'Keganasan rumah tangga perlu dihentikan. Luka penderaan ragut emosi isteri, ibu'- Jasebel Robert

A
A
A

SUASANA di dalam Blackpepper Studio, Midfields Square East, Kuala Lumpur pada petang itu sedikit sibuk. Tim produksi yang terdiri daripada jurufoto, penata gaya, jurumekap, pendandan rambut hinggalah pereka fesyen masing-masing bertungkus-lumus menyempurnakan sesi fotografi.

Boleh dikatakan semua mata di dalam studio tersebut tertumpu sepenuhnya kepada Miss Grand Malaysia 2020, Jasebel Robert yang sedang beraksi memberikan pose terbaik dalam persalinan koleksi busana istimewa.

Pun begitu, penulis difahamkan kostum kebangsaan yang bakal digayakan figura setinggi 175 sentimeter itu pada acara Miss Grand International 2020 bulan ini masih dirahsiakan daripada tatapan umum.

jasebelWANITA jelita setinggi 175 sentimeter ini komited memperjuangkan isu keganasan rumah tangga dan kesaksamaan pendidikan untuk semua lapisan masyarakat.

Usai memperagakan gaun rekaan @sposabyrizky, pemilik nama Jasebel Shalani Robert diberikan rehat selama 30 minit sebelum menyambung semula sesi fotografi. Lantas, kru SinarPlus menggunakan kesempatan tersebut menggali misi dan visi dalam industri pertandingan ratu cantik.

"Sejujurnya, sejak kecil saya memasang impian untuk bergelar ratu cantik gara-gara terpengaruh dengan semangat, kebolehan dan keyakinan diri ditonjolkan barisan delegasi. Tambahan pula, mereka (peserta ratu cantik) sentiasa menyatakan bahawa kecantikan itu adalah kombinasi dari sisi luaran dan dalaman seseorang.

"Kecenderungan semakin memuncak apabila ibu, Ng Sie Mou juga merupakan peminat pertandingan ratu cantik pelbagai peringkat.

"Masih segar dalam kotak memori yang mana sambil menonton program ratu cantik menerusi televisyen, kami berdua kerap berdiskusi dan sekali-sekala mengkritik peserta," jelasnya disusuli ketawa kecil tatkala mengenang momen manis tersebut.

Bicara wanita berusia 25 tahun tersebut, pertandingan ratu cantik bukan sekadar memperagakan pakaian, menyanyi dan menari, sebaliknya para peserta turut membawa tanggungjawab besar dalam mengetengahkan isu advokasi pilihan.

jasebelJASEBEL yang memasang impian bergelar ratu cantik sejak kecil tampak anggun memperagakan gaun rekaan pereka tempatan, @sposabyrizky.

Tujuan advokasi adalah untuk mendidik masyarakat khususnya kumpulan sasar dari segi undang-undang, pembelaaan dan strategi.

"Secara tidak langsung, isu yang diperjuangkan bakal membuka mata banyak pihak terutamanya melibatkan wanita dan kanak-kanak.

"Ironinya, terlalu banyak perkara harus diberikan perhatian, ditambahbaik dan dititikberatkan supaya tiada sesiapa pun yang tertinggal dalam keadaan dunia menuju arus kemodenan.

"Tidak keterlaluan saya menyifatkan pertandingan ratu cantik juga merupakan platform ideal buat para wanita bersuara demi memperkasa sekali gus memartabatkan golongan wanita di seantero dunia," tegas anak jati Kuala Lumpur itu yang turut menyatakan perjalanan bergelar ratu cantik bukan tugas mudah.

Tahap disiplin, usaha, ilmu, komunikasi, personaliti dan penjagaan fizikal serta mental perlu berjalan seiring, bukannya bergantung pada kecantikan dan tubuh badan langsing semata-mata, ujarnya.

Keganasan rumah tangga

jasebelANAK jati Kuala Lumpur ini amat memandang berat perihal keganasan rumah tangga dalam kalangan wanita sehingga isu tersebut tersenarai dalam advokasi pilihannya.

Tutur Jasebel yang fasih berbahasa Inggeris, Mandarin, Teochew dan bahasa Melayu dan kini mula mempelajari bahasa baharu seperti bahasa Thai dan Sepanyol.Keganasan rumah tangga pula antara yang tersenarai dalam advokasi pilihannya. Isu tersebut dilihat bagaikan tiada penyelesaian.

Bayangkan, sehingga kini hal-hal yang tidak diingini masih berlaku, meskipun bermacam-macam kempen dan inisiatif dilakukan.

"Kediaman peribadi seharusnya menjadi tempat yang selamat untuk berteduh, berlindung dan melepaskan lelah. Bagaimanapun, ia tidak seperti diharapkan bak ungkapan 'rumahku, syurgaku'.

"Jika di rumah sendiri wanita khususnya kaum ibu rasa terancam, maka ke mana lagi perlu dituju? Ingin memilih hidup di luar? Walhal, di sana (luar) pun ada kalanya situasi membahayakan golongan wanita," keluh bekas pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sentul, Kuala Lumpur itu.

jasebelKebimbangan Jasebel tidak berhenti di situ sahaja. Katanya, masyarakat mungkin berpendapat keganasan rumah tangga hanya melibatkan kecederaan fizikal, sedangkan luka penderaan terbabit juga meragut emosi, jiwa dan kekuatan dalam diri seorang ibu.

"Ibu adalah tulang belakang yang berperanan mewarnai dan membina institusi kekeluargaan. Bayangkan, sekiranya wanita yang dipanggil ibu atau mama sering diselubungi ketakutan secara tidak langsung keadaan sedemikian memberi impak negatif pada keseluruhan isi rumah.

"Kebiasaannya, anak-anak yang membesar dalam famili porak-peranda dan sarat penderaan akan kesihatan mental mereka terganggu apabila meningkat dewasa," ulasnya yang turut mengharapkan pihak berkaitan bertindak bagi mengatasi isu keganasan rumah tangga.

Jasebel tampil mencadangkan supaya diwujudkan satu platform untuk kumpulan wanita yang menjadi mangsa penderaan rumah tangga menyuarakan keperitan dialami.

Berikutan itu, masyarakat harus tampil menghulurkan tangan membantu menyelesaikan dilema terbabit.

Wanita dan pendidikan

jasebelWANITA berdarah campuran Cina-India ini menyifatkan berbekalkan pendidikan wanita mampu berdiri setara dengan golongan lelaki dalam dunia modenisasi hari ini.

Menyentuh mengenai kepentingan pendidikan dalam kalangan wanita hari ini, pemegang Ijazah Komunikasi Massa daripada Universiti Help, Kuala Lumpur tersebut berkongsi pendiriannya.

"Jangan sesekali mengabaikan tanggungjawab pada pendidikan kerana ilmu itu dapat membantu wanita berdiri setara dengan golongan lelaki. Lagipun pelajaran bukan lambang kemewahan, tetapi lebih kepada keperluan asas utama untuk kita meneruskan hidup.

"Perkembangan teknologi hari ini nampaknya memberi banyak peluang dan saluran buat wanita menuntut ilmu dalam bidang diminati. Hak asasi wanita untuk belajar di negara ini juga tidak pernah disekat, malah boleh diakses dengan mudah," katanya yang turut memilih advokasi kesaksamaan pendidikan tanpa mengira bangsa, jantina dan status.

Beliau menambah, pendedahan pendidikan bermula pada usia kanak-kanak membawa kelebihan pada masa depan negara. Selain melahirkan pelapis pemimpin berwibawa kelak, pelajaran juga merupakan perisai terbaik untuk membendung berlakunya masalah sosial dalam kalangan masyarakat.

jasebelMENTERI Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri (kiri) menghadiahkan cenderamata berasaskan batik kepada Jasebel sebelum beliau berlepas ke Bangkok, Thailand.

Ditanya mengenai sumber tambahan ilmu dan pemangkin semangatnya, Jasebel yang berdarah campuran Cina (sebelah ibu) dan India (sebelah bapa) memberitahu: "Saya merupakan pencinta buku biografi dan falsafah. Kedua-dua genre itu membuka minda dan mengajar saya kekal positif.

"Buku filosofi misalnya, bukan sahaja memberikan jawapan bagi setiap persoalan dalam kehidupan, bahkan ia menimbulkan bermacam-macam soalan untuk saya berfikir dengan relevan daripada pelbagai perspektif.

"Oleh itu, berbekalkan informasi yang diperoleh hasil pembacaan, maka saya berpeluang berkongsi ilmu pengetahuan tersebut kepada orang lain pula," katanya.

Dalam pada itu, sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut esok, Jasebel menasihatkan agar golongan wanita sentiasa bersyukur dengan fizikal dimiliki. Jangan sesekali memudaratkan kesihatan melakukan pembedahan kosmetik semata-mata untuk tampak cantik.

"Benar, hak masing-masing untuk melakukan prosedur berkenaan, tetapi adalah lebih baik sekiranya kita menambah 'kecantikan' dengan ilmu, kebolehan dan keyakinan diri. Itu lebih bermakna bagi tempoh jangka masa panjang," luahnya.

Sementara itu, menerusi perkongsian laman sosial Facebook Miss Grand Malaysia, Jasebel kini menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand pada 2 Mac lalu.

jasebelJASEBEL mengibarkan Jalur Gemilang sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand pada 2 Mac lalu mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss Grand International 2020 bulan ini.

Kunjungan beliau ke negara jiran tersebut adalah untuk melunaskan tanggungjawab mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss Grand International 2020 di negara berkenaan.

Dijadualkan seramai 63 delegasi di serata negara akan terlibat dalam pertandingan tersebut yang berlangsung antara 1 hingga 27 Mac 2021 termasuk tempoh kuarantin.

Justeru, pada kesempatan ini SinarPlus ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Jasebel dan diharapkan isu advokasi yang diperjuangkan beliau membuahkan hasil.

PROFIL

JASEBEL

Nama penuh: Jasebel Shalani Robert

Nama pentas: Jasebel Robert

Umur: 25 tahun

Tempat lahir: Kuala Lumpur

Nama ibu: Ng Sie Mou

Nama bapa: Robert Vijendran Henry

Pendidikan:

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sentul, Kuala Lumpur

Chong Hwa Independent High School, Kuala Lumpur

Ijazah Komunikasi Massa, Universiti Help, Kuala Lumpur

Karier: Model

Antara pencapaian: Miss Grand Malaysia 2020 dan Miss Universe Malaysia 2018 (tempat ketiga)

Tinggi: 175 sentimeter

Warna kegemaran: Merah jambu

Instagram: @jasebelrobert (10,000 jumlah pengikut)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca