Phewiiit!...Amy Search rockers stailo

amy search
amy search
A
A
A

SEMPOI dan stailo. Dua perkataan yang tepat bagi menggambarkan personaliti legenda rock tanah air, Amy Search.

Kesempatan bertemu empat mata bersama pemilik nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman ini di sebuah kafe baru-baru ini memberi peluang kepada penulis merungkai lebih mendalam kecenderungan beliau dalam bidang fesyen.

Bicara perihal seni sengaja disimpan memandangkan penglibatan beliau di pentas nyanyian bersama kumpulan Search selama tiga dekad sudah pun cemerlang. Lagu Isabella misalnya, yang terkandung dalam album Fenomena pada 27 Februari 1989 telah mencipta fenomena luar biasa.

Di Malaysia sahaja terjual lebih 250,000 unit manakala mencecah dua juta unit di negara jiran, Indonesia. Justeru, tidak keterlaluan penulis menyifatkan sehingga kini lagu Isabella kekal malar segar dan menjadi siulan ramai.

Seperti mana keutuhan lagu terbabit begitu juga dengan figura yang popular dengan nama Amy Search Phewiiit! Bayangkan, pada usia menginjak 62 tahun beliau kekal cergas dan bergaya.

Usai helaian rambut ditatarias oleh jurusolek Norezz Idris, pelantun lagu Pawana ini pantas menyarungkan sut berjalur dan dipadankan bersama celana polos paras buku lali. Tata gayanya disempurnakan dengan cermin mata hitam dan kasut sneaker rona gelap.

Sekali pandang penampilan beliau persis anak muda.

Amy searchBICARA Amy, beliau ke salun untuk trim rambut sahaja, selebihnya rawatan dilakukan di rumah. Foto: Izahar Atan / MUA: @norezzidris

“Minat berfesyen ini timbul ketika melangkah ke sekolah menengah. Dalam kalangan rakan-rakan di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru saya dikenali sebagai budak lelaki yang berani menyarungkan seluar belang acap kali ke bandar.

“Kemudian, kecintaan (fesyen) itu bercambah apabila melibatkan diri dalam bidang seni. Biarpun bergelar bintang rock, saya cukup menitikberatkan aspek penampilan dari hujung rambut hingga hujung kaki kerana ia mencerminkan keperibadian diri,“ tutur beliau ketika ditemui Sinar Plus di Denai Alam, Bukit Jelutong, Selangor pada Isnin lalu.

Transisi trend fesyen

Bicara bapa kepada aktres popular Nabila Huda ini, sebagai penyanyi, selain vokal dan lagu, pemilihan busana juga memainkan peranan agar tampak segak ketika menjalani sesi fotografi dan memenuhi undangan nyanyian.

“Tidak dinafikan sebut sahaja bintang rock, majoriti masyarakat berpendapat kami akan menggayakan persalinan serba hitam, baju T dan seluar jean compang-camping. Ya, sukar untuk menidakkan persepsi tersebut, tetapi saya pula sebaliknya.

“Saya gemar bereksperimentasi suai dan padan pakaian bagi mendapatkan corak pemakaian yang berbeza dengan orang lain. Kerjaya sebagai rockstar (penyanyi rock) bukan alasan membataskan berfesyen.

“Paling utama, ia memerlukan keberanian dan jangan terlalu memikirkan tanggapan orang lain. Lagipun umum mengetahui fesyen itu adalah universal yang mana setiap individu layak memilih stail peribadi,“ luah beliau.

Simbiosis muzik dan fesyen berjalan seiring. Disebabkan gaya artis sering menjadi ikutan para peminat, maka suami kepada Nor Hasniza Hassan ini sentiasa mencari stail baharu selari dengan trend fesyen semasa.

“Minat ini bukan sahaja dapat mengelakkan saya tertinggal gaya terkini, pada masa sama berpeluang menambat hati peminat baharu khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Bercakap tentang perkembangan fesyen, saya antara individu yang melihat transisi trend bermula pada era 60-an sehingga zaman milenium hari ini dan berkesempatan bergaya sakan (ketawa),“ jelas beliau yang lebih mengutamakan item fesyen rekaan menarik dan selesa berbanding mementingkan jenama mewah.

Tambah Amy yang obses dengan dunia fesyen, sekitar zaman 60-an golongan jejaka gemar berseluar potongan kecil di bahagian bawah antara koleksi pakaian wajib dimiliki di dalam almari.

Bagi menyerlahkan penampilan, seluar tersebut dipadankan bersama kasut but. Memasuki era 70-an pula, seluar jenis bell-bottom yang menerapkan potongan lebar di bahagian bawah mendominasi di kebanyakan rumah-rumah fesyen.

“Pada zaman (70-an) tersebut rata-rata pencinta fesyen termasuk saya mengenakan fesyen yang menggabungkan konsep glamor dan ala disko, apatah lagi gelombang filem Saturday Night Fever sedang hangat diperkatakan.

“Masing-masing tampil dengan calitan penggaris mata, rambut kembang, baju potongan longgar dan seluar bell-bottom dalam percikan sentuhan rock glamor. Pada ketika itu, Bon Jovi dan kumpulan Cinderella antara artis yang dilihat berjaya menggayakan fesyen 70-an,“ jelasnya.

Selain itu, Amy turut mengendalikan bisnes pakaian jubah, kurta, kebaya dan kebarung di bawah jenama Amy Search General Products & Co. Ceritera beliau perihal fesyen tidak terhenti setakat itu sahaja.

amy searchAMY (diri, belakang) menggayakan koleksi kurta yang ditawarkan di bawah jenama Amy Search General Products & Co. Foto: Instagram: @amysearch.gp.co

Berikutan sikapnya yang berani dan tampak stailo menggayakan pelbagai persalinan turut memikat hati bukan sahaja dalam kelompok pereka fesyen tempatan, bahkan jenama antarabangsa.

“Sebahagian besar pemain industri fesyen menyifatkan saya tidak kekok dan berkeyakinan tatkala menyarungkan apa sahaja persalinan.

“Masih segar dalam ingatan ketika terlibat dalam pertunjukan fesyen jenama antarabangsa popular, Guess. Pada waktu itu, saya satu-satunya selebriti diberi kebebasan memilih item fesyen pilihan untuk diperagakan.

“Difahamkan, pihak penganjur percaya setiap pakaian yang membaluti tubuh badan saya tampak terletak, serasi dan akan digayakan dengan baik,“ ujar Amy yang sentiasa melakukan rujukan fesyen semasa sama ada yang diperagakan di pentas peraga ataupun disiarkan dalam majalah terbitan antarabangsa mahupun lokal.

amy searchAMY (kiri) dan isteri, Nor Hasniza terharu apabila kostum dan nuckle head mic stand yang digayakan pada Konsert Jelajah Fenomena 30 Tahun Search diabadikan di Hard Rock Hotel, Desaru Coast, Johor tahun lalu. Foto: Instagram @qasander

PROFIL

Nama: Suhaimi Abdul Rahman

Umur: 62 tahun

Tarikh lahir: 28 Julai 1958

Asal: Batu Pahat, Johor

Kerjaya: Pemuzik, penyanyi, penulis lirik, pelakon dan usahawan

Isteri: Nor Hasniza Hassan

Anak: Lima orang

Antara pencapaian:

- Juara Persembahan Terbaik (lagu Isabella), Anugerah Juara Lagu TV3 (1989) Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (album Magic), Anugerah Industri Muzik ke-2 (1995) Album Rock Terbaik (penerbit Amy, album Camouflage), Anugerah Industri Muzik ke-5 (1998) Album Rock Terbaik (penerbit Amy & M.Nasir, album Aku), Anugerah Industri Muzik ke-7 (2000) Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (album Suatu Masa), Anugerah Industri Muzik ke-8 (2001)

Instagram: @akuamysearch

ANEKDOT

- Pada usia 62 tahun Amy aktif berbasikal, mendaki dan selam skuba bagi mengekalkan kecergasan.

- Mengunjungi salun untuk trim rambut sahaja, rawatan selebihnya dilakukan di rumah.

- Mahir memasak terutamanya asam pedas dan ayam masak hijau.

- Kostum dan ‘nuckle head mic stand‘ yang dipakai ketika Konsert Jelajah Fenomena 30 tahun Search 2011 telah diabadikan di Hard Rock Hotel, Desaru Coast, Johor (2019).

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca