TANGGAL 9 Jun merupakan hari bermakna untuk insan yang bergelar ayah iaitu hari bapa. Ia sudah menjadi satu acara wajib dirai diseluruh dunia.
Awalnya, hari bapa ini diperkenalkan dan disambut oleh penduduk di Washington, Amerika Syarikat pada 19 Jun 1910 dan kini ia sudah menjadi kebiasaan apabila hari istimewa seperti hari ibu, bapa mahupun kanak-kanak disambut meriah dengan pemberian hadiah sebagai tanda penghargaan.
Janganlah setiap kali hari istimewa ini diberikan kek sahaja, tentu si penerima juga mengharapkan sedikit kelainan pada tahu ini.
Sekiranya masih belum ada idea, SinarPlus ingin berkongsikan beberapa buah fikiran untuk memberi hadiah kepada yang tersayang, berikut senarai-senarainya:
Baca juga: [VIDEO] Anak kecil melompat kegembiraan melihat lori ayah dari jejantas
1. Spa
Bila berbicara soal spa kecantikan dan rawatan kesihatan ia begitu sinonim dengan wanita tetapi alangkah baiknya jika kita menghentikan stereotaip itu kerana lelaki juga perlu menjaga penampilan diri.
Pasti golongan lelaki berasa janggal untuk ke spa kecantikan untuk mandi wap, urutan badan dan rawatan lain, namun mereka tetap akan hargai pemberian ini sebagai tanda menghargai usaha mereka yang bertungkus lumus mencari nafkah keluarga.
2. Beg galas kalis air
Sekiranya suami atau bapa merupakan seorang yang suka akan aktiviti lasak atau mereka ke tempat kerja menggunakan motosikal, maka amat sesuai untuk beri beg galas kalis air sebagai hadiah.
Beg kalis air itu amat berguna kerana segala dokumen penting, wang atau sebarang kad tidak akan basah kerana terlindung daripada terkena air.
3. Set spanar
Lelaki amat menyukai barang-barang yang mempunyai lambang kelelakian. Mereka juga boleh diibaratkan sebagai pakar kerana mampu membaiki barangan yang rosak dengan segera dan sempurna.
Justeru, pemberian set spanar kepada mereka memudahkan urusan mereka dalam membuat kerja-kerja bertukang.
4. Manisan
Bagi anak-anak yang ingin memberikan hadiah kepada bapa, boleh juga beri manisan seperti coklat. Lebih menarik pemberian coklat ini dibalut dengan kemas dan disertai dengan kad yang ditulis dengan kata-kata cinta.
5. Set lengkap penjagaan muka.
Lelaki sifatnya adalah menyukai sesuatu yang ringkas, cepat dan mudah. Oleh itu, kebanyakan lelaki tidak mempunyai set lengkap penjagaan muka. Kebanyakan mereka berpendapat, bulu yang ada dimuka boleh dicukur dengan menggunakan pencukur sahaja.
Namun, dengan adanya set lengkap muka yang terdiri daripada pencukur, minyak pra-cukur dan krim pelembut serta krim pencukur akan membantu mereka menjaga kulit muka dengan rapi dan bersih.
6. Tumbler
Jika ayah atau suami merupakan individu yang meminati air panas mahupun air sejuk, maka berilah mereka tumbler. Air akan kekal sejuk mahupun panas dalam tempoh yang agak lama malahan item ini sesuai untuk berjalan jauh, mendaki atau berulang-alik harian ke tempat kerja.
7. Alatan sukan
Pemberian alatan sukan ini bergantung kepada minat atau hobi suami atau bapa. Lebih menarik sekiranya alatan sukan ini merupakan jenama yang mereka dambakan namun mereka tidak berpeluang untuk membelinya lagi.
Namun, jika kurang pasti akan sukan yang mereka minati, boleh saja hadiahkan mereka kasut sukan sudah tentu mereka akan memakainya sewaktu bersukan tapi jangan tersalah saiz kasut tau!
8. Keahlian gim
Kebanyakan para suami begitu menginginkan bersenam di pusat kecergasan, namun disebabkan rasa tanggungjawab untuk mengutamakan keluarga, mereka memilih untuk mengetepikan keinginan tersebut.
Sempena hari bapa yang bakal menjelang ini, amat digalakkan untuk para isteri menghadiahi sang suami keahlian gim, pasti mereka akan teruja dengan kejutan ini.
9. Smartwatch
Haa… Jam tangan pelbagai fungsi atau smartwatch begitu diminati oleh lelaki kini kerana kegunaannya bukan sahaja untuk melihat waktu, tetapi boleh digunakan untuk melihat denyutan nadi, menerima pesanan ringkas, panggilan telefon dan sebagainya.
Bahkan, smartwatch kini boleh didapati dengan harga yang mampu milik dan banyak pengeluar jam tangan melancarkan smartwatch yang kualitinya setanding dengan jenama terkenal.
10. DIY bingkai gambar
Sebenarnya kasih sayang bukanlah diukur dengan nilai sesuatu barangan. Pemberian hadiah yang nilainya rendah bukan bermakna tidak sayang tetapi keikhlasan serta usaha untuk mendapatkan dan menghasilkannya jauh lebih bermakna.
Justeru, bagi anak-anak yang ingin memberi penghargaan buat bapa mereka, boleh cuba untuk hasilkan bingkai gambar yang diubah suai dengan meletakkan foto ayah dan keluarga dengan kata-kata sayang buat mereka.
Bagaimanapun, hadiah sempena hari bapa ini bukanlah satu kewajiban, namun sekadar meraikan hari istimewa di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus
Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI