BMW 330Li M Sport dan X3 sDrive20i lebih sporty dan versatil, kuasa pecutan luar biasa
BMW Malaysia baru-baru ini memperkenalkan dua model baharu yang lebih sporty dan versatil, BMW 330Li M Sport dan X3 sDrive20i untuk pasaran tempatan.
Rekaan terkini BMW 330Li M Sport disifatkan telah membawa dimensi baharu untuk segmen sedan eksekutif premium bersaiz sederhana dalam negara.
Pada masa sama, reka bentuk fitur baharu, BMW X3 sDrive20i juga tidak kurang hebatnya apabila tampil lebih bergaya dan tahan lasak.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berbangga memperkenalkan dua varian canggih yang mempamerkan nilai kejuruteraan yang cukup luar biasa.
"Kedua model baharu ini menjadi penanda aras dinamik berprestasi tinggi dalam segmen masing-masing kerana mempamerkan jualan terbaik.
"Meskipun industri automotif mengalami ambang kemelesetan pada tahun 2020, namun nilai jualan cukup membanggakan sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai pengeluar kenderaan premium yang terkemuka," katanya.
Bercakap mengenai BMW 330Li M Sport, Hoelzl berkata, model tersebut secara konsisten mempamerkan potensi cemerlang dengan jualan 2,500 unit kenderaan pada tahun lalu.
"Kejayaan ini didorong dengan reka bentuk mewah dan ciri pintar yang ditawarkan selain mengekalkan DNA Sporty seiring slogan 'Kenikmatan Pemanduan Sempurna'.
"Justeru, rekaan terbaharu ini lebih luar biasa kerana menggabungkan elemen keluasan jentera dengan jarak sumbu roda (wheelbase) panjang, selain ciri ketangkasan yang cukup sinonim dengan sedan eksekutif premium," katanya.
SinarPlus difahamkan, model BMW 330Li M Sport dijual pada harga RM300,800 (tanpa insurans) manakala X3 sDrive20i pula pada harga RM286,674 (tanpa insurans).
Menariknya, BMW Malaysia mempelbagaikan lagi portfolio model BMW 3 Series dengan jarak sumbu roda panjang yang pertama dipasang secara domestik.
Buat peminat jenama Jerman yang ingin tahu lebih lanjut mengenai model terbaharu tersebut, berikut perinciannya:
BMW 330Li M Sport
1. Dilengkapi aplikasi My BMW App terbaharu untuk membekalkan interaksi digital antara pemandu dan kenderaan.
2. Kelajuan jentera mewah tersebut mampu mencapai 6.2 saat untuk pecutan 0 hingga 100 kilometer (km) perjam dan kelajuan tertinggi mampu mencecah 250 km/jam.
3. BMW 330Li M Sport merekodkan penggunaan bahan api sebanyak 6.4 liter bagi setiap jarak perjalanan 100km, manakala emisi karbonnya berkadar 147 gram/km.
4. Ruang but jentera berkapasiti 480 liter, dinaik taraf dengan pakej kompartmen muatan.
5. Sistem Comfort Access juga ditawarkan sebagai prosedur standard kemudahan tambahan bagi pemilik jentera BMW 330Li M Sport.
6. Model sulung tersebut membawakan Kawalan Luncur (Cruise Control) dengan fungsi pembrekan, bantuan parkir dengan cermin pandang belakang serta sistem Keselamatan Pejalan Kaki Aktif BMW (BMW Active Pedestrian Safety).
BMW X3 sDrive20i
1. SAV baharu itu mampu membuat pecutan masa 8.2 saat dan merekodkan kelajuan tertinggi mencecah 215 km/j.
2. Transmisi disediakan dalam bentuk 8-Speed Automatic Steptronic dengan Automatic Hold Function.
3. Dari segi bantuan digital, BMW X3 sDrive20i didatangkan dengan bantuan memandu dan bantuan parkir.
4. Panggilan kecemasan pintar dan fungsi panggilan serba mudah dengan sambungan telefon pintar turut menawarkan keselamatan dan kesenangan kepada pemilik BMW X3 sDrive20i baharu.
5. Sistem Comfort Access memperkayakan lagi aspek kemudahan yang disediakan bagi BMW X3 sDrive20i selain pakej kompartmen muatan dengan kapasiti muatan mencecah 550 liter.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang