Sesekali muncul dan berjaya dirakam penduduk, akhirnya Perhilitan sahkan ada buaya di Sungai Lalang
SAH buaya! Teka-teki yang bermain di fikiran penduduk setempat setelah tular di media sosial gambar kelibat beberapa ekor buaya yang sedang berenang dan berjemur didakwa di Sungai Lalang yang terletak berhampiran Taman Aman Suria, dekat Masjid Putih, Sungai Petani akhirnya terjawab.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah akhirnya mengesahkan terdapat beberapa ekor buaya di Sungai Lalang yang terletak berhampiran Taman Aman Suria, dekat Sungai Petani, Kedah.
Memetik laporan portal media tempatan, pengarahnya, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, kelibat buaya berkenaan telah lama dikesan di situ kerana sungai tersebut adalah habitat haiwan berkenaan, namun setakat ini tiada aduan daripada penduduk setempat mengenai ancamannya.
"Kami sedia maklum mengenai kehadiran buaya di situ, berdasarkan pemantauan kami dianggarkan 30 hingga 40 ekor buaya mendiami sungai itu, namun ia tidak mengganggu manusia."Sekarang orang ramai sudah mempunyai telefon pintar dan boleh merakam gambar buaya berjemur di tepi sungai berkenaan sebab tu mudah ditularkan," katanya.
Bagaimanapun beliau menasihatkan penduduk setempat agar berhati-hati ketika berada berhampiran atau menggunakan sungai tersebut bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.
Sebagai langkah keselamatan, Jamalun Nasir berkata, pihaknya juga akan memasang padan tanda amaran di lokasi dikenal pasti di kawasan sungai tersebut agar orang ramai lebih berwaspada.
Terdahulu, gambar kelibat beberapa ekor buaya yang sedang berenang dan berjemur didakwa di Sungai Lalang dikongsikan di media sosial oleh seorang penduduk.
Sementara itu, seorang penduduk Ashri Abdul, 54, dari Kampung Pinang Luar, Sungai Petani turut mengesahkan kehadiran buaya di sungai tersebut dan pernah beberapa kali terserempak dengan haiwan itu ketika dia menjala udang.
Bagaimanapun menurutnya, buaya terbabit tidak mengganggu manusia dan hanya sesekali muncul di permukaan atau di tepi sungai.
"Saya ke sungai ini untuk menjala udang, memang rasa takut apabila melihat kelibat buaya tapi buaya di situ tidak mengganggu manusia, tetapi kita kena berhati-hati jugalah demi keselamatan diri," katanya.
BERNAMA
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang