12 jenis ulam, rempas-ratus bangkitkan aroma botok-botok warisan nenek
KETIKA kecil dulu, setiap kali dimaklumkan akan pulang ke kampung, Nurul Faizaa Sabani, 41, pasti melonjak keriangan.
Gembiranya bukan kepalang kerana dapat bertemu nenek kesayangannya, Hamidah Ahmad di Kampung Sri Gading, Batu Pahat, Johor.
"Saya antara cucu yang teruja apabila dapat pulang ke kampung. Masakan tidak, di kampung kami sekeluarga berpeluang menikmati pelbagai lauk-pauk air tangan arwah nenek.
"Keseronokan itu semakin berganda tatkala disajikan pula menu kegemaran iaitu botok-botok ikan tenggiri yang dinikmati bersama nasi panas. Itupun sudah memadai," jelas Nurul Faizaa yang mula meminati botok-botok ikan tenggiri seawal usia 11 tahun.
Botok-botok merupakan sajian tradisional masyarakat Jawa berasaskan ikan segar dicampur dengan pelbagai ulam dan rempah-ratus.
Makanan yang dibalut menggunakan helaian daun pisang itu akan dikukus dalam tempoh satu jam.
Botok-botok dan pais ikan adalah dua menu berbeza. Botok-botok yang mengandungi ulam, ikan dan pelbagai rempah dikukus manakala pais ikan dibakar.
Bicara ibu kepada empat cahaya mata berkenaan, secara tradisinya, botok-botok menggunakan tujuh jenis daun ulam, namun beliau pula sebaliknya.
Bagi membangkitkan aroma dan rasa yang menyelerakan, Nurul Faizaa menggabungkan 12 jenis ulam kampung.
Antaranya seperti daun kaduk, ulam raja, daun mengkudu, tenggek burung, daun putat, bebuas, pucuk gajus, kemangi, selasih, pucuk ubi, daun kunyit dan daun kesum.
"Ketika masih kanak-kanak, saya selalu mengikut nenek mencari ulam dan pucuk daun untuk membuat botok-botok. Kami akan meronda keliling rumah memetik daun pegaga, daun kesum dan kangkung kampung.
"Selesai memetik ulam, saya membantu membersihkan ulam-ulaman, sementelah nenek pula memasak rempah yang terdiri daripada santan, kerisik, cili kisar, gula merah dan asam jawa," katanya yang kini mengusahakan bisnes botok-botok menggunakan resipi arwah nenek secara dalam talian @nexzeal_kitchen.
Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, keistimewaan botok-botok terletak pada khasiatnya yang tersendiri.
Beliau menyifatkan, jika sejenis ulam boleh membantu menyihatkan badan, maka lebih tinggi manfaatnya apabila menikmati 12 jenis ulam dalam satu hidangan.
"Tidak keterlaluan saya mengatakan botok-botok adalah makanan sihat kerana ulam-ulaman membekalkan sumber vitamin manakala ikan tenggiri kaya dengan protein. Ia juga sesuai diamalkan wanita ketika berpantang selepas bersalin termasuk mereka yang ingin menjaga penampilan diri baik luar mahupun dalaman.
"Selain membuang angin, ulam-ulaman pilihan ini membantu melancarkan peredaran darah, meredakan tubuh badan yang lenguh dan menambah susu ibu," tutur Nurul Faizaa yang lebih cenderung memilih ikan tenggiri berbanding ikan lain.
Beliau memberitahu ikan tersebut tidak mempunyai tulang halus dan sesuai dimakan oleh semua peringkat umur khususnya kanak-kanak.
Tambahan pula, isinya yang tebal membuatkan perut cepat kenyang.
RESIPI BOTOK-BOTOK IKAN TENGGIRI
Bahan-bahan A (ulam - ulaman)
- 5 helai pucuk ubi
- 2 helai daun kaduk
- 2 helai ulam raja
- 2 helai daun mengkudu
- 3 helai tenggek burung
- 3 helai daun putat
- 3 helai daun bebuas
- 2 helai pucuk gajus
- 5 helai daun kemangi
- 5 helai daun selasih
- hirisan daun kunyit
- hirisan daun kesum
Bahan-bahan B (dikisar)
- 3 biji bawang besar
- 3 biji bawang putih
- 1 inci halia
- 1 inci kunyit
- Cili kering
Bahan- bahan C
- 1 inci lengkuas (diketuk)
- Kerisik
- Kari Ikan
- Santan
- Asam jawa
- Gula melaka
- Garam
Cara penyediaan:
1. Tumis semua bahan dikisar sehingga pecah minyak.
2. Kemudian, masukkan kari ikan, kerisik dan santan lalu gaul sebati.
3. Asingkan bahan-bahan yang ditumis.
Cara membungkus:
1. Alaskan dengan daun pisang.
2. Letakkan ulam-ulaman yang sudah dibersihkan.
3. Kemudian, letakkan ikan tenggiri dan tuang rempah yang ditumis sebentar tadi.
4. Bungkus botok-botok dengan kemas.
5. Kukus botok botok sejam.
6. Siap untuk dihidangkan bersama nasi putih.
Sumber: @nexzeal_kitchen
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang