'Jaga mak baik-baik.' Ibu bertemu jodoh pada usia 64 tahun, Datuk Azril luah rasa sebak!

A
A
A

'Jaga mak baik-baik.' Ibu bertemu jodoh pada usia 64 tahun, Datuk Azril luah rasa sebak!

PERCATURAN ALLAH itu sememangnya yang terbaik.

Demikian ungkapan yang disusuli luahan rasa syukur oleh usahawan terkenal, Datuk Azril Mohd Radzi usai ibu tersayang yang akhirnya dipertemukan dengan belahan jiwa pilihan hati.

Sumber gambar Facebook Azril Mohd Radzi

Sebagai anak lelaki, beliau menyaksikan betapa kentalnya hati si ibu membesarkan adik beradik seusai ayah mereka berkahwin lain.

"Alhamdulillah, dalam usia 64 tahun mak kembali menjadi pengantin baharu. Saya pandang yang baik-baik, ALLAH datangkan ujian, sebab ALLAH nak bagi yang lebih indah," ulas Azril yang enggan mengenang masa lalu, sebaliknya mahu sama-sama berkongsi kegembiraan yang baru dikecapi ibu tersayang.

Wan Zaiton Megat Othman, 64 selamat bernikah dengan lelaki pilihannya, Baharom Othman, 72, di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Baca ni 'Suami imam keluarga, jangan biar isteri terasing & pendam rasa.' Luahan Datuk Yusuf Haslam bikin ramai sebak

Kisah pasangan tersebut dimuat naik menerusi Facebook Azril dan mendapat perhatian SinarPlus untuk sama-sama berkongsi momen gembira tersebut.

Menurut bapa kepada dua cahaya mata tersebut, ayah baharunya itu ialah rakan sekampung ibu di Kampung Felda Guar Napai, Kodiang, Kedah.

"Selama lebih kurang 18 tahun bergelar ibu tunggal, kini barulah pintu hati mak terbuka untuk mencari seseorang dijadikan peneman dalam hidupnya. Selepas ini, mak ada kawan. Mudahlah kalau pagi-pagi nak ke masjid bertadarus, pergi bercuti dan sebagainya.

"Sebagai anak, awalnya kami risau dengan pilihan hati ibu. Pun begitu, selepas kenal hati budi dan alhamdulillah semua sepakat setuju. Beliau sekampung dengan mak dan beza umur antara mereka lapan tahun," ujar usahawan terkenal itu sambil mengakui tabung kebahagiaan ibunya kini kembali penuh dengan kehadiran Baharom di sisi.

Sumber gambar Facebook Azril Mohd Radzi

FACEBOOK SATUKAN PASANGAN

Mengulas lanjut mengenai pertemuan ibu dan ayah baharunya, kongsi Azril medium Facebook menyatukan pasangan warga emas itu.

"Tahun lepas, saya dan mak mengerjakan haji bersama. Sebagai anak, saya sentiasa doakan yang terbaik untuk mak dan beliau juga berdoa kalau ada jodoh, maka minta Tuhan bukakan pintu hatinya.

"Siapa sangka, mak dan uncle kemudiannya bertemu di platform Facebook dan berhubung kembali. Selepas tujuh bulan, barulah mereka mengambil keputusan untuk berkahwin.

"Kalau ditanya perasaan saya, pastinya sebagai anak, saya cukup gembira. Sekurang-kurangnya mak dah ada teman. Jadi, kami anak-anak tak perlu risau sangat," ungkap Azril sambil memberitahu, majlis perkahwinan tersebut diuruskan sepenuhnya oleh beliau dan ahli keluarga lain.

Baca lagi Perlu tambah darah setiap bulan, makan ubat dan kena suntik. Bee Aishah tetap mahu terus jadi anak seni

Sumber gambar Facebook Azril Mohd Radzi

LELAKI TERBAIK UNTUK MAK

Ditanya kenapa Baharom menjadi pilihan sebagai lelaki terbaik untuk menghuni hati ibunya? Ini jawab anak ketiga daripada empat beradik itu: "Sebenarnya uncle baru kematian isteri lebih kurang setahun lalu. Sebelum itu, selama lima tahun uncle menjaga isterinya yang terlantar tak boleh bangun akibat strok.

“Beliau yang uruskan makan pakai dan tidak keluar ke mana-mana semata-mata untuk bersama arwah.

"Selepas mengenalinya, saya rasa beliau yang terbaik untuk mak. Lagi pun kawan-kawan dan saudara mara pun cakap uncle ini calon yang terbaik sebagai.”

Pada masa sama, Azril turut berkongsi pesanan yang dititipkan buat ayah baharunya itu.

Sumber gambar Facebook Azril Mohd Radzi

"Selepas lafaz akad nikah, saya cakap pada uncle jaga mak baik-baik. Itu pesanan yang keluar daripada mulut saya selepas selesai majlis. Saya sangat sayang mak dan selama 18 tahun saya yang menjaga mak.

"Sebelum ini, saya tinggal bersama mak. Daripada bujang hingga berkahwin dan ada anak. Lepas berpindah rumah sendiri setahun yang lalu, barulah mak tinggal sendiri. Walaupun diajak tinggal bersama, mak enggan kerana sayang nak tinggalkan rumahnya," kongsinya lagi.

Diminta mengulas mengenai pandangan sebilangan orang apabila melihat pengantin lama berkahwin semula kerana masa yang tersisa sebaiknya tumpukan perhatian dalam menjalani ibadah atau menjaga cucu, demikian reaksi pada usahawan berkenaan.

Sumber gambar Facebook Azril Mohd Radzi

"Mak saya sangat rapat dengan kami anak-anak dan juga cucu. Beliau juga sangat mengambil berat. Justeru, soal berkahwin dalam usia emas tidak menjadi isu. Pada saya, mereka ini lebih kepada mendapatkan teman untuk menghabiskan masa bersama. Sekurang-kurangnya tidaklah sunyi jika anak-anak sibuk," ujar Azril sambil menutup perbualan bersama penulis.

Baca lagi 'Obses dengan duit dan mahu cepat jadi kaya.’ Cik Puan Gojes tak kisah apa orang nak kata 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca