Peruntuk lebih kurang RM120,000 untuk bina rumah stail kontena. Siap ada kafe mini lagi
PERUNTUK lebih kurang RM120,000 untuk bina rumah stail kontena. Siap ada kafe mini lagi!
Itulah Kotak Teduh yang merupakan kediaman milik sepasang suami isteri, Zaizul Azri Mohamad Mahayudin dan isteri, Hamizah Baharuddin di Taman Meru, Klang, Selangor antara yang mencuri pandangan SinarPlus.
Menurut Zaizul Azri, pada awalnya mereka sekadar mahu memiliki rumah sendiri pada harga yang berpatutan.
“Tanah untuk membina rumah ini sudah lama dibeli, tetapi tiada sebarang perancangan. Selepas berumah tangga, segalanya berubah.
“Bermula dari detik itu, saya dan isteri saling memikirkan idea untuk menjimatkan belanja dan kos dengan cara membina rumah daripada kontena," katanya kepada SinarPlus baru-baru ini.
Tanpa sebarang kemahiran atau pendedahan khusus, Zaizul Azri dan Hamizah memilih menimba ilmu seni bina melalui internet, khususnya melibatkan pemilihan jenis kontena agar tahan lebih lama dan berkualiti.
“Semua dilakukan secara dalam talian saja termasuk mendapatkan khidmat kontraktor binaan. Syukur kontraktor juga berpengalaman dalam binaan kontena jenis komersial, jadi semua yang dirancang berjalan dengan lancar.
“Perkara utama yang perlu diambil kira untuk membina rumah jenis ini ialah sistem pengaliran udara dan ruangan agar tidak terlalu sempit atau terhad," ujarnya.
Pada masa sama, lelaki itu turut menjelaskan bahawa kediaman tersebut tidak dibina 100 peratus menggunakan binaan kontena. Hanya 70 peratus sahaja, manakala selebihnya menggunakan konkrit dan batu bata.
“Binaan untuk bahagian dapur dan tandas tidak digalakkan berasaskan besi kerana akan cepat berkarat dan rosak berbanding konkrit serta batu bata yang lebih tahan lama. Tangga jenis putaran digunakan untuk naik ke tingkat dua. Ia bukan sahaja menjimatkan ruang, malah nampak lebih unik," tambahnya.
Kediaman dua tingkat dengan keluasan keseluruhan 20 x 45 meter persegi itu yang menelan belanja sekitar RM120,000 dilengkapi dengan dua bilik tidur, pejabat, ruang tamu, dapur, dua buah tandas dan balkoni termasuk ruang yang dinamakan sebagai Hutan Kecil.
Lokasi itu menjadi kegemaran Zaizul Azri dan isteri untuk merehatkan minda dan melepaskan lelah. Tumbuhan seperti Adanson‘s monstera, Fiddle leaf fig dan Monstera deliciosa menambahkan lagi seri Hutan Kecil.
BACA JUGA IMhomestylist tawar dekorasi kediaman dengan ciri-ciri mewah pada harga mampu milik
Sebentar.Kopi
Tidak hanya terhad sebagai sebuah kediaman yang tersendiri, sebuah mini kafe yang menghidangkan kopi turut menjadi tarikan kepada Kotak Teduh.
Perniagaan kecil-kecilan yang mula beroperasi sekitar November 2021 itu bermula secara tidak sengaja apabila minuman tersebut sering menjadi sajian utama buat tetamu, kata Zaizul Azri.
Ilham kafe yang dikenali sebagai Sebentar.Kopi itu juga banyak ‘dikutip‘ dari beberapa kedai kopi popular di Indonesia dan beberapa negara luar.
Memandangkan pasangan tersebut merupakan peminat kopi yang tegar, kedua-duanya sepakat untuk mengaplikasikan konsep pandu lalu.
Bagaimanapun, masih terdapat ruangan kecil buat mereka yang ingin bertandang ke Sebentar.Kopi dan serentak dengan itu, diberi ‘akses‘ untuk meninjau kediaman istimewa mereka.
Kepada SinarPlus, Zaizul Azri berkata, beliau turut merancang untuk menambah binaan cincin konkrit sebagai ruang tambahan di tingkat atas.
“Gabungan konkrit dan besi secara tidak langsung menyeimbangkan gaya kediaman dan kelihatan luar biasa. Tambahan pengubahsuaian dilakukan secara berperingkat memandangkan kami menggunakan wang simpanan sendiri," akui beliau.
Sebelum kami menutup tirai perbualan, pendidik itu berkata, penggunaan binaan berasaskan besi pada rumah kontena sentiasa mengundang tanda tanya khalayak tentang tahap suhu, sama ada ia terlalu panas atau sebaliknya terutama pada waktu siang.
Bagi menjawab pertanyaan popular berkenaan, jelasnya, kepentingan pengaliran udara seperti tingkap, pintu dan kipas pengudaraan sangat ditekankan.
“Kami hanya membuka kipas pada waktu siang dan hanya sesekali menggunakan penghawa dingin,“ kata beliau menoktahkan jawapan. -NURUL FADILA AWALUDIN
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang