Saran pakai double mask di tempat sesak, ini cara pakainya
RAMAI meluahkan kelegaan apabila kerajaan akhirnya mengumumkan Sekatan Pergerakan Penuh atau total lockdown fasa pertama bermula Selasa lalu hingga 14 Jun ini.
Nampaknya, itulah formula terbaik bagi memutuskan penularan wabak Covid-19 yang semakin menggila. Jika tidak dilaksanakan, nescaya impaknya begitu teruk sehingga boleh meruntuhkan sistem kesihatan negara.
Meskipun segelintir pihak kurang senang dengan keputusan tersebut, namun kita perlu berlapang dada.
Seperti yang tertera di laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setakat Sabtu, sebanyak 171 juta kes dicatatkan dengan 3.5 juta kematian melibatkan penduduk di lebih 200 buah negara.
Di Malaysia, graf kenaikan kes sangat menakutkan. Terdapat banyak alasan yang diberikan. Ada yang menyalahkan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu. Amarah mereka tidak boleh dinafikan lantaran terdapat satu kajian yang menyokong dakwaan tersebut.
Baru-baru ini, sekumpulan penyelidik dari Saw Swee Hock School of Public Health, Universiti Kebangsaan Singapura mendapati kes baharu Covid-19 di Sabah telah meningkat sebanyak 70 peratus pada minggu pertama selepas PRN berlangsung.
Tidak kurang juga yang menyalahkan rakyat yang alpa sehingga tular tanda pagar #rakyatgagal menerusi media sosial.
Pun begitu, melawan virus korona tidak mudah lantaran ia merupakan musuh yang kita tidak nampak.
Kerajaan juga telah mempertingkatkan kawalan di sempadan negara sebagai langkah persediaan untuk menghadapi jangkitan varian kacukan India dan UK yang telah merebak di Vietnam.
Bukan itu sahaja, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkali-kali mengingatkan bahawa virus Covid-19 tidak hanya merebak menerusi cecair, malah turut menular di ruang udara.
Apabila Dr Noor Hisham memakai pelitup muka ditambah dengan pelindung khas, ramai yang membuat pelbagai andaian.
Pada sidang akhbar media minggu lalu, beliau meleraikan segalanya. Ujarnya, pemakaian dua keping pelitup muka mampu menapis virus Covid-19 dengan lebih baik.
Beliau turut berkongsi kajian yang dijalankan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC).
Penyelidikan CDC antara lain mendapati:Pemakaian pelitup muka jenis kain yang dipakai bersama pelitup muka jenis perubatan dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
Pemakaian satu lapisan pelitup muka yang tidak diikat mampu menyekat 56.1 peratus partikel halus, manakala pelitup muka jenis kain menyekat 51.4 peratus.
Pemakaian pelitup muka jenis perubatan yang diikat ketat pula mampu menyekat 77 peratus partikel halus.
Pemakaian dua pelitup muka jenis perubatan dan kain menghalang 85.4 peratus virus.
Bagi memberi pencerahan mengenai isu ini, Pakar Kardiologi Institut Jantung Negara, Dr Beni Isman Rusani telah membantu rakyat Malaysia dengan merakam satu video ringkas menerusi laman TikToknya tentang kaedah tepat memakai pelitup muka berganda seperti yang disarankan.
“Pastinya, dengan cara itu (pemakaian berganda), ia dapat mengetat dan memastikan pelitup muka perubatan kita tidak longgar dan menutupi ruang pada celah-celah tepi atau atasnya," katanya.
Jangan paksa
Bagi mendapatkan ulasan lanjut, SinarPlus turut mewawancara Pegawai Perubatan, Klinik Ajwa Shah Alam, Selangor, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman.
Beliau berkata, cara yang disyorkan Dr Noor Hisham itu adalah bertujuan untuk meningkatkan tahap perlindungan dan penapisan pelitup muka.
"Pemakaiannya sangat digalakkan terutama ketika berada di kawasan berisiko tinggi seperti di hospital, klinik termasuk tempat yang sesak dan sempit," katanya.
Pun demikian, timbul rungutan tentang kesukaran bernafas dengan selesa walaupun tidak mengurangkan pembekalan oksigen kepada si pemakai.
Pegawai perubatan itu lantas memberi reaksi.
"Sudah pasti masalah itu boleh terjadi. Dalam hal ini, saya nasihatkan kepada mereka yang konsisten mengalaminya, segeralah menghentikan pendekatan memakai pelitup berganda. Ingat, jangan paksa kerana ia akan memberi risiko kepada kesihatan!" katanya.
Ujar Dr Arisman, terdapat cara lain untuk melindungi diri daripada terkena jangkitan dengan mudah. Antaranya, menggunakan satu pelitup muka dengan pelindung muka dan amalkan penjarakkan sosial.
Beliau berkata, petugas petugas kesihatan perlu memakai pelitup muka berganda kerana virus berkenaan lebih dekat dengan mereka.
"Pastikan pakai dengan betul, sia-sia dan membazir sahaja jika memakai pelitup muka berganda, namun masih letakkan pelitup muka di bawah hidung atau pada dagu," pesannya.
Syarat lain
Portal perubatan terkemuka dunia, Healthline turut memberi pandangan mengenai metodologi terbaharu yang disarankan CDC.
Menurut laman web berkenaan, apabila seseorang memakai dua lapisan, pelitup luar dapat memberi tekanan lembut pada topeng bahagian dalam.
"Menambah topeng kedua dapat meningkatkan penapisan dengan lebih banyak lagi. Ia dilihat berkesan dalam menggandakan lapisan bahan yang harus dilalui oleh titisan pernafasan yang mengandungi virus sebelum sampai ke wajah dan mulut seseorang.
Ringkas kata, pemakaian pelitup muka berganda memberi perlindungan lebih jitu," kata Healthline.Seorang pakar kesihatan awam dari India, Dr K Kolandasamy ketika ditemu bual oleh wartawan Times Of India mempunyai perspektif yang berbeza.
Tegas beliau, keberkesanan pelitup muka berganda sebenarnya juga bergantung kepada faktor-faktor lain seperti kekerapan mencuci tangan, ventilasi dan jarak sosial.
"Sekiranya seseorang sering mencuci tangan, pastikan ruang pengudaraan yang baik dan jaga jarak dua meter, kondisi anda akan baik-baik sahaja walaupun menggunakan pelitup muka jenis fabrik. Pelitup berganda sahaja tidak menjamin perlindungan, perlu patuh kepada tiga elemen yang saya sebutkan tadi," katanya.
Beliau juga menasihatkan, pelitup muka jenis kain wajib dibasuh dan dikeringkan di bawah pancaran matahari selepas menggunakannya.
"Jangan guna secara berulang tanpa dicuci terlebih dulu. Pastikan dalam simpanan anda, lebih baik daripada sehelai pelitup fabrik," katanya.
Untuk pelitup jenis N95, Dr Kolandasamy berkata, petugas kesihatan yang dikelilingi dengan pesakit Covid-19 harus membuang alat keselamatan itu selepas digunakan.
Sementara itu, Ahli American Medical Association (AMA), Megan Srinivas berkata, individu yang sudah divaksin tidak boleh sesekali menganggap mereka boleh terus bebas tanpa memakai pelitup muka.
"Pandangan itu salah sama sekali, sama ada sudah mendapat suntikan vaksin sepenuhnya atau tidak, anda wajib memakainya jika berada di tempat awam lebih-lebih lagi ketika memotong rambut, bersenam di gimnasium, menaiki bas atau kapal terbang.
"CDC yang baru mengemaskini nasihatnya juga berkata individu yang divaksinasi sepenuhnya dan tidak divaksinasi hanya dapat 'melepaskan' topeng muka mereka dengan selamat semasa berjalan, berlari, mendaki atau berbasikal di luar secara bersendirian atau dengan ahli keluarga yang sama.
"Pelitup boleh dibuka jika menghadiri perjumpaan luar kecil dengan keluarga dan rakan-rakan yang telah diberi vaksin sepenuhnya," kata Srivinas.
APA KATA ORANG RAMAI?
"Saya tahu mengenai saranan memakai pelitup muka berganda melalui media sosial, tetapi saya masih belum mencubanya. Di pejabat, saya akan memakai pelitup bersama pelindung muka.”
- Siti Norshafikah Rosli, 26, Sungai Dua, Pulau Pinang.
"Sudah dua kali saya memakai pelitup muka berganda semasa membeli barangan basah. Saya akui pernafasan memang sedikit tersekat, namun amalan itu boleh dibiasakan.”
- Ang June Oui, 48, Shah Alam, Selangor
"Pertama kali cuba pelitup muka berganda, saya rasa lebih selamat kerana lapisan luar (jenis kain) mengemaskan fungsi pelitup muka lapisan pertama."
- Fariszatul Erna Zubir, 27, Kuala Kangsar, Perak.
"Saya sudah cuba teknik yang disyorkan itu lebih-lebih lagi ketika merawat pesakit memandangkan saya seorang petugas kesihatan. Kepada orang ramai, anda dinasihatkan berbuat demikian terutama jika berada di kawasan sesak dan ramai orang,”
- Mohd Hafiz Md Yatim, 31, Kangar, Perlis.
ANEKDOT
PENERANGAN & panduan pemakaian pelitup muka berganda:
- Pihak Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) dan Penasihat Perubatan Pentadbiran Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci telah menjalankan pengesahan ke atas pemakaian pelitup muka berganda. Ia didapati membantu menapis lebih banyak partikel berbanding satu pelitup muka kain.
- Dua kaedah telah dikaji bagi meningkatkan keberkesanan penggunaan pelitup muka. Kajian CDC menunjukkan pemakaian pelitup muka berganda (pelitup muka kain di atas pelitup muka perubatan) dapat mengurangkan risiko pemakai kepada pendedahan virus Covid-19.
- Ikat gelung telinga ke tepian pelitup muka dan selitkan lipatan sisi pelitup muka bagi mengurangkan jurang dengan muka.
- Sememangnya pemakaian dua pelitup muka akan menjadikan pernafasan sedikit sukar, namun secara umumnya penggunaan pelitup muka perubatan dengan pelitup muka kain dapat digunakan dengan baik oleh kebanyakan pengguna dan ia tidak mengurangkan pembekalan oksigen kepada pemakai.
- Perbandingan peratus keberkesanan pelitup muka. Pelitup muka berganda didapati memberi perlindungan 85.4 peratus.
- Kaedah pemakaian pelitup muka berganda yang betul:
i) Gunakan pelitup muka perubatan dengan pelitup muka kain.
ii) Elak mengenakan dua pelitup muka perubatan atau dua pelitup muka kain sebagai pelitup muka berganda.
- Pelitup muka N95 adalah piawaian tertinggi bagi jenis pelitup muka. Ia boleh melitup permukaan muka dan menapis sehingga 95 peratus partikel (sekiranya dikenakan dengan betul). Oleh itu, tiada keperluan untuk mengenakan pelitup muka berganda.
Sumber: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang