KURMA amat sinonim dengan bulan Ramadan yang lazimnya menjadi pilihan ketika berbuka puasa dan sahur.
Namun, hakikatnya kurma ini baik untuk diamalkan setiap hari dan bukan hanya di bulan Ramadan sahaja.
Malah, air rendaman kurma atau dikenali sebagai Air Nabeez juga baik untuk kesihatan dan boleh dijadikan amalan harian.
Ada juga yang menyediakan Susu Kurma yang kaya khasiat.
Baca juga: 7 Resipi Ayam Perap Mudah Dan Sihat! Boleh Buat Stok Sahur Ramadan Nanti
KHASIAT DALAM KURMA
Kurma atau nama saintifiknta Pheonix dactylifera kaya dengan tenaga dan padat dengan pelbagai nutrien, vitamin dan mineral yang penting untuk badan.
Kementerian Kesihatan Malaysia, setiap tiga biji kurma membekalkan kita lima nutrien seperti berikut;
-15 miligram (mg) kalsium
-140 mg potasium
-16 mg fosforus
-37 µg karotena (antioksidan)
-80 kcal kalori
Sunnah dimulakan berbuka dengan kurma kerana kebaikannya yang mengandungi fruktosa yang memberi tenaga segera. Kurma juga boleh membantu penghadaman untuk makanan yang dimakan seterusnya.
Kurma adalah sangat digalakkan diambil semasa bersahur dan berbuka. Kurma sebenarnya menyumbang tenaga serta-merta kepada mereka yang memakannya sehingga selepas 12 jam berpuasa.
Selain dimakan begitu sahaja, apakah cara pengambilan kurma yang menjadi pilihan anda?
Bersama ini SinarPlus kongsikan dua jenis cara pengambilan kurma yang boleh diamalkan Ramadan ini iaitu Susu Kurma dan Air Nabeez.
SUSU KURMA
Susu kurma adalah salah satu minuman yang menjadi pilihan semasa sahur. Harganya boleh tahan mahal, boleh mencecah RM8 sekotak.
Justeru, jomlah buat sendiri di rumah. Tanpa pengawet dan jauh lebih murah menggunakan resipi yang dikongsikan pengguna Facebook, Iffa Syahida.
BAHAN-BAHAN
1 kotak kurma, (pilih jenis lembut seperti rotab)
Susu
LANGKAH PENYEDIAAN
1. Asingkan biji kurma ambil isi.
2. Susun isi kurma di dalam bekas tahan panas dan panaskan pengukus.
3. Kukus selama 20 minit.
4. Setelah agak suam, kisarkan isi kurma dengan menggunakan mesin pemproses makanan hingga menjadi pes. Jangan campur air!
5. Masukkan ke dalam bekas bersih dan simpan di dalam peti ais.
6. Apabila tiba waktu sahur, larutkan sesudu pati kurma secawan susu sama ada susu segar, penuh krim atau rendah lemak.
Mudah bukan cara penyediaan susu kurma? Tidak perlu mengeluarkan pengisar setiap hari dan menjimatkan masa!
Baca juga: Susah Dan Lewat Bangun Sahur? Ini Cara Terbaik Bantu Selesaikan Masalah Itu
AIR NABEEZ
Kurma juga boleh diambil dalam bentuk berbeza iaitu air rendaman kurma atau dikenali sebagai Air Nabeez.
Air Nabeez dikatakan minuman kegemaran Rasulullah SAW yang mempunyai pelbagai kebaikannya seperti mengelakkan badan dehidrasi dan meningkatkan tenaga.
Berikut adalah cara penyediaan Air Nabeez yang mudah.
BAHAN-BAHAN
3 biji kurma
500 ml hingga 1 liter air
LANGKAH PENYEDIAAN
1. Asingkan kurma dari bijinya.
2. Carik-carik isi kurma, rendam isi kurma dalam air masak biasa.
3. Sediakan Air Nabeez ini pada malam sebelum tidur untuk diminum ketika sahur.
Boleh meletakkan bekas air di luar sahaja tanpa perlu menyimpannya ke dalam peti sejuk. Namun pastikan bekas air ditutup dan sedia dinikmati apabila tiba waktu sahur.
Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa mengikut Piramid Makanan Malaysia, keperluan pengambilan buah-buahan adalah dua hidangan setiap hari.
Tiga biji kurma dikira sebagai satu hidangan buah-buahan kerana mengandungi 15 gram gula.
Bagi orang dewasa yang sihat, boleh mengambil tiga biji kurma semasa berbuka dan bersahur.
Baca juga: Tip Mudah Untuk Terus Kenyang Sampai Berbuka. Poin Nombor 4 Memang Kena Elak
Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus
Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI