Daging proses rangsang pertumbuhan kanser
SEORANG pakar pemakanan berkata, kanser payudara mempunyai perkaitan yang sangat dominan dengan faktor pemakanan seseorang.
Hal itu tidak dinyatakan sembarangan kerana ia adalah melalui penyelidikan-penyelidikan sahih yang dijalankan oleh penyelidik seluruh dunia, kata Pegawai Dietetik, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, Nur Adilah Muhammadun Basar.
"Contoh paling ketara adalah seperti makanan segera, makanan yang diawet, makanan terproses dan modifikasi makanan secara genetik. Bukan sahaja kanser, malah penyakit seperti obesiti, darah tinggi dan kolesterol tinggi tercetus disebabkan pengambilan makanan seperti itu,” kata Nur Adilah.
Memperihalkan lebih lanjut, beliau berkata, antara makanan yang perlu dielak bagi merendahkan risiko kanser payudara adalah daging yang diproses. Ia merujuk kepada daging yang telah menjalani proses di kilang bagi melambatkan kerosakan, mengubah rasa dan mencantikkan warna daging tersebut.
"Ia dilakukan dengan kaedah penambahan bahan pengawet, perasa dan juga pewarna. Antara contoh daging terproses adalah sosej, bacon, hot dog, salami dan daging burger.
“Bahan-bahan itu akan berinteraksi dengan protein yang terdapat dalam daging tersebut pada suhu yang tinggi lalu merubah struktur kimianya sehingga bersifat karsinogenik (bahan yang merangsang terjadinya kanser),” beritahu beliau.
Ujar Nur Adilah, kajian terbaharu menunjukkan wanita yang mengambil daging yang diproses secara kerap mempunyai risiko 9 peratus lebih tinggi terdedah dengan kanser payudara.
"Lebih baik gantikan dengan daging segar atau sumber protein lain seperti ayam, telur dan sumber soya. Alkohol juga tidak baik dan dilarang di sisi agama," ujarnya kepada SinarPlus.
Sebagai pengetahuan, untuk setiap penambahan 10 gram alkohol setiap hari, ia akan meningkatkan kadar risiko kanser payudara kepada 7 hingga 10 peratus.
“Alkohol boleh mempengaruhi risiko kanser payudara dengan meningkatkan tahap estrogen intraselular yang bertindak melalui reseptor estrogen untuk menggalakkan pertumbuhan kanser payudara,” jelasnya lagi.
Pun demikian, Nur Adilah menjelaskan secara umumnya tiada satu makanan atau diet yang boleh mencegah atau menyebabkan wujudnya kanser.
“Namun demikian, cara pengambilan diet pemakanan itu sendiri yang membezakan sama ada ia akan meningkatkan lagi risiko atau mengurangkan risiko kepada penyakit kanser payudara,” tuturnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang