Tak perlu ‘lantik’ diri jadi doktor Google, serahkan kepada pakar yang bertanggungjawab
BAK kata pepatah, maklumat kini semua berada di hujung jari.
Jadi, gunakanlah dengan bijaksana dan penuh berhemah.
Pastinya kini, semua maklumat sangat cepat tersebar dan kadangkala berlaku juga beberapa insiden penyebaran berita tidak benar terutamanya mengenai penyakit Covid-19.
Masakan tidak, pelbagai kaedah perawatan dikongsikan sehingga ada yang tidak masuk akal. Parah!
Prihatin dengan keadaan itu, Pegawai Perubatan, Klinik Ajwa Shah Alam, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman melalui Facebook berkongsi pandangannya.
“Baru-baru ini, apabila satu berita dari sumber negara luar tersebar luas menyatakan ivermectin (IVM) iaitu ubat cacing dan kutu boleh dijadikan rawatan kepada pesakit Covid-19 kerana keupayaannya membunuh virus tersebut di dalam makmal.
“Semua berpusu-pusu hendak membelinya sehinggakan ubat cacing di kaunter menjadi ‘popular’ di kedai atau farmasi secara tiba-tiba. Habis semua anak, datuk dan nenek dipaksa makan ubat cacing,” tulis Dr Arisman semalam.
Sebenarnya, untuk pengetahuan pembaca SinarPlus, di Malaysia, ubat IVM hanya didaftarkan untuk haiwan sahaja!
“Tidak kurang hebatnya apabila terdapatnya satu berita yang menyatakan ubat gout pula iaitu colchicine boleh mengurangkan komplikasi kepada pesakit Covid-19 tahap ringan supaya tidak menjadi serius, mengurangkan kes kematian, mengurangkan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memendekkan masa pakai bantuan alat pernafasan.
“Laku keras ubat tersebut. Tiba-tiba ramai pula warga emas yang datang ke klinik dan menyatakan sakit sendi lalu meminta doktor membekalkan ubat gout sambil mengomel ubat tersebut dapat mencegah Covid-19,” keluhnya.
Baru-baru inu, kajian dari luar negara menggunakan full dose of anticoagulant iaitu ubat mengelakkan darah beku juga boleh mengurangkan kes kematian Covid-19 pada pesakit tahap kritikal.
Perkara itu disokong dengan kajian menunjukkan banyak darah beku pada pesakit Covid-19 seperti pada jantung.
“Sebenarnya, Malaysia sudah lama memasukkan rawatan antikoagulan ini untuk pesakit tahap 4 dan 5 pada kondisi tertentu seperti pencegahan terjadinya thromboembolism kerana pesakit tidak mampu bergerak (bed ridden).
“Namun, ia bahaya jika disalahgunakan. Tidak semua orang boleh ambil ubat antikoagulan ini!,” tegas Arisman.
Katanya lagi, nasib baik ubat itu terkawal, maka ia tidak boleh dibeli di kaunter.
“Ingat, jangan pandai-pandai ingin menipu doktor mengaku ada penyakit jantung atau alami masalah darah pekat pula,” pesannya lagi.
Usah juga jadi doktor ‘Google’!
Baca juga Genap setahun, ini sejarah Covid-19 landa negara kita
Jika ragu-ragu atau mahukan kepastian, tanyalah doktor di klinik atau hospital.
“Ubat seperti ivermectin dan colchicine dalam merawat Covid-19 masih dalam kajian dan percubaan. Ia tidak konklusif lagi dan masih belum dipakai dalam Malaysia.
“Jika negara-negara besar sudah menggunakannya dan keberkesanannya diakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, sudah pasti Malaysia juga akan menggunakannya kerana kita mahukan yang terbaik dalam merawat pesakit-pesakit kita,” tambah Dr Arisman.
Jadi, SinarPlus ingin ingatkan kepada semua pembaca di luar sana, tidak perlu gusar sebaliknya serahkan tugas tersebut kepada pihak berautoriti dan pakar hebat bagi mengendalikannya.
Ingat, tugas kita sekarang adalah patuhi prosedur operasi standard dan paling penting apabila berada dalam tempoh berkuarantin di rumah, jangan merayau kerana ia sangat memberi kesan kepada orang lain. Ayuh putuskan rantaian wabak Covid-19 segera! #kitajagakita
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang