Pesakit jantung cilik, Mia Syamila masih perlukan dana sumbangan
BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu yang terjadi pada adik Mia Shamila Che Aziz yang menghidap penyakit jantung seawal usia setahun.
Anak keenam daripada tujuh beradik itu disahkan mengalami masalah jantung jenis Total Anomalous Pulmonary Venous Drainage (TAPVD) iaitu masalah jantung kongenital yang jarang berlaku. Empat saluran darah pulmonary veinnya dikatakan tidak bersambung secara normal.
Bapanya, Che Aziz Che Abd Hamid berkata, beliau sekeluarga juga tidak menyangka anak berdepan dengan penyakit berisiko itu.
Ujarnya, pada awalnya, Mia Shamila hanya demam dan tubuhnya sering lemah.
"Bila selalu demam dan beratnya tidak normal, saya dan isteri kemudia bawanya untuk pemeriksaan di hospital, namun apa yang memeranjatkan apabila doktor cakap dia ada sakit jantung.
"Ketika itu hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan kami berdua dengan isteri tak berhenti-henti menangis mengenangkan nasib Mia yang masih kecil," ujarnya sebak.
Ceritanya lagi, doktor memaklumkan punca Mia sering demam disebabkan paru-parunya telah dijangkiti kuman dan saluran dalam jantung tidak normal.
Artikal berkaitan: Masih perlukan wang untuk tampung kos pembedahan jantung adik Janevey, ibu mohon bantuan masyarakat Malaysia
"Doktor syorkan untuk membuat pembedahan segera tetapi saya terpaksa tangguhkan kerana tidak mampu nak biayai kos yang tinggi.
"Kos yang diperlukan mencecah sebanyak RM70,000. Saya hanya berkerja tukang rumah memang tak ada duit sebanyak itu. Namun, alhamdulillah ada tabung sumbangan dibuka untuk meringankan beban," katanya penuh syukur.
SinarPlus difahamkan, keadaan Mia Shamila yang kini berusia lima tahun itu masih memerlukan rawatan susulan selepas menjalani pembedahan baru-baru ini.
Menurut Che Aziz, anaknya kini sudah boleh pulang ke rumah di Kampung Bemban, Padang Kala, Kota Bahru, Kelantan. Rawatan susulan akan dibuat di hospital berhampiran.
"Saya berterima kasih kepada pihak yang membantu memberi sumbangan untuk kos pembedahan Mia dan kami masih memerlukan dana untuk kos rawatan seterusnya.
"Sudah menjadi impian kami untuk melihat Mia terus sihat dan menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain," katanya kepada SinarPlus.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan, bolehlah terus ke akaun BSN 0301441000133966 atas nama Che Aziz Che Abd Hamid untuk membantu keluarga ini.
Kisah adik Mia ini juga mendapat perhatian MyHeart Volunteers apabila berkongsi berita mengenai pembedahan kanak-kanak itu di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.
"Pembedahan adik Mia berkos RM70,000 namun jumlah yang terkumpul hanya RM24,000 (setakat 17 Oktober lalu). Adik Mia sangat memerlukan kerjasama dan sokongan anda semua untuk mencukupkan baki kos tersebut."
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang