Ini hukum ubah wajah berlainan jantina di FaceApp
SEJAK kebelakangan ini, viral orang berkongsi gambar 'kembar' di media sosial masing-masing. Kembar yang dimaksudkan ini bukanlah pasangan adik-beradik kembar atau individu yang seiras mereka.
Tapi 'kembar' yang 'dibuat-buat' menggunakan teknologi terkini. Semuanya mudah dengan hanya aplikasi FaceApp. Mudahkan nak buat apa-apa sekarang ni, tak perlu nak edit-edit lagi bagai. Semuanya tersedia dalam kemudahan yang ada.
Mereka hanya gunakan gambar sendiri untuk mengubah wajah macho masing-masing jadi rupa wanita yang begitu rupawan dengan FaceApp.
Walaupun ada banyak lagi function, tapi kebanyakan gambar yang viral tu gambar orang lelaki ubah wajah jadi wanita seolah-olah jadi trend sekarang.
Nampak macam seronok bila buat macam tu. Rasa macam boleh nampak rupa sendiri bila jadi wanita.
Lepas tu tak pasal-pasal ada pula kaum sejenis mengorat mereka bila gambar tu dimuat naik dalam media sosial. Maklumlah nampak cun bila lelaki tadi ubah wajah jadi wanita cantik.
Walaupun tindakan itu hanya dibuat sekadar suka-suka, tapi apa pandangan Islam tentang perkara ini? Bukan ke haram kalau lelaki menyerupai wanita?
Tapi kalau ubah wajah guna FaceApp pula macam mana? Boleh ke?
Dalam hal ini, Pensyarah Kanan Fiqh Fatwa Semasa dan Kajian Syariah, Pusat Fiqh Fatwa dan Kajian Syariah & Felo Kanan Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkongsi 'Hukum Mengubah Wajah Menggunakan Aplikasi FaceApp' dalam bentuk infografik mudah menerusi Instagram miliknya hari ini.
Jelas Mohd Izhar Ariff, hukum asal lelaki menjadi mak nyah adalah haram.
Sabda Nabi Muhammad SAW: "Antara halal dan haram terdapat perkara syubhah..."
Menjelaskan tentang pengharamannya, ujar Mohd Izhar Ariff, FaceApp tersebut mengubah lelaki jadi perempuan agar melupakan kita hukum asal mak nyah walaupun ia sekadar hiburan.
"Umat Islam marah golongan transeksual, pondan dan lain-lain. Tapi hakikatnya kita sendiri bergembira dengan perbuatan itu walaupun sekadar hiburan.
"Hati-hati dengan App seperti ini kerana ia agenda musuh Islam dan termasuk dalam App yang syubhah," jelasnya menerusi Instagram miliknya.
Justeru, beringatlah ketika menggunakan mana-mana aplikasi yang ada pada hari ini ya. Apa pun patuhilah apa yang ditetapkan dalam Islam.
Jangan terlalu seronok sampai membelakangkan hukum syarak. Kelak, diri sendiri yang susah.
Sumber: Instagram mohdizharariff_official
Foto: news18.com & Instagram mohdizharariff_official
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang