Rahsia jelita Zakiah Anas, suka mendaki untuk kekal fit
ZAKIAH ANAS merupakan satu nama yang cukup gah dalam dunia penyiaran tempatan sedikit masa lalu.
Portfolionya sebagai wartawan dan pembaca berita dikatakan semakin menyerlah selepas beliau dipilih mengendalikan program jenayah sensasi kegemaran ramai, 999.
Ketika beliau mengendalikan rancangan itu bermula dari tahun 2002 hingga 2009, rating 999 pernah mencapai lebih tiga juta penonton.
Ramai berpendapat selain konten berunsurkan cerita-cerita jenayah semasa yang menarik, kunci kejayaan 999 adalah merujuk kepada aura Zakiah sendiri.
Cara, ton suara dan ketegasannya ketika menyampaikan skrip rancangan itu begitu tersendiri dan berwibawa. Jadi, tidak hairanlah beliau pernah diberi jolokan ‘Wanita Pistol‘.
Meskipun sudah mengucapkan selamat tinggal kepada program berkenaan, namun, ramai berpendapat sehingga kini tiada pengacara yang dapat menandingi kehebatan Zakiah meskipun wajah penyampainya banyak kali bertukar ganti.
By Zakiah Anas
Kini, Zakiah telah berusia 54 tahun. Apa yang dilakukannya selepas bersara daripada dunia kewartawanan pada tahun 2014?
Kesempatan berbual dengan personaliti itu baru-baru ini berjaya menggali perkembangan terbaharunya.
Tidak lagi muncul dalam sebarang rancangan televisyen, ibu kepada tujuh cahaya mata itu kini lebih banyak memfokuskan kehidupannya pada anak-anak termasuk aktiviti lasak yang digemarinya iaitu mendaki.
Bercerita lanjut, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Zakiah berkata, beliau mendaki pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat.
“Memang wajib buat aktiviti tiga kali seminggu bagi memastikan badan saya sentiasa fit dan cergas.
“Makan dan minum pun kena jaga sebab bila sudah berusia 50-an, kena jaga pemakanan dan gaya hidup,” katanya kepada SinarPlus ketika dihubungi baru-baru ini.
Selain itu, anak bongsu daripada tujuh beradik itu juga sibuk menguruskan perniagaannya.
“Sebenarnya, selain bersama keluarga, saya dan suami juga ada mengeluarkan busana dan kurta dengan label By Zakiah Anas sejak 2016 lagi. Alhamdullillah sambutan cukup menggalakkan.
“Namun yang sedihnya, tahun ini saya tak dapat buat jualan seperti tahun-tahun sebelum ini kerana penularan wabak Covid-19, tetapi untuk Ramadan tahun depan, insya-ALLAH akan ada koleksi baharu,” katanya yang turut menyasarkan pelanggan dari Singapura dan Brunei.
Zakiah galak berkongsi tentang bisnesnya. Ujar beliau, meskipun terdapat lambakan busana dan kurta di pasaran, reka bentuk dan desain label By Zakiah Anas menjanjikan kelainan.
“Busana dan kurta saya mempunyai 30 pilihan rona warna yang menarik dan setiap desain dan stail adalah 100 peratus sentuhan saya bersama suami.
“Bila kita tengok suami nampak tampan bergaya dengan koleksi kurta, saya percaya pelanggan juga akan kelihatan menawan dengan pilihan kain yang sesuai dengan cuaca panas lembap selain boleh digayakan sebagai persalinan kasual,“ katanya teruja.
Sebelum PKPB dikuat kuasa, Zakiah berkata, beliau membuka jualan di The Curve Street Market setiap Sabtu dan Ahad.
Namun sejak PKPB, jenama By Zakiah Anas hanya boleh diperoleh secara dalam talian iaitu melalui akaun Instagram, @by.zakiahanas.
Rahsia awet muda
Masih rindu pada bidang bidang pengacaraan? Mendengar soalan itu, anak kelahiran Perak itu tertawa kecil lalu berkata: “Kadang-kadang kalau dapat job mengacara atau voice over, ia dapat mengubat kerinduan. Untuk kembali semula ke bidang itu, mungkin kekok sedikit sebab sudah lama ditinggalkan.
“Sekarang, saya fokus dengan perniagaan dan anak-anak. Inilah masa untuk saya tebus kembali masa yang dahulunya banyak dihabiskan dengan kerja penyiaran,“ katanya.
Sebelum menutup bicara, penulis sempat bertanya rahsia kecantikan personaliti itu yang bagaikan tidak dimamah usia.
“Saya hanya amalkan penjagaan muka dengan produk lokal. Tiada rejim untuk menjaga kulit, tetapi mungkin saya tidak terdedah dengan cahaya matahari, kulit pun kurang pigmentasi.
“Sekarang saya banyak duduk di rumah. Kalau keluar pun hanya untuk promosi dan jualan busana,“ ujarnya.
PROFIL
- Nama: Zakiah Anas
- Umur: 54 tahun
- Asal: Bagan Serai, Perak
- Kerjaya: Pengasas produk By Zakiah Anas
- Pengalaman:
- Bekas pengacara rancangan 999, Bersamamu dan 360; pembaca berita Buletin Utama TV3
- Instagram: zakiah_anas dan by.zakiahanas
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang