Ini cara mudah tahu seseorang itu mangsa depresi sebenar atau acah-acah, prihatinlah...

A
A
A

"Masalah depresi ni sebab jauh dengan ALLAH. Quran tak belek mana.. solat tak jaga.. pendek kata iman lemah la."

"Ada gangguan jin ni..."

"Ramai anak muda sekarang ni jadi tak berapa betul kesan penyalahgunaan dadah. Kadang kita susah nak beza dengan depresi."

Itu antara stigma oleh orang ramai terhadap penyakit depresi atau kemurungan iaitu salah satu penyakit mental.

Sedangkan, hakikatnya ia merupakan penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah-laku seseorang lalu mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.

Kadang seseorang itu terlihat baik, cukup menjaga solat dan mengaji, mempunyai kerjaya yang baik dan sebagainya turut tidak dapat lari daripada depresi.

Justeru, bagaimana kaedah sebenarnya untuk mengenal pasti seseorang benar-benar berdepan masalah depresi ini?

Berikut kongsi Penolong Pegawai Perubatan yang juga penuntut psikologi, Muhsin Zaidi yang mempunyai hampir 30k pengikut di laman sosial ini.

Bahan umpatan

Menurut Muhsin, depresi atau lain-lain mental disorder ini lazimnya 'isu yang sedap sebenarnya kalau nak dijadikan bahan mengumpat'. Tambah-tambah kalau ia melibatkan kawan sekerja kita.

Beliau tidak menafikan, antara ayat yang paling mudah didengari:

"Alah dia acah-acah je tu. Dia sebenarnya ada masalah lain, tapi sebab nak cover, dia buat la cerita sakit itu ini. Nakkan simpati."

"Ayat macam ni memang senang kita dengar dan mungkin kita sendiri pernah cakap. Bunyinya macam biasa-biasa, hakikatnya kita dah judge dia tanpa mengetahui cerita sebenar yang berlaku. Walaupun dia mungkin ada berkongsi cerita dengan kita, tapi mungkin ada lagi yang dia simpan.

"Apa yang kita fikir pasal dia itu semua mungkin betul dan mungkin tak betul. Apa-apapun mengajak orang bersembang benda peribadi orang lain dengan niat negatif amatlah tidak wajar," kongsinya di Facebook nya semalam hingga tular sehingga kini.

Rentetan itu, menurutnya sekiranya kita memang jenis mahu tahu sangat-sangat sama ada sebenarnya seseorang itu memang berdepan masalah depresi atau tidak, atau sekadar 'acah-acah' atau memang betul ada sakit, lihat sahaja karier 'mangsa'.

"Selalunya orang yang ada masalah mood macam depression dan bipolar, yang paling terjejas adalah karier dia. Karier ni benda yang semua manusia sayang.

"Benda yang dibina dengan susah, step by step. Kalau orang tu sanggup tolak tepi dan dah tak peduli pasal karier dia, itu bermakna memang something seriously wrong dah berlaku pada dia. Simple as that tuan-tuan," kongsinya.

Menurut Muhsin, kebanyakan orang yang didiagnos dengan mental disorder akan menamatkan karier mereka. Tak kira tinggi mana pun jawatan dia.

Kalau tak percaya, ujarnya, masuk grup-grup mereka dalam FB, baca pengakuan (confession) mereka.

"Ada yang cikgu, akauntan, doktor, lawyer, engineer, arkitek, pegawai tadbir, banyak yang end up tak mampu berkerja dan buat benda lain untuk hidup.

"Masalah ini adalah ujian. Ia bukan suka-suka. Bezanya kita tak nampak dengan mata kasar macam penyakit lain. Mental disorder ni banyak jenis.

"Contohnya depression la. Puncanya adalah ketidakseimbangan penghasilan serotonin dan dopamine. Dua bahan kimia ni ada dalam otak kita. Jumlah dua bahan ni yang akan tentukan mood kita. High atau low. Kalau low, jadi Depression atau Major Depressive Disorder. Kalau kejap high kejap low ia jadi Bipolar Mood Disorder," katanya.

Ungkapnya lagi, memang di mata kita, seseorang pesakit mental itu mungkin nampak normal.

Bagaimanapun, pada mata doktor psikiatri atau ahli psikologi, mereka nampak penyakit. Kalau doktor dah sahkan dan bagi diagnosis dia ada penyakit sekian, memang adalah.

"Benda macam ni mudah je. Bila ada kawan kita dikaitkan dengan masalah macam ni, kita buat tak tahu je. Ia tak ada kaitan dengan kita. Kalau kita rasa nak ada kaitan pun, cakap dan buat la benda yang baik-baik sahaja.

"Mental disorder tak sama macam penyakit fizikal lain. Mental disorder ini adalah masalah fungsi mood, sifat, cara berfikir atau kognitif. Itu masalahnya. Kalau kita sakitkan hati dia, lagi teruk la jadinya kan.

"Kalau kita tak ada telinga yang baik untuk mendengar, jangan pulak kita ada mulut yang jahat," titip beliau.

Punca depresi melampau

Dalam pada itu menurut laman.web kesihatan, Hello Doktor, punca Depresi Major, masih tidak diketahui apa yang menyebabkan depresi. Sama seperti banyak gangguan mental yang lain, pelbagai faktor yang mungkin boleh terlibat, seperti:

1) Perbezaan biologikal. Orang yang mengalami depresi dilihat mempunyai perubahan fizikal di dalam otak mereka. Fungsi perubahan ini masih lagi tidak diketahui, tetapi lama kelamaan mungkin dapat membantu mencari punca-punca masalah ini

2) Bahan kimia otak. Neurotransmiter yang secara semula jadi merupakan bahan kimia otak yang boleh memainkan peranan penting dalam depresi. Kajian terbaru menunjukkan bahawa perubahan fungsi dan kesan neurotransmiter ini serta bagaimana neurotrasmiter ini bertindak balas dengan litar neuro yang terlibat dalam mengekalkan kestabilan mood yang memainkan peranan penting dalam depresi dan rawatannya

3) Perubahan dalam keseimbangan hormon badan yang mungkin terlibat dalam menyebabkan dan mencetuskan depresi. Perubahan hormon akibat hamil atau semasa beberapa minggu atau bulan selepas bersalin (postpartum) dan daripada masalah tiroid, menopaus atau beberapa keadaan lain

4) Trait yang diwarisi. Depresi lebih biasa terjadi pada individu yang saudara maranya juga mempunyai keadaan ini. Para penyelidik sedang cuba mencari gen yang mungkin terlibat dalam menyebabkan depresi

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Depresi Major?

Terdapat pelbagai faktor risiko bagi depresi major, seperti:

1. Sifat-sifat keperibadian tertentu, seperti rendah keyakinan diri dan menjadi terlalu bergantung, mengkritik diri sendiri atau pesimistik

2. Peristiwa traumatik atau tertekan, seperti penderaan fizikal atau seksual, kematian atau kehilangan orang tersayang, perhubungan yang sukar, atau masalah kewangan

3. Saudara mara dengan sejarah depresi, gangguan bipolar, alkoholisme, atau bunuh diri

Menjadi lesbian, gay, biseksual atau tukar jantina, atau mempunyai variasi dalam pembentukan organ genital yang tidak jelas sama ada lelaki atau perempuan (interseks) dalam situasi yang tidak disokong

4. Sejarah gangguan kesihatan mental lain, seperti gangguan kebimbangan, gangguan pemakanan atau gangguan tekanan pascatrauma

5. Penyalahgunaan alkohol dan dadah rekreasi

Penyakit serius atau kronik, termasuk kanser, strok, kesakitan kronik atau penyakit jantung

Ubat-ubat tertentu, seperti beberapa ubat tekanan darah tinggi atau pil tidur (cakap dengan doktor anda sebelum berhenti mengambil mana-mana ubat).

Diagnosis dan Rawatan

Menurut Hello Doktor, maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. Sebaiknya sila berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Pasti keadaan tekanan semasa dek wabak Covid-19 turut memberikan banyak kesan terhadap kesihatan mental masyarakat di sekeliling kita bukan?

Justeru prihatinlah. Jika tidak membantu pun, usah menambah tekanan dengan melemparkan pelbagai stigma dan persepsi terhadap mangsa penyakit mental seperti depresi dan bipolar ini. -AG #rantaiankasih

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca