[VIDEO] Cubaan langgar lari gagal, pemandu teruk dibelasah orang awam
LANGGAR lari! Cubaan seorang pemandu lori yang ingin meloloskan diri setelah terlibat dalam kemalangan yang membabitkan sebuah motosikal akhirnya membawa padah apabila dia dibelasah oleh orang ramai.
Pemandu lori tersebut itu mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan termasuk muka dipercayai dibelasah penduduk setempat ketika cuba melarikan diri.
Kemalangan yang berlaku petang semalam di Jalan Perak Kanan, Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat, Selangor itu juga sempat dirakam oleh orang ramai
Rakaman video tersebut kini tular di Twitter dan juga Facebook apabila ia mula dimuat naik oleh orang ramai sejak malam tadi.
Hasil tinjauan SinarPlus, melalui rakaman video tersebut juga jelas kelihatan pemandu lori itu bertindak drastik dengan mengundur laju tanpa menghiraukan pengguna jalan raya yang lain.
Akibat daripada tindakan pemandu lori itu juga telah menyebabkan sebuah kereta terhumban ke tebing jalan manakala sebuah lagi motosikal digilir dan nasib baik penunggang motosikal tersebut sempat terjun untuk menyelamatkan diri.
Memetik laporan portal media tempatan, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang, suspek yang memandu lori dikatakan melanggar sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang pemuda berusia 21 tahun.
Mangsa ketika itu datang dari arah bertentangan iaitu dari Jalan Banting-Dengkil menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sedang membelok ke simpang kiri.
Katanya sebaik sahaja lelaki itu dikepung orang ramai, suspek cuba melarikan diri dengan mengundurkan lorinya yang kemudian melanggar sebuah lagi motosikal serta sebuah kereta di belakangnya.
"Suspek mengalami kecederaan di kepala, leher, muka, bahagian belakang badan serta di tangan dan kaki selepas dipukul penduduk setempat," katanya dalam satu kenyataan.
Azman berkata, suspek kini sedang menerima rawatan di Hospital Banting sementara penunggang motosikal yang patah tangan dan kedua-dua kaki turut ditempatkan di hopsital yang sama.
Sementara dua lagi mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang