Kulit gelap istimewa, bukan bebanan
MASIH segar dalam kotak memorinya sehingga hari ini. Acap kali pulang dari sekolah, beliau akan menangis teresak-esak.
Tangisan Jaja Talib bukan disebabkan dimarahi guru ataupun tercicir mata pelajaran, tetapi berpunca daripada ejekan rakan-rakan.
Mengimbas zaman kanak-kanaknya, bicara model berusia 27 tahun itu, hanya kerana berkulit gelap, beliau sering menjadi bahan jenaka dan dilabelkan dengan pelbagai nama yang kurang enak.
Bukan sahaja pernah disamakan 'hitam seperti kuali‘, segelintir rakan bersikap rasis menggelarnya ‘budak Afrika‘.
”Siapa tidak sedih dengan situasi seumpama (diejek) ini. Setiap hari pulang dari sekolah mesti menangis, namun bersyukur kerana ibu dan ayah sentiasa meniupkan semangat supaya bersabar.
”Justeru, dari semasa ke semasa saya berjaya membina kekuatan agar yakin dengan kurniaan ALLAH ini. Bukan itu sahaja, saya juga bertekad untuk menepis stigma masyarakat terhadap wanita berkulit gelap,” luahnya kepada Sinar Plus baru-baru ini.
Jaja atau nama sebenarnya, Nur Rafiza Abdul Talib antara model Muslimah dan Instafamous yang sedang mencipta nama. Memiliki wajah unik dan fotogenik tambahan berkulit hitam manis membuatkan anak kelahiran Pulau Mutiara tersebut sering menjadi pilihan pelbagai jenama baik koleksi fesyen, hijab mahupun kosmetik.
Menurut Jaja yang meminati bidang peragaan sejak berusia enam tahun, dek gemar menyarungkan persalinan cantik dengan pose ala model, maka ibu beliau, Norlela Osman, 55, seringkali membawanya menyertai pertandingan catwalk.
”Bertitik tolak dari situ kecintaan saya pada dunia model semakin bercambah. Ini disusuli pula dengan pengaruh program realiti popular ‘America‘s Next Top Model‘ yang mempamerkan kehebatan barisan model berkulit gelap memperagakan fesyen dengan penuh yakin.
”Secara tidak langsung, program tersebut membakar semangat saya untuk mencabar diri melangkah dalam bidang ini (model). Sebagai pendatang baharu, saya harus bijak menerokai dan merebut peluang yang terbentang luas,” ungkap anak kelahiran Permatang Pauh, Pulau Pinang itu.
Sentiasa yakin diri
Dalam pada itu, Jaja yang memiliki jumlah pengikut seramai 53,000 dalam laman sosial Instagram @jajatalib turut menzahirkan keterujaan dan bersyukur dengan keterbukaan sebahagian besar pemain industri pada hari ini.
Beliau yang selalu berkongsi video tutorial solekan menerusi Instagram menyifatkan industri fesyen dan kosmetik di Malaysia semakin positif menggunakan khidmat model berkulit gelap.
"Tatkala bertugas, kami (model kulit gelap) dilayan sama rata tanpa berdepan isu diskriminasi. Lebih mengujakan apabila kini pengasas label turut mengambil inisiatif mengeluarkan himpunan produk untuk wanita berkulit gelap dan sawo matang.
"Langkah proaktif ini sedikit sebanyak membuka mata mereka yang tegar dengan persepsi bahawa kecantikan itu adalah hak mutlak wanita berkulit cerah,” ulas pemegang Ijazah Sarjana Muda Perkhidmatan Pelanggan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam, Selangor.
Bagi mendorong wanita berkulit gelap terus menghargai anugerah ILAHI tanpa perlu mengambil produk atau suntikan terlarang, Jaja bakal melancarkan, BrownSkin Beaute pada bulan depan.
"Biarpun tidak memiliki kulit cerah, itu bukan alasan untuk wanita mengabaikan kecantikan dan kesihatan kulit wajah.
"Produk ini membantu mengurangkan masalah kulit kering, jerawat, kulit berminyak, parut, dan kulit kusam. Kandungan minyak essential juga mampu memberi ketenangan kepada pengguna,” tambah beliau.
Sebelum menutup bicara, anak kedua daripada tiga beradik itu sempat menitipkan pesanan buat golongan Hawa yang berkulit hitam manis:
"Be confident (yakin), be yourself (jadi diri sendiri), be consistent (konsisten)."
PROFIL
Nama penuh: Nur Rafiza Abdul Talib
Nama karier: Jaja Talib
Umur: 27 tahun
Asal: Permatang Pauh, Pulau Pinang
Bilangan adik-beradik: Anak kedua daripada tiga beradik
Pendidikan: Ijazah Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara
Hobi: Bercuti dan bersolek
Warna kegemaran: Hitam, kuning, merah dan merah jambu
Jenama fesyen pernah bekerjasama:
- Duck Scarf (Fashionvalet)
- Maybelline
- NYX Cosmetic
- Veromoda
- Jovian Mandagie
Pengalaman dalam industri fesyen: Enam tahun
Instagram: @jajatalib @brownskinbeaute_hq
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang