Ambuyat pengganti nasi, makanan tradisional unik masyarakat Sabah, Brunei
BIARPUN hanya terpisah kira-kira sejam setengah perjalanan menaiki feri antara Labuan ke Jeti Menumbok, Sabah, namun Amniera Nazira Amran terpaksa akur dengan situasi pandemik Covid-19.
Bimbang akan penularan virus tersebut, maka beliau memujuk hati untuk kekal sementara waktu di Labuan bersama suami dan dua anaknya yang masih kecil.
Pun begitu, wanita berusia 27 tahun itu sukar menolak gejolak hatinya untuk pulang ke kampung di Bongawan, Sabah menemui nenek dan ahli keluarganya yang lain.
"Sebelum pandemik boleh dikatakan kerap balik kampung berjumpa saudara-mara, tetapi hari ini berbeza apabila harus waspada dengan wabak Covid-19.
"Perkara paling dirindui semestinya hidangan utama ambuyat. Kami akan menikmatinya bersama lauk-pauk wajib seperti ikan masak ampap (juadah tradisi masyarakat Sabah), ikan bakar dan air asam."Ia termasuklah, menu rebung masak lemak, sambal belacan, sayur paku pakis, sayur terung dan ikan masin goreng," jelas Amniera Nazira yang kini menetap di Labuan kerana mengikut suaminya bertugas di sana.
Secara ringkasnya, ambuyat atau linut yang diperbuat daripada tepung sagu merupakan makanan tradisional popular dalam kalangan masyarakat Brunei, Bisaya, Bajau, Dusun, Kadazan, Kedayan dan Sino.
Mengikut kebiasaan, ambuyat disajikan dan dimakan beramai-ramai tatkala ahli keluarga berkumpul.
Sajian berkanji, berwarna putih jernih dan kelihatan seperti gam itu menjadi pilihan bagi mengganti nasi ketika menjamu selera pada makan tengah hari, makan malam ataupun sewaktu berbuka puasa.
Menurut Amniera Nazira, sekurang-kurangnya dengan adanya ambuyat, hidangan mereka sekeluarga dapat dipelbagaikan.
Lagipun konsepnya sama seperti nasi kerana dimakan bersama lauk kampung dan ulam memandangkan rasanya tawar. Tiada rasa manis, masam ataupun pahit.
Guna candas
"Namun begitu, cara untuk menikmati ambuyat tidak sama seperti makan nasi atau bihun. Disebabkan teksturnya berbentuk cecair likat, maka ia akan dipintal menjadi bebola kecil menggunakan candas (kayu penyepit).
"Selepas itu, pintalan bebola di hujung candas segera dicelup ke dalam lauk kegemaran misalnya, ikan ampap dan terus dan ditelan. Kemudian, kaedah sama dilakukan untuk dicicah pula bersama lauk batang keladi masak asam," ujar Amniera Nazira yang belajar menikmati ambuyat daripada neneknya, Dayang Habsah Awang Piut berusia 70 tahun.
Bicara graduan Universiti Malaysia Sabah tersebut, sehingga kini beliau dan ahli keluarganya kekal menikmati ambuyat secara tradisional iaitu menggunakan candas.
“Segelintir individu menggunakan garpu, tetapi kami tetap memilih candas kerana mudah untuk memintal dan mencicah ke dalam lauk. Lagipun ambuyat cepat melekat pada kayu penyepit berbanding garpu," jelas wanita berketurunan Melayu-Brunei mengenai candas seakan-akan chopstik yang mana hujung kayu bersambung dan bentuk huruf V.
Sementara itu, bercerita mengenai proses memasak ambuyat, Amniera Nazira memberitahu, caranya amat mudah, namun memerlukan teknik yang betul.
"Masyarakat Melayu-Brunei tidak memanggilnya memasak, tetapi menumpah ambuyat kerana 'menumpah' merujuk pada proses menuang air panas mendidih ke dalam bekas berisi tepung sagu.“Tepung sagu akan digaul bersama air panas mendidih hingga menjadi kenyal dan melekit. Bagaimanapun, sentiasa diingatkan adunan tidak boleh terlalu tebal dan tidak cair bagi memudahkan kita menelannya," ujar beliau.
Resipi ambuyat
Bahan-bahan
- 1 kilogram tepung sagu
- 2 sudu makan air putih
- Air panas mendidih
Cara penyediaan:
1. Masukkan tepung sagu ke dalam bekas.
2. Gaulkan seketika bersama dua sudu makan air putih sehingga tepung tidak berketul.
3. Kemudian, tuang air panas yang mendidih sedikit demi sedikit ke dalam adunan tepung sagu.
4. Gaul sehingga tepung berubah menjadi jernih, pekat dan melekit teksturnya.
Foto: Irwan Majid
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang