Tidak melatah isu ‘buat bodoh-bodoh’, Prof Muhaya mohon maaf timbulkan perbalahan dan sangkaan kalangan warganet

A
A
A

ISU berkaitan video rakaman yang dimuatnaik oleh Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad menjadi tular ekoran daripada perkataan ‘buat bodoh-bodoh’ yang digunakan.

Video berdurasi 56 saat itu mendapat pelbagai reaksi daripada warganet terutama sekali tentang wanita yang lambat mendapat jodoh dan tidak berkahwin menjadi tular pada Rabu sehingga trending di beberapa media sosial.

Pakar oftalmologi kelahiran Terengganu itu bagaimanapun menyatakan permohonan maaf berkenaan isu itu semalam kerana timbulnya salah faham dan pelbagai reaksi kurang senang dalam masyarakat.

Beliau menjelaskan bahawa video berkenaan adalah hasil suntingan di mana daripada durasi 45 minit dipendekkan kepada 56 saat bagi menjawab soalan yang diajukan pembantunya dalam penstriman langsung.

“Untuk makluman, hantaran klip 56 saat tersebut adalah petikan dari live di Facebook Page Prof Muhaya dan Youtube Prof Muhaya TV berdurasi 45 minit yang diterbitkan pada 6 Feb 2021 jam 6 petang bertajuk “Antara Cinta Dan Cita-Cita”.

“Siaran live Bonda tersebut adalah sebenarnya bagi menjawab persoalan KK Talib dan komen-komen dari FB, berkaitan wanita yang dalam dilema, antara mengejar kerjaya, cinta serta keluarga.

“Secara teknikalnya, ini adalah video lama. Bagaimanapun Bonda faham klip yang telah disunting kepada 56 saat ini, telah menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat, terutamanya kaum wanita sehingga menimbulkan persoalan, perbalahan dan sangkaan,” tulisnya.

Terkait dengan kontroversi berkenaan, wanita Islam pertama Malaysia mendapat sebuah pengiktirafan Fellow Royal College of Surgeons (FRCS) di Edinburgh, Scotland ini memohon maaf dan dalam masa yang sama menyampaikan penghargaan buat mereka yang bertanya tentang perkara sebenar dan menanti kenyataan rasmi beliau.

“Bonda mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf atas salah faham yang timbul dan ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang ambil berat termasuk pihak media, rakan-rakan dan keluarga yang mengambil inisiatif tabayyun, atau bertanya akan perkara sebenarnya kepada Bonda mahupun team Bonda.

“Kepada pihak media juga, sangat baik budi akhlaknya sehingga kini menanti statement Bonda, maka Bonda tampil membuat penjelasan ini. Terima kasih kerana sabar ya,” kongsi wanita berusia 62 tahun itu.

Beliau juga turut menyertakan rakaman video penuh berkaitan tajuk yang diketengahkan sebelum ini sebagai penjelasan lanjut.

“Sebenarnya buat yang mahu mendapatkan penjelasan lanjut, semua jawapan terkandung di pautan youtube Prof Muhaya TV bertajuk Cinta & Cita-Cita (swipe up story untuk tonton video penuh)

“Bonda juga seorang wanita, isteri, ibu dan nenek yang berkerjaya dan semestinya sentiasa mendukung, mendoakan wanita semua berjaya ke puncak tertinggi, berbahagia dunia akhirat dan mendapat reda ALLAH,” tulisnya.

Pernah bertugas sebagai pensyarah perubatan di sebuah universiti awam, Prof Muhaya telah berjaya mendidik lebih 70 pakar mata sejak 1998. Di akhir kenyataannya berkenaan isu kontroversi itu, beliau turut menghadiahkan nota ringkas live 'Cinta & Cita-Cita' di Youtube sebagai rujukan bagi menjawab segala persoalan yang timbul.

 

Sumber: Prof Dr Muhaya

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca