, intubated. Kelam kabut kami telentangkan untuk Cardio-Pulmonary Resuscitation (CPR)."Tekanan saluran pernafasan sangat tinggi, namun bukan disebabkan tiub tersumbat atau terbengkok. Memang perubahan ARDS paru-paru sangat teruk dengan tekanan tinggi.
"Beliau baharu awal 40-an. Semenjak kami tahu yang beliau balu dengan anak dua kami memang sangat
berwaspada. Bayangkan semenjak masuk unit rawatan rapi (ICU), kami tak perasan yang setiap hari kami duk update melalui telefon anak beliau yang baru berumur 15 tahun. Semua sangka bercakap dengan anak dewasa. Sampailah hari saya on call baru tahu.
"Beliau tinggal di rumah kuarantin berdua dengan adiknya yang berumur 12 tahun. Kami tanya ada saudara mara lain? Langsung tiada. Tiada datuk nenek. Tiada pak cik, mak cik. Ayah dah meninggal. Hanya jiran yang baik hati tolong hantar makanan semenjak ibu mereka masuk wad. Dalam dunia cuma mereka bertiga. Bayangkan.
"Jadi kami lakukan CPR dengan penuh kesungguhan. Terlalu desperate sambil berdoa dalam hati; Tuhan, ampunkan kami semua, tolonglah selamatkan dia. Namun dia tetap pergi.
"Sewaktu saya suruh MO sampaikan berita pada anak beliau pada jam 1 pagi dalam hati saya tertanya-tanya bagaimana budak umur 15 tahun nak uruskan pengebumian ibunya. Hati saya benar-benar kosong waktu saya mandi selepas doffing. Menangis dalam shower," ujarnya.
Coret Hana lagi, ramai doktor bersedih tidak dapat menyelamatkan pesakit yang berusia masih muda.
"Namun kesedihan itu tak bertahan lama. Setengah jam kemudian saya dipanggil masuk ke ICU kerana ada pesakit lain yang berumur 30 tahun tiba-tiba desaturate (paras oksigen darah turun). Tukar tiub, telangkupkan dia. Sibuk sampai ke pagi."Begitulah keadaan kami. Berapa ramai pakar dan doktor muda menangis kecewa sebab tak mampu selamatkan pesakit Covid-19 muda.
"Sekarang umur 20-30 tahun pun boleh meninggal secara tiba-tiba depan mata. Licik sungguh varian baharu ini.
Baca juga Anggaplah semua orang ada Covid-19, elak makan bersama, jangan menziarah
"Kami sedih namun tak sempat berduka. Segala keperitan kami simpan jauh dalam lubuk hati. Simpan, simpan, simpan hingga hati keras dan kebas. Sampai bila?
"Takkan kami lupakan sampai bila-bila, pandemik yang meyatim-piatukan ramai anak-anak ini," kongsi beliau.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang