'Tidak mahu berlumba-lumba buka outlet'. Pemilik Mokti's Ice Cream mahu terus kekal relevan dalam industri

SURI rumah boleh menjadi usahawan. Semua itu tidak mustahil jika kita ada kemahuan, fokus dan usaha.
Lebih mudah jika perniagaan yang dibuat itu atas dasar minat dan bukannya paksaan.
Bagi Siti Fatimah Adnan yang merupakan Pengarah Urusan PMA Rich (M) Sdn Bhd yang terkenal dengan jenama Mokti’s Ice Cream, tidak menyangka angan-angan kosongnya menjadi kenyataan.
“Saya berasal daripada keluarga yang bukan orang senang. Ayah meninggal dunia sewaktu saya masih kecil. Mak yang banyak berkorban untuk membesarkan kami enam beradik. Jadi, saya tekad untuk belajar sungguh-sungguh.
“Dah tertulis jodoh awal, saya kahwin muda ketika umur 22 tahun, selepas mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Perladangan dan Agroteknologi dari UiTM Kota Samarahan, Sarawak. Selepas mendapat anak sulung, saya menetap di Bintulu kerana mengikut suami bekerja.
“Selepas melahirkan anak ketiga, saya pulang ke Perlis bersama anak-anak kerana suami ditugaskan ke Algeria. Dia hanya pulang tiga bulan sekali sahaja. Masa tinggal di Bintulu, saya dan anak-anak memang suka aiskrim gula apong. Bila pulang ke Perlis, perasaan rindu untuk rasa aiskrim tersebut,” ujar wanita berusia 34 tahun itu.

Bermula daripada rindu, anak jati Perlis itu meminjam sedikit duit ibunya untuk menghadiri kursus pembuatan aiskrim. “Bermula tahun 2021, saya berniaga kecil-kecilan aiskrim gula apong bersama adik dengan menjual dari but kereta di Pengkalan Asam, Perlis,“ jelasnya.
Hikmah pandemik Covid-19, perniagaannya semakin dikenali kerana dia rajin berkongsi mengenai aiskrim di media sosial.
Semasa pandemik juga, suaminya, Pengiran Muhammad ‘Adil Awang Iskanderndzulkarnein diminta pulang ke tanah air. Maka dari situ, mereka bergabung tenaga untuk membesarkan jenama Mokti’s ke seluruh negara.
Mengakui setiap perniagaan pasti ada pasang surut, inikan pula dibuat atas dasar modal sendiri tanpa suntikan dana pihak lain.
Justeru, Siti Fatimah reda apabila banyak outlet terpaksa ditutup bagi memastikan ‘nombor’ di dalam akaun sentiasa berkembang dan tidak memperjudikan nasib perniagaan yang telah diusahakan.
“Kini Mokti’s Ice Cream hanya mempunyai sembilan outlet dengan tenaga kerja 70 orang dalam kalangan bumiputera. Kedai utama saya di Jejawi, Perlis masih dibuka hingga kini. Alhamdulillah, permintaan semakin menggalakkan cuma kekangan outlet menyebabkan agak payah orang yang jauh merasai aiskrim gula apong kami.
“Perancangan terkini bukan lagi mahu berlumba-lumba membuka outlet yang banyak tetapi lebih kepada kekal berdiri teguh dalam industri,“ katanya.

Kongsinya lagi, persaingan dengan jenama terkenal lain antara cabaran yang terpaksa dilalui.
“Oleh itu, kami mengharapkan orang ramai terus menyokong Mokti’s kerana produk kami dijamin halal. Dengan harga RM1.90, sudah boleh merasa aiskrim kami,“ ujar Siti Fatimah.
Tambahnya lagi, untuk Ramadan kali ini, mereka membuat kelainan dengan membuat nasi briyani kuzi ayam dan kambing yang dijual di bazar.
Sepanjang tiga tahun berniaga, wanita hebat tersebut telah dianugerahkan dengan pelbagai pencapaian. Antaranya, The BrandLaurete SMEs BESTBRANDS 2022, Best Halal Ice Cream di Anugerah Nona Superwoman 2022, Outstanding Young Woman Entrepreneur Award 2022, Anugerah Usahawan Berjaya Perlis 2023, pemenang utama Anugerah RBC 2.0 2024 dan juga Anugerah Best Pay Master MARA Negeri Perlis 2025.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang