6 sunah dilakukan Rasulullah SAW sepanjang Ramadan

May 2, 2020
Oleh Nurulfatiha

SEMUA orang tahu tentang kelebihan dan kebaikan yang ada dalam bulan Ramadan.

Walaupun Ramadan bertandang sebagai tetamu barang cuma sebulan dalam setahun, namun ALLAH SWT telah memberikan kelebihan yang banyak dalam bulan ini berbanding bulan-bulan Islam yang lain.

Disebabkan itulah ramai yang mengambil peluang berlumba-lumba untuk mengaut sebanyak mungkin pahala yang ALLAH sediakan.

Seandainya pahala itu dapat dilihat seperti duit jatuh dari langit, sudah tentu ramai yang tidak akan melepaskan peluang untuk berbuat demikian.

Antara banyak amal soleh yang ada, sudah tentu amalan bulan Ramadan yang dilakukan Rasulullah SAW adalah yang terbaik. Masakan tidak, baginda kan merupakan contoh manusia terbaik hingga dipilih sebagai utusan ALLAH SWT.

Nak tahu apakah sunah yang sering dilakukan oleh baginda sepanjang bulan mulia ini?

Jom kita tengok satu persatu:

1. Lakukan amal kebaikan

Inilah aktiviti yang sering dilakukan Rasulullah SAW sepanjang Ramadan. Antara yang sering dilazimi baginda termasuklah solat berjemaah, solat sunat, memperbanyakkan sedekah dan membaca al-Quran.

Sabda baginda SAW: "Apabila datang malam pertama bulan Ramadan, dibelenggu syaitan dan jin, ditutuplah pintu neraka dan dibukalah pintu syurga dan kemudian diserukanlah: "Wahai orang yang mengharapkan kebaikan, datanglah! Dan wahai orang tidak suka kebaikan dan suka bermalas-malasan. Sesungguhnya dalam bulan Ramadan ini, setiap malamnya ALLAH membebaskan orang-orang yang dikehendaki-NYA daripada api neraka." (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmidzi)

2. Melipatgandakan amal perbuatan baik sama ada fardu atau sunat

Rasulullah SAW bersabda: "Wahai sekalian manusia, telah datang kepadamu bulan yang agung, penuh keberkatan di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, diwajibkan padanya berpuasa dan dianjurkan untuk menghidupkan malam-malamnya. Barang siapa melakukan satu kebajikan pada malam ini, seolah-olah dia mengerjakan satu perintah kebajikan dalam bulan lain dan siapa yang mengerjakan ibadah wajib seolah-olah mengerjakan 70 kali kewajipan tersebut pada bulan-bulan yang lain." (Riwayat Ibnu Khuzaimi, al-Mahamil, Ibnu Adi, al-Munziri)

Iklan
Sunah Rasulullah sepanjang Ramadan
PERBANYAKKAN bersedekah pada bulan Ramadan sepertimana yang sering dilakukan Rasulullah SAW pada bulan mulia ini.

Artikel berkaitan: Amalan yang boleh tambah dan kurangkan pahala puasa, penting untuk kita tahu

3. Bersedekah dan gemar memberi makanan kepada orang yang berpuasa

Tahukah kita bahawa Rasulullah SAW sangat pemurah pada bulan Ramadan. Kata Imam al-Bukhari, baginda merupakan seorang yang pemurah lebih-lebih lagi pada bulan yang penuh barakah ini.

Diriwayatkan juga baginda merupakan seorang penderma yang tidak pernah menolak apa jua permintaan. Dek kerana sifat pemurahnya itu, baginda digambarkan ibarat hembusan bayu lembut yang membawa banyak kurnia dan menabur kegembiraan dalam hati orang Mukmin.

4. Banyak berdoa

Inilah yang sering dilazimi baginda lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.

Iklan

Sabda baginda SAW: "Doa orang yang berbuka tidak pernah tertolak." (Riwayat Ibnu Majah)

Sunah Rasulullah sepanjang Ramadan
JANGAN lepaskan peluang untuk berdoa sepanjang bulan Ramadan kerana terdapat beberapa waktu mustajab di dalamnya.

5. Membaca al-Quran

Ketahuilah bahawa setiap malam pada bulan ini, Malaikat Jibril AS akan datang menemui Nabi Muhammad SAW. Mereka bersama-sama membaca al-Quran.

Tersirat hikmah di sebalik kisah ini iaitu untuk mengajar umat Islam bahawa selalulah membaca kalam ALLAH ini.

Sunah Rasulullah sepanjang Ramadan
TINGKATKAN ibadah pada 10 malam yang terakhir dan sama-samalah kita 'memburu' malam lailatulqadar.

6. Tingkatkan amalan ibadah pada 10 malam-malam terakhir Ramadan

Tujuannya tidak lain tidak bukan hanyalah untuk meraih malam lailatulqadar.

Sabda baginda SAW: "Sesiapa beribadah pada malam lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, ALLAH SWT akan mengampuni dosa-dosa yang telah dia lakukan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Barangkali ada antara amalan sunah tadi yang kita lakukan pada ketika ini. Alhamdulillah dan teruskan istiqamah kita melakukannya.

Namun begitu, jika kita 'tercicir' mana-mana sunah ini, masih belum terlambat untuk kita amalkan pada Ramadan ini.

(Sumber: 100 Amalan Sunnah Rasulullah, Muhd Nasruddin Dasuki)

Foto: Freepik

About Nurulfatiha

Biodata Penulis