“Suami derma buah pinggang untuk isteri, ada tapi jarang dengar...”
“Aku serahkan seluruh jiwa dalaman aku untuk isteri, moga selepas selesai operation ini kita dapat menjalani hidup secara normal. Nurse kata, isteri derma buah pinggang untuk suami itu biasa.
“Tapi suami derma sebelah buah pinggang untuk isteri jarang-jarang dengar.. Ada tapi jaranglah dengar. Aku beri kerana tanggungjawab aku sebagai suami yang mahu melihat isteri aku kembali hidup normal,” kata Mohammad Hilmi Mohd Isa, 32, yang mendermakan sebelah buah pinggangnya kepada isterinya.
Mohammad Hilmi berkongsi kisah isterinya, Noratiqah Abd Latif, 32, yang mengalami kerosakan buah pinggang kronik tahap lima di laman Facebook miliknya sebelum menjalani rawatan pemindahan buah pinggang di hospital awam pada 28 Julai lalu.
Memetik laporan akhbar tempatan, menurut Mohammad Hilmi, dia diuji dengan perkara tersebut setelah isterinya disahkan menghidap penyakit kronik itu sekitar tahun 2017.
Keputusan perubatan menunjukkan jalan terbaik untuk isterinya menjalani kehidupan normal tanpa melakukan rawatan dialisis adalah dengan membuat pemindahan buah pinggang.
"Selepas saya dimaklum oleh doktor perkara itu, tanpa berfikir panjang saya terus ambil keputusan untuk menjadi penderma sebelah buah pinggang untuk isteri saya."Isteri saya adalah tanggungjawab saya. Walaupun dia sakit, saya tidak akan tinggalkan dia dan kami akan sama-sama mengharungi ujian ini dalam apa jua keadaan," katanya.
Mohammad Hilmi yang bekerja sendiri berkata, dia bersyukur penantian tiga tahun akhirnya tertunai apabila rawatan pemindahan buah pinggang itu berjalan lancar.
"Sepatutnya rawatan itu dijalankan pada Mac lalu namun ditangguhkan pada satu tarikh yang belum pasti disebabkan Covid-19."Namun, alhamdulillah pada 28 Julai lalu pembedahan berjalan lancar dan akhirnya isteri boleh buang air kecil semula selepas tiga tahun kedua-dua buah pinggangnya gagal berfungsi serta kini tiada lagi tiub-tiub yang melekat pada tubuhnya," katanya.
Kini penjagaan harus mengikut nasihat doktor untuk kekal sihat. Buat masa ini mereka perlu membuat medical check up seminggu tiga kali untuk memantau perkembangan semasa.
Mohammad Hilmi juga turut memberi nasihat kepada kenalannya dan juga orang ramai untuk mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat.
"Elakkkan pengambilan minuman campuran seperti 3 dalam 1. Jangan la ambil ubat-ubat yang tidak ada kelulusan kementerian kesihatan."Hargailah anugerah tuhan yang diberikan pada tubuh kita dan jangan kita abainya, semoga pengorbanan saya untuk isteri diterima Allah S.W.T dan moga kami sihat sentiasa dan bahagia," katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang