Top 3 trend fesyen popular 2020
BIARPUN sudah memasuki pertengahan tahun, namun belum terlambat untuk para wanita tampil anggun dan bergaya mengikut trend fesyen 2020.
Berpandukan rekod kenyataan daripada stylecaster.com sebelum ini portal berkenaan berpendapat majoriti jenama mega memilih mengeluarkan koleksi busana berasaskan warna terang dan neon pada tahun ini.
“Umum menyedari, warna terang dan neon akan menjadi trend utama di pentas fesyen 2020.
"Justeru, percikan gaya peribadi anda menggunakan nuansa tersebut lebih-lebih lagi warna hijau terang,” jelas laman web itu.
Selain warna-warna neon, apakah elemen fesyen yang ditawarkan untuk golongan pencinta fesyen?
Justeru, pada hari ini segmen Sihat Cantik menyenaraikan semula hari ini top 3 trend fesyen tahun 2020 yang ideal dijadikan rujukan.
Selamat mencuba dan bereksperimentasi!
1 Bintikan polka
Pemerhati fesyen menyifatkan busana corak polka dot mula menambat hati golongan wanita selepas Ratu Amerika, Norma Smallwood menggayakan pakaian renang motif tersebut sekitar tahun 1926.
Biarpun berusia lebih sembilan dekad, nampaknya motif berkenaan 'tidak dimamah' usia, malah kekal relevan sepanjang zaman.
Tahun 2020 sekali lagi menyaksikan polka dot menduduki carta teratas sebagai fesyen wajib dimiliki sama ada himpunan blaus, dres, sepatu, hijab atau tas tangan.
Menariknya, corak itu bukan sahaja ideal untuk wanita bertubuh langsing, malah mereka berbadan gempal juga berpeluang menggayakan fesyen terbabit. Asalkan, anda bijak memilih saiz bintik bersesuaian dengan bentuk fizikal.
2 Percikan nuansa neon
Lupakan seketika palet warna gelap ataupun pastel kerana simbahan nuansa neon sedang menguasai trend fesyen tahun ini.
Tidak dinafikan, segelintir wanita ragu-ragu untuk menyarungkan busana rona hijau elektrik, merah jambu, kuning dan biru kerana bimbang kelihatan berlebihan berbanding orang sekeliling.
Namun begitu, tahukah anda pemilihan warna-warna neon sebenarnya membantu menyuntik penampilan tampak funky, muda, elegan, moden dan stailo. Justeru, usah gusar untuk menyarungkan jaket warna merah jambu atau celana hijau elektrik.
3 Kuning Marigold
Warna kuning inspirasi bunga Marigold atau dikenali bunga tahi ayam mendominasi trend fesyen 2020. Bagaimanapun, rona berkenaan bukanlah kuning neon ataupun kuning metalik.
Ia lebih kepada campuran kuning ton gelap dan lembut. Bagi anda yang kurang keyakinan untuk menyarungkan keseluruhan gaya kuning Marigold, usah bimbang.
Solusi terbaik padankan bersama item fesyen warna hitam, putih, kelabu atau coklat.
Foto: Instagram selebriti
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang