DALAM arena e-sukan negara, nama Ramona Azween Zaharuddin, 33, bukan calang-calang. Tidak hanya membuktikan kemampuan diri sebagai pemain kompetitif dalam siri Kejohanan Counter-Strike: Global Offensive, rekod pencapaian anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu boleh membuatkan ramai yang ternganga.
Lebih membanggakan negara, beliau tercatat dalam sejarah sebagai satu-satunya atlet e-sukan wanita pertama yang dilamar sebagai In Game Leader (IGL) untuk pasukan Tyloo.Fe.
Pasukan tersebut adalah di bawah kendalian Tyloo iaitu sebuah organisasi perintis Counter-Strike: Global Offensive yang terbesar di negara China!
Portfolio mengagumkan tersebut telah dibukukan dalam buku teks Sejarah tingkatan 4 sebagai penghargaan buat atlet e-sukan tanah air yang berjaya mengharumkan nama Malaysia.
Tatkala bercerita tentang namanya yang terpahat untuk tatapan umum, Ramona Azween atau mesra disapa Mona tersenyum simpul.
Sebenarnya pada sesi penggambaran bersama SinarPlus baru-baru ini, beliau hanya sempat tidur selama tiga jam kerana sibuk menjalani latihan.
Namun, hal itu sedikit tidak merencatkan momentum wawancara dan fotografi, malah selepas itu kami duduk bersembang lebih kurang dua jam lamanya.
Berkongsi perkembangan terkini, Mona memberitahu, beliau sedang sibuk merangka strategi pertempuran sebagai persiapan untuk kejohanan dunia yang dijangka akan berlangsung pada bulan ini.
"Meskipun saya dan ahli pasukan lain terpisah dek kerana pintu sempadan China masih belum dibuka kepada pengunjung luar, namun sesi latihan jarak jauh berjalan lancar.
Ketika ini saya berlatih di rumah, manakala ahli pasukan lain di fasiliti boot camp yang disediakan organisasi di China," ceritanya yang menetap di Subang Jaya, Selangor.
Perbezaan budaya dan bahasa nampaknya tidak menghalang Mona untuk bekerjasama dengan ahli pasukan yang terdiri daripada Leo, Hazel, Hffo dan Yicofan.
Pantas bertindak dan lebih berpengalaman dalam mencorakkan peperangan yang kreatif membuatkan skil atlet wanita itu lebih menonjol. Malah, Mona juga fasih berbahasa Mandarin.
Tidak dinafikan bahawa bahasa Inggeris menjadi medium komunikasi dalam pasukan, namun beliau mengambil inisiatif untuk mempelajari bahasa Mandarin supaya arahan yang disampaikan dapat diterima dengan cepat oleh rakan-rakan. Itulah pengorbanan besar dilakukannya!
"Kadang-kadang dalam permainan, lambat dua saat boleh menyebabkan pasukan kalah teruk. Jadi, saya sebagai IGL perlu memberi arahan kepada ahli supaya bergerak pantas.
"Bila saya bercakap dalam bahasa ibunda mereka, setiap arahan lebih jelas dan mereka cepat bertindak. Jadi, selain kerjasama yang baik, keserasian dalam pasukan juga penting," katanya yang juga memiliki bakat menyanyi.
Semangat arwah abang & ibu
Melihat kesungguhan yang cukup mendalam dalam permainan dalam talian, hakikat sebenarnya anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak pernah langsung menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang atlet e-sukan.
Tatkala ditanya kerjaya idamannya pada zaman kanak-kanak, Mona memberitahu, beliau mahu menjadi seorang wartawan. Pernyataannya membuatkan penulis terkedu sebentar.
"Tak ramai yang tahu impian saya yang satu itu, tapi semuanya kisah lama. Semangat untuk bermain permainan online ini sebenarnya datang daripada minat arwah abang, Zashafarez.
"Apa hobi dia, sudah menjadi hobi saya. Dari kecil lagi kami sentiasa bersama kerana abang kurang sihat. Arwah dilahirkan dengan jantung berlubang tanpa injap, jadi saya menjadi ‘tangan kanannya‘," ceritanya.
Saat mula bercerita tentang Allahyarham Zashafarez, nada Mona sedikit berubah. Memahami emosinya yang sedang bergejolak, penulis memberi ruang kepada tuan punya badan buat seketika. Selepas itu barulah wanita penuh sopan itu bercerita lanjut.
"Apabila arwah abang dikatakan tak mampu hidup lama, ibu saya cuba membahagiakan hidupnya dengan pelbagai cara. Secara kebetulan, minatnya ketika itu lebih terarah kepada permainan online seperti counter strike.
"Jadi, saya yang tak pandai bermain ini diajar oleh arwah tanpa putus asa. Dia memang seorang yang sempoi dan tak pernah menghakimi orang lain. Sebab itu, dia mahu adiknya walaupun perempuan, tetap pandai main permainan yang didominasi lelaki," kongsinya.
Pun begitu, Mona mengakui, pemergian abang yang dikasihi pada tahun 2005 membuatkan separuh jiwanya pergi.
"Hidup saya ketika itu sangat kelam dan gelap-gelita. Sebab dari kecil, saya bangun untuk abang, sediakan makan minum dia, temankan dia ke mana waima bermain game sekali pun.
"Sebab dia kalau berjalan pun, bibir dan kukunya cepat biru sebab kurang oksigen. Bila abang sudah tiada, saya mengalami kemurungan yang teruk dan berhenti buat apa sahaja termasuk bermain permainan online," ceritanya.
Luahan beliau sangat telus dan bebola matanya yang mula berkaca membuatkan perbualan kami pada tengah hari itu menjadi masyghul seketika.
Sambil menghela nafas panjang, Mona meneruskan cerita. Ujar beliau, insan yang bernama Rosnah Abdul Rahman iaitu ibu tersayang merupakan faktor dirinya bangkit.
"Bila ibu tetap kuat bekerja dan sentiasa memastikan kami cukup makan walaupun dalam hatinya masih bersedih kehilangan anak, hati saya bagaikan dijentik. Saya tanya diri saya, sampai bila harus kemurungan begini? Sampai bila?
"Suatu hari, saya terfikir apa yang arwah betul-betul mahukan dalam hidupnya. Arwah memang sukakan game. Jadi, saya mula bermain semula dan bekerja keras mahu menang setiap kejohanan demi arwah abang," katanya melaungkan tekad.
Untuk pengetahuan pembaca SinarPlus, Rosnah merupakan seorang pelakon veteran yang pernah membintangi filem popular Esok Masih Ada dan Kisah Seorang Biduan.
Ya, segala yang direncana dapat direalisasikan. Selepas bertapak dalam industri e-sukan lebih kurang 16 tahun lamanya, Mona yang popular dengan jolokan GFI# tampil dengan rekod cemerlang bersama pasukan terdahulu seperti NBTD, Orange e-Sport dan Sphynx.
Akhir Kisah Kita
Cukup dengan kisah menyentuh hati dan perasaan, penulis kemudian bertanyakan atlet e-sukan itu dengan lagu ciptaannya yang berjudul Akhir Kisah Kita yang pernah menduduki carta Muzik-Muzik 27.
Tergelak besar sebaik topik itu diketengahkan, Mona berkata, karya berkenaan dikarangnya sendiri pada tahun 2012.
"Ia dilakukan secara suka-suka sahaja. Pada masa lapang, jika tiada kejohanan atau latihan, saya suka habiskan masa bermain gitar dan menulis lagu selain membaca buku.
"Single pertama tersebut saya kongsikan di Facebook dan saluran YouTube, namun tidak disangka-sangka, seorang komposer dari Indonesia, Erick Irsan sudi membuka studio rakaman untuk merakam semula lagu dengan gubahan muzik baharu," ujar beliau yang tidak menafikan darah seni yang mengalir membuatkan dirinya agak mudah untuk melakukan sesuatu yang baharu.
Tidak mahu menolak tuah, Mona sanggup terbang ke Indonesia untuk kerjasama tersebut.
Sukar untuk menggambarkan betapa gembiranya Mona apabila lagu Akhir Kisah Kita menjadi hit sekitar tahun 2012 selepas disiarkan di stesen radio di republik yang dihuni oleh lebih 275 juta manusia itu.
Baca juga ‘Saya berdepan dengan pelbagai rintangan sebelum membina jenama Tokyo Organic HQ’ – Zunita Ramli
"Alhamdulillah dengan rezeki ini. Sebenarnya, banyak lagi lagu original yang saya gubah. Cuma sekarang ini disebabkan terlalu sibuk, jadi semuanya tersimpan begitu sahaja, insya-ALLAH kalau ada masa nanti," katanya.
Ditanya tidakkah menerima tawaran berlakon kerana penulis percaya Mona mempunyai bakat terpendam dan jika digilap, pastinya boleh sebaris dengan aktres terkenal tanah air.
Dengan penuh rendah diri, Mona berkata, beliau terpaksa mengenepikan semua tawaran itu dengan baik disebabkan komitmen yang tinggi dalam kerjaya yang sedang dibina sekarang ini.
Kekal aktif
Sebagai seorang pemain yang banyak mencabar dan menggunakan minda untuk memenangi sesebuah pertempuran, Mona perlu kekal cergas dan cerdas.
Selain menjaga kesihatan diri dengan aktiviti bersenam dan yoga, tidur yang cukup juga merupakan elemen paling signifikan yang dipraktikkannya.
"Bagi saya, paling penting, tempoh tidur waktu siang kira-kira 45 minit menjadi keutamaan saya. Walau apapun terjadi termasuk diganggu oleh kucing-kucing, saya mesti tidur untuk tempoh tertentu, untuk ‘mengecas‘ semula tenaga.
"Sebagai atlet e-sukan, masa banyak dihabiskan di atas kerusi dan keadaan itu menyebabkan postur badan akan bermasalah. Jadi apa yang saya buat, bangun seawal pagi untuk minum kopi dan berjalan atau berjoging atas treadmill selama 30 minit.
"Selain itu, saya suka menghabiskan masa bersama ibu yang suka berkebun dan memasak. Kami akan berbual mengenai e-sukan, hobi dan lain-lain," katanya yang turut menerima pelawaan sebagai tenaga pengajar di beberapa universiti awam.
Pencinta kucing itu menamatkan bicara kami pada hari berkenaan dengan kata-kata penuh bererti.
Tuturnya, tanpa sokongan padu ibu dan dorongan arwah abang, mana mungkin dirinya boleh berada pada tahap sekarang dan menjadi idola dalam kalangan penggemar e-sukan.
"Sebab itu, saya sering mengingatkan generasi baharu agar jangan sesekali tinggalkan pendidikan kerana semata-mata mahu bermain game. Perlu seimbangkan kedua-duanya.
"Dalam 100 pemain e-sukan, hanya seorang sahaja bernasib baik dapat menjadikan permainan tersebut sebagai kerjaya yang kukuh. Tidak mudah sebenarnya, tetapi janganlah cepat putus asa," ungkapnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan