KL kawasan ‘halal’ berniaga, tapi tak semua tempat sesuai

A
A
A

PENGUMUMAN yang dibuat oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan memberi izin kepada orang ramai untuk berniaga atau membuka gerai secara kecil-kecilan di sekitar ibu kota baru-baru ini mendapat perhatian ramai pihak.

Rata-rata orang ramai juga memuji tindakan tersebut dan berharap agar peraturan yang sama akan dilaksanakan di setiap negeri.

Mana tidaknya, orang ramai terutama peniaga kecil kini mampu menarik sedikit nafas lega dan menganggap ‘tawaran’ tersebut seolah satu sinar baharu untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup tambahan pula ramai yang terkesan sejak penularan pandemik Covid-19 yang kini sedang melanda dunia.

Walaupun DBKL memberi kelonggaran kepada orang ramai untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di bandar raya yang kini dilabel sebagai “wilayah bebas berniaga”, namun tidak semua tempat sesuai untuk dijadikan tapak berniaga.

Tidak semua kawasan di sekitar bandar raya sesuai untuk berniaga

Memetik laporan portal media tempatan, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, penjaja masih perlu membuat rundingan dengan dengan pihak Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) untuk makluman dan rekod data DBKL.

Beliau berkata, memang ada kawasan yang sesuai dan boleh digunakan sebagai tempat berniaga secara percuma, tetapi DBKL perlu sentiasa mengawalnya dan tapak berniaga perlu disusun dengan teratur.

“Saya gembira sejak pengumuman Kuala Lumpur akan menjadi wilayah bebas berniaga, ia mendapat sambutan yang menggalakkan, malah kita diberitahu penjaja dari luar wilayah juga datang dan kita tidak terlalu bertegas soal itu asalkan beri kerjasama dengan MPP serta DBKL,” katanya.

Tambahan pula penjaja juga perlu untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengawal jangkitan Covid-19.

“Kita sedia maklum kawasan Lembah Klang mempunyai kes yang tinggi dan jika tidak dikawal, ia boleh melonjakkan kes jangkitan dan jika keadaan itu tidak terkawal, perniagaan juga perlu ditutup dan semua tidak boleh berniaga.

“Dalam sistem DBKL, jika berlaku pelanggaran SOP, amaran peringkat pertama, kedua akan dikeluarkan dan seterusnya penutupan serta-merta, jangan andaikan tidak ada pengawasan dan kawalan oleh pihak DBKL, malah kawalan akan diperketatkan,” katanya.

Jadi, buat mana-mana individu yang berhasrat untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan membuka gerai perlu patuh dengan setiap garis panduan yang ditetapkan.

Jangan pula korang sia-siakan peluang yang diberikan itu atau dengan sengaja melakukan perkara yang mampu mengundang padah.

Apa pun, mohonlah lesen berniaga terlebih dahulu dan selebihnya korang boleh rujuk DBKL untuk segala pencerahan.

Semoga bermanfaat!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca