Pening kepala dan pengsan tiba-tiba, awas penyakit tekanan darah rendah
SALAH satu gejala bagi mereka yang mempunyai masalah tekanan darah rendah adalah pening kepala dan pengsan dengan tiba-tiba.
Walaupun masih muda, masalah sakit kepala tidak boleh dipandang remeh.
Tekanan darah rendah bukan hanya berlaku kepada ibu hamil, namun ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
Menurut Penceramah Kesihatan dan Pemakanan, Dr Zubaidi Ahmad, tekanan darah rendah berlaku apabila pesakit mempunyai tekanan lebih rendah daripada bacaan normal.
Katanya, julat tekanan darah yang normal adalah di antara bacaan 90/60 milimeter merkuri (mmHg) hingga 140/90mmHg.
Menurutnya, jika tekanan darah kurang daripada bacaan itu, pesakit akan mengalami masalah pening kepala dan pengsan. Namun, jika ia lebih daripada julat tersebut pula pesakit dikatakan mengalami tekanan darah tinggi.
Namun, tidak semua pesakit menunjukkan simptom tekanan darah rendah. Ia mungkin disebabkan memang bacaan untuk tekanan darah sebelum itu mempunyai bacaan yang rendah.
Bacaan yang rendah itu biasanya berlaku kepada kaum wanita, kurus dan faktor keturunan.
Antara simptom yang ditunjukkan masalah itu seperti:
1. Rasa berdebar-debar
2. Pening kepala
3. Badan menjadi lemah
4. Pengsan
5. Sesak nafas
6. Pandangan menjadi berpinar ataupun kabur
7. Merasakan badan sejuk
8. Muka pucat
Artikel berkaitan: Ibu bapa risau anak kemaruk makan manis, ini petua ‘mujarab’ elak risiko berpenyakit
Beberapa punca sebenar yang boleh menyebabkan tekanan menjadi terlalu rendah adalah:
1. Masalah jantung
Jantung berfungsi untuk mengepam darah ke seluruh bahagian badan. Jika organ itu mengalami masalah, ia akan menyebabkan tekanan darah menjadi rendah.
Beberapa penyakit yang menyebabkan masalah pada jantung adalah serangan sakit jantung, injap jantung bermasalah, jantung berdenyut tidak normal, lemah jantung, keradangan pada otot jantung.
2. Masalah endokrin
Sistem endokrin adalah sistem yang melibatkan penghasilan hormon di dalam badan. Ia boleh mempengaruhi pelbagai organ dalam badan termasuk jantung, buah pinggang dan sebagainya.
Beberapa masalah yang boleh menyebabkan tekanan darah rendah disebabkan masalah endokrin adalah Diabetic Ketoacidosis (masalah kencing manis dan gula dalam darah sangat tinggi) dan Addison’s Disease (tidak dapat menghasilkan hormon yang cukup untuk mengekalkan kandungan gram dalam darah.
3. Kurang air
Masalah yang menyebabkan muntah-muntah dan boleh membuatkan seseorang itu kekurangan air dalam badan. Terutamanya jika pesakit tidak boleh minum air disebabkan asyik muntah.
Masalah itu akan menyebabkan isipadu darah semakin kurang dan tekanan darah juga menjadi kurang.
4. Pendarahan
Pendarahan yang teruk juga akan menyebabkan isipadu darah menjadi berkurangan. Bagi pesakit kehilangan darah perlu diganti dengan darah semula.
5. Jangkitan kuman yang teruk (Sepsis)
Jika kuman telah memasuki darah, ia boleh menyebabkan satu keadaan yang dinamakan sebagai sepsis. Jika tidak dirawat dengan cepat, pesakit akan mengalami tekanan darah rendah dan keadaan itu dipanggil sebagai Septic Shock dan boleh membawa kepada maut.
Jangkitan yang boleh berlaku dengan teruk adalah jangkitan paru-paru, jangkitan pada kulit(cellulitis), jangkitan pada tempat buang air kencing atau kencing kotor dan banyak lagi.
Siapa lebih berisiko :
1. Pesakit yang berumur lebih daripada 65 tahun dan mempunyai pelbagai penyakit seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.
2. Pesakit yang mengambil ubat tekanan darah.
3. Mereka yang menghadapi penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan pernah mengalami serangan sakit jantung adalah berisiko
Semoga bermanfaat.
#HealthDrZubaidi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang