PENCAPAIAN anak kelahiran tempatan, Zunita Ramli yang tersenarai antara 10 Wanita Hebat Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di Jepun baru-baru ini cukup membanggakan Malaysia.

Pengiktirafan dari ASEAN-Japan Center itu juga sedikit sebanyak berupaya menyuntik inspirasi kepada wanita lain yang sedang berjinak-jinak dalam dunia bisnes untuk berjaya sepertinya.

Beberapa minggu lalu, penulis berpeluang menemu bual Zunita secara online, langsung dari bandar Saitama, Jepun. Meskipun berbeza masa sejam dan jarak lebih 5,000 kilometer dari Malaysia, namun perbualan kami pada tengah hari itu berjalan lancar seperti dijadualkan.

Membuka mukadimah cerita, wanita anggun berusia 35 tahun itu berkata, beliau dan keluarganya membina kehidupan di bandar terancang berhampiran Tokyo itu sejak tahun 2016 lagi.

Matlamatnya cuma satu iaitu ingin menjalankan bisnes berkaitan dengan produk kecantikan di negara tersebut.

Mengakui menerima halangan daripada famili terutama ibu pada awalnya, beliau nekad untuk terus berbuat demikian kerana berpegang kepada prinsip bahawa rezeki ALLAH ada di mana-mana.

“Namun, sebelum ketetapan itu, saya sudah mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak dan solat istikharah,” ceritanya yang sanggup meninggalkan kerjaya sebagai jurutera sebaik menamatkan pengajian di University of Melbourne, Australia demi merealisasikan impian yang dipasak.

Mengapa Jepun dan bukan negara-negara lain? Jawab Zunita, secara kebetulan ketika itu, permintaan terhadap barangan kosmetik dari negara maju tersebut menerima sambutan luar biasa secara dalam talian.

Beliau memulakan langkah sebagai pengedar sah produk kosmetik jenama Meiko Cosmetics untuk pasaran Malaysia, usahawan bertaraf antarabangsa itu kemudian mengorak langkah dengan mewujudkan label sendiri iaitu Tokyo Organic HQ.

BACA JUGA Mengendalikan program sensasi, 999, Sofea Nur Solehha sentiasa berhati-hati, bimbang isu keselamatan

BACA JUGA Miliki banyak bakat terpendam, Anna Aljuffrey belum bersedia jadi pelakon

Liku

Melihat momentum bisnesnya yang cukup memberangsangkan, pemilik Zaineeta Global itu terus mengambil langkah memperluaskan empayar perniagaan di Malaysia diikuti dengan Singapura, di samping terus menyemarakkan lagi Tokyo Organic HQ di Jepun.

Bercerita lanjut tentang keistimewaan jenama berkenaan, Zunita berkata, kesemua produk penjagaan wajahnya berasaskan bahan organik dan terkandung ramuan terpilih dari Malaysia.

“Idea ini sebenarnya tercetus selepas saya melihat tidak banyak produk berasaskan bahan semula jadi dan kalau ada pun, harganya agak mahal. Jadi, saya terfikir untuk mengeluarkan produk penjagaan kulit premium pada harga mampu milik dengan bantuan teknologi maju di Jepun.

“Alhamdulillah, selepas tujuh tahun berdepan segala macam cabaran, akhirnya jenama ini sudah mempunyai peminat sendiri,” katanya.

Penulis ingin tahu bagaimana seorang anak Malaysia membina kepercayaan di rantau orang lebih-lebih dalam soal berbisnes? Apabila soalan itu dilontarkan, Zunita yang memiliki kulit yang mulus dan cantik itu terus menitipkan kata: “Seperti yang saya katakan tadi, saya ambil tujuh tahun. Bukan apa, saya berdepan dengan pelbagai rintangan seperti perbezaan bahasa, agama dan budaya di Jepun. Namun, akhirnya saya berjaya meraih kepercayaan mereka.

“Apa yang bagusnya tentang masyarakat di sana, tahap kesetiaan mereka cukup tinggi dan sekali mereka sudah percaya kepada kita, selama-lamanya hubungan itu akan kekal.“

Kini, kata anak bongsu daripada tiga beradik itu, beliau sedang mempertajamkan skil bahasa Jepunnya.

“Saya miliki asas untuk berkomunikasi dalam bahasa ini, namun demi memastikan penguasaan bahasa lebih meluas lagi, saya merancang untuk menyambung pelajaran di peringkat sarjana perniagaan di Universiti Meiji pada September nanti.

“Selama ini, saya belajar ilmu perniagaan dan lain-lain secara tak rasmi sahaja. Namun, kali ini saya akan lebih serius dan ia (menyambung pengajian) merupakan langkah terbaik,” kata peminat sukan berbasikal itu.

Apabila kisah wanita hebat tersebut digali satu persatu, penulis memahami mengapa beliau mahu menggapai impian sebagai ahli perniagaan berjaya di peringkat global.

Seperti yang saya katakan tadi, saya ambil tujuh tahun. Bukan apa, saya berdepan dengan pelbagai rintangan seperti perbezaan bahasa, agama dan budaya di Jepun. Namun, akhirnya saya berjaya meraih kepercayaan mereka.

Kisahnya, empunya diri pernah bersusah payah meneruskan kelangsungan hidup bersama ahli keluarga dengan berniaga di pasar malam.

“Saya masih ingat lagi tentang kesusahan kami sekeluarga berniaga dengan pendapatan tidak menentu. Jadi, sejak kecil sebenarnya saya sudah didedahkan dengan asam garam dunia bisnes. Ia telah membuatkan saya lebih berpandangan jauh.

“Terus terang saya katakan, ketika itu saya belum nampak diri saya sebagai seorang peniaga lagi dan tiada minat yang terlalu mendalam. Namun, kalau difikirkan balik, memang dari sekolah rendah lagi saya sudah pandai menjaja keropok goreng dengan kawan-kawan,” imbaunya.

Mengenangkan memori lama, Zunita dengan penuh iltizam berkata, beliau perlu lebih berani jika mahu menjadi individu yang berjaya dan senang pada hari tua nanti.

“Sebab itu, jika orang bertanyakan petua atau tip untuk berhijrah ke luar negara, saya akan kata, teruskan, jangan berpaling. Lakukannya kerana keputusan itu nanti akan membuatkan kita lebih matang dan berfikiran jauh,” katanya.

Industri seni

Kepada yang aktif melayari media sosial, nama anak jati Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu sebenarnya memang tidak asing lagi.
#CatatanZunitaDiJepun sentiasa mencuri perhatian ramai dalam kalangan warganet.

Iklan

Jadi, tidak hairanlah pengikutnya di Facebook sahaja sudah mencecah hampir 200,000 orang.

Ternyata penangan konten mengenai sejarah, budaya yang unik, makanan dan gaya hidup masyarakat negara Matahari Terbit yang kerap dikongsi menjadi kegemaran ramai.

“Saya percaya, entri yang bersifat ilmiah ini turut menjadi penyumbang ke arah anugerah yang saya terima baru-baru ini,” katanya sambil memberitahu, beliau turut gembira apabila menerima tawaran mempromosikan industri pelancongan Jepun dari organisasi kerajaan di sana.

#CatatanZunitaDiJepun juga mencipta satu lagi kejayaan apabila lebih 200 koleksi penulisannya sudah dibukukan dan kini sudah dibuka untuk prapesanan.

“Alhamdulillah, hasil nukilan saya kini boleh diperoleh dalam bentuk cetakan buku. Saya sangat bersyukur kerana ia tak pernah terlintas di benak saya langsung sebelum ini,” ungkapnya.

Setakat ini, masih jauh lagi perjalanan ini. Saya mengharapkan doa dan sokongan semua pihak supaya produk buatan Jepun yang dikeluarkan anak Melayu seperti saya dapat berada sama tingkat dengan jenama dunia lain

Dalam wawancara menggunakan aplikasi Google Meet yang memakan masa hampir sejam dengannya telah membongkar satu lagi rahsia tentang wanita jelita itu.

Rupa-rupanya wajah manis peminat rona ungu berkenaan pernah menghiasi beberapa iklan komersial, drama dan filem di Jepun.

Zunita tertawa kecil tatkala berkongsi kisah bagaimana beliau menjadi bidan terjun dalam arena yang begitu asing kepadanya.

Iklan

“Kalau nak diikutkan, ia bermula dengan ajakan rakan saya yang berkecimpung dalam industri seni di sini. Secara kebetulan juga, sebuah syarikat pencari bakat sedang mencari perempuan Melayu untuk projek iklan komersial.

“Iklan Nippon Express menjadi penyertaan sulung. Selepas itu, saya tak sangka pula terima tawaran berlakon drama dan filem. Meskipun hanya memegang watak pelakon tambahan, tetapi saya seronok untuk belajar ilmu baharu. Apa yang boleh saya katakan, kru produksi Jepun memang berdisiplin tinggi dan cukup profesional,” katanya.

Sepanjang berada di negara terbabit, Zunita pernah membintangi drama dan filem berjudul Modern Love dan Cold Case, termasuk sebuah program televisyen NHK, Sokuresu Eikaiwa.

Sebelum menutup perbualan, sempat juga penulis bertanyakan sampai bila mahu berkelana di tempat orang?

Ahli perniagaan yang mengidolakan Steve Jobs dalam hidupnya berkata, beliau merancang untuk pulang semula ke tanah air selepas bisnes yang dibangunkan berjaya mencapai sasaran yang diimpikan.

“Setakat ini, masih jauh lagi perjalanan ini. Saya mengharapkan doa dan sokongan semua pihak supaya produk buatan Jepun yang dikeluarkan anak Melayu seperti saya dapat berada sama tingkat dengan jenama dunia lain,” tuturnya.-ARZIANA MOHMAD AZAMAN

BACA JUGA Dr Afiq mahu terus tambah ilmu walau sudah bergelar bapa dan doktor. Tiada istilah jemu katanya!

BACA JUGA 'Kak Neelofa tak pernah perli adik-beradik yang belum berhijab'

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.