Ini rupanya rahsia boko jadi sedap. Tip Opah ini boleh jadi panduan
BAGI masyarakat Kelantan, kuih boko ubi kayu merupakan juadah minum petang dan menjadi menu kegemaran ketika berbuka puasa.
Kuih warisan turun-temurun negeri Cik Siti Wan Kembang itu mempunyai aroma ubi manis yang cukup memikat. Ia menjadi lebih lazat jika ditambah dengan santan lemak berkrim yang dicampur sedikit garam.
Mengikut dialek Kelantan, panggilan nama boko itu membawa maksud talam.
Pada zaman dulu, pembuatan kuih berkenaan menggunakan bekas talam.
Jika diikutkan cara orang lama, kuih emulsi lembut itu dikukus di dalam loyang terlebih dulu. Kemudian, ia dicedok sebelum dicurah kuah santan yang dimasak dengan tepung beras.
Bagaimanapun, pada zaman sekarang, cara membuatnya agak sedikit berbeza.
Adunan kuih boko ubi kayu akan dimasukkan ke dalam bekas kecil. Sebelum itu, lapisan bawahnya diisi dengan adunan ubi yang dimasak bersama gula melaka sementara lapisan atas pula, diletakkan kuah santan.
Bagi pencinta kuih tradisional, Nolia Adam, 50, mengakui perbezaan pembuatan kuih itu dulu dan sekarang.
"Seiring dengan peredaran zaman, pembikinan kuih ini memang lain. Rasanya cara moden lebih senang. Lagipun, boko ubi sudah dikomersialkan dan dapat banyak permintaan. Kuih ini memang dah lama wujud. Baru-baru ini sahaja viral di laman sosial.
"Saya pun belajar buat kuih boko ketika umur saya 20-an sebab mak memang suka buat," katanya ketika dihubungi SinarPlus.
Perkakas tradisional
Menurut Nolia yang mesra disapa Opah, meskipun diulit dengan kecanggihan teknologi, beliau masih menggunakan peralatan tradisional seperti alat parut kelapa yang diwarisi daripada keluarganya sejak zaman berzaman.
Bagi mengekalkan keaslian rasa, beliau menggunakan santan daripada kelapa segar dan sesekali menolak menggunakan santan kotak.
Artikel berkaitan: Baked macaroni bebola daging dengan keju leleh mudah bikin, menggamit selera
"Kenapa saya guna alat parut versi lama kerana saya mahu mendapatkan parutan isi kelapa yang sempurna.
"Hasil parutan itu akan menjadikan kuih itu lebih ‘terasa’ isi kelapa. Kalau pakai pengisar moden, isi kelapa itu jadi halus sangat dan tak sedap.
"Mungkin cita rasa orang berbeza-beza tapi disebabkan lidah saya jenis orang lama, memang saya suka guna bahan segar dalam masakan supaya kuih yang dimasak lebih lazat,” kata ibu kepada empat cahaya mata itu sambil tertawa kecil.
Opah turut berkongsi tip berguna untuk membuat boko ubi. Katanya, saiz ubi yang dipilih sebaik-baiknya yang sederhana.
Ujarnya, pemilihan ubi kayu sangat penting untuk membuat lapisan bawah kuih itu kerana jika guna ubi yang tua sangat, kuih jadi kelat dan tidak sedap.
Artikel berkaitan: Nanas celup tepung, ringkas dan menyelerakan
"Memang kena pilih ubi yang masih baharu dengan tanah masih basah, kulit berwarna merah jambu dan isinya lebih putih. Selalunya stok mentah seperti ubi saya dapatkan dari Tanjong Karang, Selangor. Ubi di sana dinamakan ubi Indon dan memang sedap.
Imbau Opah, jika dulu, ibunya selalu membuat kuih penuh nostalgia itu atas permintaan mereka adik-beradik.
"Dulu mak, kini giliran saya pula. Selalunya, saya akan buat kuih ini ketika cuti perayaan sebab anak-anak akan balik kampung.
"Anak saya selalu mengadu susah nak cari kuih boko ubi yang betul-betul best menggunakan bahan-bahan segar. Jadi, setiap kali mereka balik, dapur saya mesti berasap,” ujarnya.
RESIPI BOKO UBI KAYU GULA MERAH
Bahan-bahan untuk lapisan bawah
- 3 cawan isi ubi (yang sudah diparut dan diperah)
- Pati daripada air perahan yang mendap diambil
- 3 cawan air
- 1 cawan gula merah
- 1/2 cawan gula pasir (pilihan jika mahu lebih manis)
- 2 atau 3 helai daun pandan
Cara-cara:
- Satukan gula merah, gula pasir, air dan daun pandan kemudian masak sehingga larut.
- Tapis adunan kemudian sejukkan.
- Setelah sejuk, tuang adunan ke atas isi ubi.
- Kemudian masukkan pati ubi dan digaul sehingga rata.
- Masukkan ke dalam bekas kecil dan kukus selama 25 minit sehingga masak. Sejukkan.
- Boleh juga kukus dalam bekas menggunakan loyang.
Bahan-bahan untuk lapisan atas
- 1/2 cawan tepung beras
- 4 cawan santan
- garam secukup rasa
Cara-cara:
- Satukan kesemua bahan ke dalam periuk dan sebatikan.
- Masak hingga pekat menggunakan api sederhana.
- Sentiasa kacau adunan bagi mengelakkan kuah santan berketul-ketul.
- Setelah kuah masak, tuangkan ke atas boko ubi dan sejukkan.
- Siap untuk dihidang.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang