Hilang lebih 24 jam, anak autisme Zayn Rayyan ditemui tak bernyawa, bapa pengsan terima hakikat, ini kronologi menyentuh hati
LEBIH 24 jam hilang, suasana sayu menyelubungi selepas jasad kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa.
Lebih memilukan bapa kanak-kanak itu jatuh pengsan selepas harapan untuk melihat anaknya dijumpai hidup lenyap.
Si kecil Zayn Rayyan yang hilang di kawasan di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya dari tengah hari Selasa ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan kediamannya pada jam 10 malam, Rabu.
Mangsa ditemui terbaring di sungai yang jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Murid Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2 (SKDD2) itu ditemui lengkap berpakaian seperti ketika hilang iaitu baju-T berkolar dan berlencana sekolah, seluar dan kasut sekolah hitam.
Berikut kronologi kehilangan Zayn Rayyan yang menjadi perhatian seluruh negara:
- Kanak-kanak istimewa tersebut dilaporkan hilang pada Selasa ketika bermain di taman permainan di apartmen didiami keluarganya.
- Ibu, Ismanira Abdul Manaf, 28 mendakwa ada kali terakhir anaknya dilihat kanak-kanak lain memasuki kawasan belukar berhampiran.
- Susulan 24 jam kehilangan Zayn Rayyan, pelbagai inisiatif dilakukan. Selain laporan polis, penduduk taman perumahan juga menjalankan misi pencarian dan solat hajat.
- Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid memaklumkan pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 6.36 petang, Selasa.
- Polis tidak menemukan sebarang petunjuk berhubung kehilangan dan misi pencarian diteruskan pada Rabu di lokasi hilang berkenaan.
- Akhirnya pada jam 10 malam hari yang sama, anak sulung kepada dua beradik itu ditemui dalam keadaan mengiring oleh salah seorang penduduk, Faizol Najib, 45, di kawasan hujung anak sungai sekitar belukar di belakang apartmen berkenaan.
- Laungan Allahuakbar dan tangisan hiba memecah kesunyian malam di kawasan apartmen tatkala jasad anak kecil itu ditemui.
- Lebih memilukan apabila bapa Zayn Rayyan dilihat sukar menerima berita penemuan menyedihkan itu dan pengsan beberapa kali.
- Mohd Fakhrudin berkata lokasi penemuan mayat kanak-kanak autisme yang ditemui di anak sungai adalah kawasan pencarian yang sudah dilakukan Unit Anjing Pengesan (K9) pada Selasa.
- Pihaknya juga telah melakukan pencarian pada petang Rabu namun Zayn Rayyan tidak ditemui. Hanya selepas tiga kali pencarian di lokasi sama, kanak-kanak itu akhirnya ditemui.
- Polis akan menjalankan siasatan disebabkan lokasi ditemui ini adalah kawasan aliran air.
- Jenazah mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
- Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara dijangka sebelum Zuhur pada Khamis. Bagaimanapun ia masih bergantung keputusan laporan bedah siasat.
Difahamkan, setakat ini pihak polis tidak dapat mengulas lanjut kerana baru menemui mayat mangsa dan kini dalam peringkat menyiasat lokasi di sekitar kawasan mayat ditemui.
SinarPlus mendoakan keluarga Allahyarham Zayn Rayyan tabah menghadapi kehilangan ini. Al-Fatihah.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang