Pelukis istimewa, adik Wan Jamila berkolaboratif dengan Yayasan Alpro jual tisu basah demi komuniti autisme

A
A
A

BARU-BARU INI, Yayasan Alpro, badan amal rantai farmasi preskripsi terbesar di Malaysia, Alpro bekerjasama dengan pelukis terkenal, Wan Jamila Wan Shaiful Bahri atau lebih dikenali sebagai ARTJAMILA bagi mengumpulkan dana untuk komuniti Autisme di negara ini.

Inisiatif tersebut menyaksikan Yayasan Alpro melancarkan koleksi tisu basah edisi terhad Alpro X ARTJAMILA yang memaparkan tiga ilustrasi unik yang dilukis oleh Wan Jamila sendiri.

Untuk setiap pembelian tisu basah tersebut, Alpro menyumbang sebanyak 60 sen kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

Sehingga kini, Alpro telah menjual lebih dari 21,000 paket tisu basah dan berjaya mengumpul sekitar RM13,000 untuk menyokong kanak-kanak yang menghidap autisme.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Alpro, Ostwin Paw Yen Thng berkata, pihaknya begitu teruja apabila dapat menjalin kerjasama dengan Wan Jamila yang juga merupakan seorang penghidap autisme.

Kejayaan Wan Jamila di dalam bidang seni lukis adalah bukti bahawa kanak-kanak dengan autisme juga mampu mencapai kejayaan di dalam hidup mereka jika diberi peluang dan kebebasan untuk mengekspresikan diri masing-masing,” kata beliau.

“Kami berasa gembira kerana projek yang dianjurkan khas untuk komuniti autisme ini diterima baik oleh orang ramai. Selaku organisasi yang mengutamakan kebajikan masyarakat, kami akan terus menyalurkan pelbagai usaha demi membawa perubahan, khususnya untuk golongan kanak-kanak,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi NASOM, Julian Wong memuji usahasama Yayasan Alpro dan ARTJAMILA dalam membantu menyebarkan kesedaran tentang autisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kisah kejayaan individu seperti Wan Jamila dan penglibatan pertubuhan seperti Yayasan Alpro mampu memberikan kesedaran yang amat penting mengenai pemerkasaan komuniti istimewa ini," katanya.

Dalam pada itu, ujar Julian, Autisme Spectrum Disorder (ASD) sering disalah faham sebagai sejenis penyakit, padahal sebenarnya ia tidak benar.

"Mereka yang menghidap autisme adalah sama seperti kita, kecuali mereka dikurniakan dengan kemampuan untuk melihat dan mengekspresikan diri dengan cara berbeza," katanya.

Selain inisiatif tersebut, Yayasan Alpro juga sedang giat berusaha untuk memberikan sokongan kerja amal yang lain termasuk pembiayaan pendidikan untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik menerusi kempen Growing Stars Project.

Ramai kanak-kanak yang kurang berkemampuan tidak mampu menyambung pembelajaran kerana tidak memiliki alat teknologi mahupun sambungan internet yang stabil di kawasan mereka untuk mengambil bahagian dalam Pembelajaran di Rumah yang dikendali secara dalam talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

"Untuk menjamin pendidikan pelajar yang terjejas oleh pandemik, projek terbaharu kami bertujuan untuk mengumpulkan dana sebanyak RM1.3 juta untuk menyokong sekurang-kurangnya 1,000 isi rumah dengan pakej data tablet dan internet," tambahnya.

KENALI WAN JAMILA

Kepada anda yang masih belum mengenali adik berbakat ini, Wan Jamila yang kini berusia 19 tahun telah menceburi bidang seni ini pada tahun 2017.

Semenjak itu, pelukis istimewa itu telah memenangi pelbagai anugerah, pengiktirafan dan pujian di peringkat antarabangsa untuk pelbagai karya seni dan lukisannya.

Jamilah ketika diwawancara berkata: "Saya berbangga untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif ini bersama Yayasan Alpro. Saya pasti sumbangan yang disalurkan kepada pihak NASOM ini akan membantu mengembangkan lagi potensi kanak-kanak Autisme di tanah air.

Nasihat dan harapan saya adalah untuk semua orang memahami bahawa autisme bukanlah suatu kecacatan, malah ia hanya sejenis kemampuan yang berbeza.

Untuk menyokong inisiatif Yayasan Alpro dan mengikuti semua informasi terkini mengenai kempen dan usaha amal yang dianjurkan, sila layari www.Alpro-foundation.com.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca