Terpaksa tolak motosikal sejauh 4km, padah ganggu solat terawih!
BILA sebut pasal mat rempit buat bising, bukan perkara baharu dalam masyarakat kita.
Begitulah yang terjadi di Kemaman, Terengganu ini.
Kerana syok merempit sehingga mengganggu jemaah surau berhampiran, lapan penunggang motosikal akhirnya menerima padah apabila ditahan dalam satu operasi pada malam Sabtu lalu.
Mereka bukan sahaja ditahan malah terpaksa juga menolak motosikal masing-masing sejauh lebih empat kilometer hingga ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk siasatan lanjut.
Lapan remaja lelaki berusia 15 hingga 21 tahun tersebut menolak motosikal dari Surau Kampung Jaya ketika ditahan dalam Op Samseng Jalanan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, operasi dilakukan hasil maklumat awam mengenai aktiviti merempit di kawasan berkenaan ketika penduduk menunaikan solat tarawih.
Menurutnya, sebanyak 45 saman membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam operasi selama dua jam bermula 9 malam.
Katanya, pihaknya turut menyita lapan motosikal dan semua yang ditahan dibebaskan selepas diberi saman mengikut Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1969 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1,000.
Kata Hanyan, pihaknya turut melakukan operasi sama di Batu 2 1/2 Jalan Air Putih dan Kampung Mak Chili membabitkan dua pegawai dan 26 anggota.
"Kita menerima banyak aduan dan rungutan berkaitan mat-mat motor yang menjadikan lokasi tersebut sebagai tempat untuk berlumba dan membuat bising terutama pada waktu jemaah sedang menunaikan solat tarawih.
Baca juga “Anak isteri patah hati bawa diri.” 1001 cerita pilu di sebalik kejayaan beli rumah lelong
"Kita kesal dengan tindakan kumpulan mat rempit itu yang dilihat seolah-olah tidak menghormati Ramadan dan orang ramai yang sedang menunaikan solat tarawih."Tindakan itu bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam tetapi membahayakan nyawa mereka dan pengguna jalan raya yang lain," katanya.
Boleh diambil iktibar buat semua. Hormatilah bulan Ramadan yang penuh kemuliaan ini.
Jika tidak mampu untuk bersama-sama mendirikan solat sunat terawih, cukuplah sekadar menghormati jemaah lain dengan tidak membuat bising dengan motosikal mahupun letupan mercun.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang