Safawi perlu berhati-hati, ambil iktibar daripada Ronaldinho
BARU-BARU ini tular di media sosial apabila penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid dilihat berbelanja mewah menerusi pembelian kereta baharu sempena hari raya berjenama Porsche Cayman 987.
Kenderaan mewah tersebut pernah mencecah nilai lebih setengah juta sewaktu dilancarkan itu dikongsi oleh Safawi sendiri di laman sosial Instagram miliknya dengan caption ringkas iaitu SHRMZB.
Bintang bola sepak JDT itu juga dikatakan enggan mendedahkan nilai sebenar kereta jenama Porsche yang dibelinya baru-baru ini.
Safawi berkata, gambar di laman sosial itu menjadi sumber inpirasinya untuk terus mengekalkan prestasi dan mempamerkan aksi terbaik di atas padang pada masa akan datang.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa pula berpendapat agar Safawi lebih berhati-hati dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku terhadap bintang bola sepak dunia, Ronaldinho.
Memetik laporan yang diterbitkan oleh salah sebuah portal akhbar tempatan, menurut Sadek, tiada siapa boleh menghalang sekiranya Safawi mahu bergaya hidup mewah.
Namun, sebagai pemain bola sepak, Safawi perlu tahu untuk mengimbangkan antara keperluan dan kehendak serta bijak merancang untuk persaraannya nanti.
“Kita boleh lihat banyak contoh seperti ada pemain sebelum ini yang mengamalkan gaya hidup mewah namun selepas tidak lagi bermain, mereka terbeban dengan hutang yang terpaksa ditanggung.“Antara contoh terdekat yang boleh di buat contoh adalah pemain bola sepak terkenal dunia, Ronaldinho. Kita tidak mahu Safawi berada dalam situasi sama nanti.
“Bergaya itu tidak salah tetapi perlu beringat juga. Karier bola sepak tidak begitu panjang, jadi sebab itulah ketika dia sedang berada di puncak ketika ini, dia perlu ada rancangan untuk hari tuanya.
“Sebagai pemain muda, Safawi perlu bijak dan juga boleh mengambil nasihat daripada pemain senior di JDT yang banyak meneroka peluang di luar bidang bola sepak seperti hartanah dan perniagaan.
“Untuk berseronok dan bergaya ketika waktu muda bagi menjaga imej eksklusif itu tidak salah, tetapi pastikan kita dapat terus selesa pada hari tua nanti khususnya kalau tidak lagi terbabit dalam industri bola sepak," katanya.
Seperti apa yang berlaku buat Ronaldinho yang juga pemenang Ballon d'Or pada 2005, dia dilaporkan memiliki kekayaan 80 juta pound (RM428 juta) namun selepas bersara, dia berdepan pelbagai masalah kewangan dan pernah dilaporkan hanya memiliki sejumlah 5 pound (RM26) dalam akaun banknya.
Jadikanlah itu satu contoh dan ikhtibar buat semua malahan turut tidak terkecuali buat Safawi sendiri.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang