Kolaborasi Yayasan Abadi dan Mardhiyyah Hotel & Suites santuni anak yatim & asnaf menerusi fftar amal nur kasih Ramadan

KEBAIKAN dan kasih sayang tidak mengenal waktu, tetapi ada saat-saat istimewa yang memberi lebih makna untuk berkongsi dengan mereka yang memerlukan.
Dengan semangat memberi dan menyantuni golongan kurang berkemampuan, Mardhiyyah Hotel & Suites (MHS) bersama Yayasan Abadi menganjurkan majlis berbuka puasa amal, Nur Kasih Ramadan, yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana penuh mesra dan harmoni.

Majlis ini bukan sekadar berbuka puasa biasa, tetapi satu platform untuk MHS menyumbang kembali kepada komuniti yang memerlukan. Menurut Pengarah Urusan Mardhiyyah Hotel & Suites, Datuk Seri Hj Mohamed Rafik Hj. Mohd Idris, majlis tersebut adalah cara mereka meraikan dan membantu golongan yang kurang berkemampuan.
“Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua tetamu kerana sudi menerima jemputan kami untuk hadir ke majlis Nur Kasih Ramadan tahun ini.
"Majlis yang bermakna ini membolehkan Mardhiyyah Hotel & Suites berpeluang menyumbang kembali kepada masyarakat dengan menganjurkan, meraikan dan mengagihkan sedikit sumbangan kepada kumpulan sasaran di sekitar Lembah Klang," ujarnya.
Antara kumpulan yang diraikan dalam majlis ini termasuk rumah anak yatim, keluarga asnaf, serta wakil masjid dan surau sekitar Lembah Klang.
Mereka bukan sahaja menikmati hidangan istimewa, malah turut menerima sumbangan dana kebajikan daripada Datuk Seri Hj Mohamed Rafik Hj. Mohd Idris, yang juga Pengerusi Yayasan Abadi.

Pengisian rohani
Bagi menambah seri dan keberkatan, majlis turut diserikan dengan tazkirah dan tadabbur Ramadan oleh PU Rahmat Ikhsan.
Pengisian rohani berkenaan memberi peluang kepada para tetamu untuk merenungi hikmah Ramadan serta meningkatkan kefahaman mengenai ibadah dalam bulan yang mulia ini.
Sebagai tanda penghargaan dan kegembiraan, majlis turut menyaksikan pengagihan duit raya kepada anak-anak yatim dan keluarga asnaf yang hadir. Senyuman terpancar di wajah mereka, membuktikan bahawa sekecil mana pun pemberian, ia mampu membawa kebahagiaan.

Majlis Nur Kasih Ramadan tersebut diadakan di Dewan Perdana, Mardhiyyah Hotel & Suites, dan telah menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan.
Tahun ini, lebih 400 tetamu hadir, termasuk anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Titian Kasih, wakil dari 10 keluarga asnaf, kumpulan masjid dan surau, serta kakitangan MHS, media dan jawatankuasa Yayasan Abadi.
Melalui program ini, Mardhiyyah Hotel & Suites membuktikan bahawa dunia perhotelan bukan hanya tentang layanan kelas pertama kepada pelanggan, tetapi juga tentang memberi kembali kepada masyarakat.

Semoga majlis seperti ini terus menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk bersama menyemarakkan semangat berkongsi dan menyantuni mereka yang memerlukan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang