Motorhome pilihan Black untuk bersantai

A
A
A

BAGI peminat aktiviti perkhemahan atau yang gemar meluangkan masa dengan persekitaran semula jadi, penggunaan treler karavan atau istilah mudahnya motorhome bukan satu yang asing lagi.

Penyanyi lagu Hanyut, Black Hanifah berkata, memikirkan persekitaran hutan yang pastinya sukar untuk mendapatkan kemudahan asas seperti makanan dan tempat tinggal, telah mendorongnya mendapatkan sebuah motorhome model Plutus Caravan.

"Saya gemar melakukan aktiviti sukan motosikal lasak yang selalunya dilakukan berhampiran dengan kawasan hutan. Kadangkala apabila panas dan hujan, isteri bersama anak-anak sukar untuk mendapatkan tempat yang selesa untuk berteduh. Jadi, saya kira dengan memiliki motorhome, ia akan memberi keselesaan kepada semua," kata Black atau nama penuhnya, Hanifah Md Hanafiah.

Siapa kata motorhome tidak perlu didekorasi? Kata penyanyi itu, banyak aspek yang perlu diambil kira.

Namun, terlebih dulu ujar beliau, perkara utama yang perlu diambil kira adalah keluasan ruang bagi menempatkan tempat tidur dan dapur.

"Saya juga akan pastikan rekaan tempat penyimpanan barang juga perlu sistematik agar setiap inci keluasan dapat digunakan dengan baik. Bagi menjimatkan ruang, rekaan seperti meja makan, tempat duduk atau tidur akan ditukar mengikut keperluan semasa," katanya yang sudah dua tahun menggunakan kenderaan yang sangat popular di negara Barat itu.

Ujar selebriti itu lagi, beliau telah mengubahsuai katilnya yang dibina secara bertingkat, sekali gus boleh memuatkan empat orang tidur di atasnya. Meja makan juga boleh ditransisikan menjadi tempat baring kepada mereka yang bertubuh kecil.

Dalam pada itu, ciri-ciri keselamatan sangat dititik beratkannya kerana motorhome bergerak dan melalui jalan raya seperti kenderaan lain.

Dalam hal itu terang Black, dapur atau ruang memasak dan tempat penyimpanan makanan akan sentiasa dijaga dan diberi perhatian sewajarnya. Begitu juga dengan alat pemadam api, tali pinggang, sistem pendawaian elektrik, pembuangan sisa kumbahan dan penggunaan bahan api.

"Utamakan keselamatan terlebih dahulu selain keselesaan tempat tidur dan memasak. Bagi saya, sebaiknya pilih kenderaan yang memiliki paras bumbung yang tinggi agar boleh berdiri kerana ia akan memudahkan pergerakan dan pada masa memudahkan kita untuk bersolat," jelasnya.

Memiliki motorhome juga kata Black menuntut seseorang bijak memaksimumkan ruang.

Bagaimana pula dengan pilihan nuansa warna? Adakah ia diberi perhatian atau diabaikan sahaja? Menjawab pertanyaan itu, Black berkata, dirinya lebih cenderung memilih warna yang memberi ketenangan.

Jika dilihat pada motorhome Black, beliau memilih rona berwarna hitam, manakala bahagian dalamannya termasuk dinding yang berkeluasan 300 kaki persegi berwarna coklat lembut. Sentuhannya itu jelas menampakkan konsep gabungan gaya rustik dan moden.

Pendek kata, motorhome milik Black sangat mengagumkan. Ia umpama sebuah rumah mini yang lengkap dengan televisyen, peti sejuk, dapur memasak, tangki air, penghawa dingin, sinki, tandas, ventilasi dan sebagainya.

"Buat masa ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, motorhome tak bergerak jauh. Kami hanya 'berkampung' di luar rumah saja," katanya berseloroh.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca