PEMILIK nama Nana Al Haleq tampil polos ketika hadir pada sesi fotografi untuk Cover SinarPlus di Studio Karangkraf minggu lalu.

Kecil molek orangnya. Namun, percayalah bentuk badan beliau memang menjadi dambaan setiap wanita.

Meskipun pertama kali bersua, anak kelahiran Kuala Lumpur itu sangat peramah dan meriah dengan kata-kata positif.

Menariknya tentang Nana, sebaik wajah beliau dioles oleh jurusolek kegemaran, Fazrin Wahid, wanita itu terus menampakkan transisi yang cukup berbeza.

Ringkas kata, terserlah sisi jati dirinya sebagai anak kacukan Cina yang diwarisi daripada bapa tersayang.

Siapa Nana? Kepada yang barangkali kurang tahu, wanita sofistikated itu ialah seorang jurulatih dan penasihat kecergasan yang popular dalam liganya.

Baru-baru ini, empunya diri tular di media sosial gara-gara memiliki tubuh ‘sado‘. Menyifatkan aktiviti membentuk susuk badan berotot ibarat satu ‘kerja seni‘, akui Nana, sehingga ke hari ini, beliau seronok berbuat demikian. Baginya, itu merupakan salah satu amalan kehidupan yang sihat.

“Pada saya, maksud ‘sado‘ itu sangat umum. Sama macam maksud kecantikan. Kalau lihat tubuh badan saya, ia sebenarnya tidaklah ‘sado‘ mana pun. Sebaliknya, lebih kepada bentuk badan atlet.

“Sejujurnya saya tidak kisah walaupun sesetengah orang memanggil saya ‘sado‘, Mungkin bagi mereka nampak pelik kerana sebelum ini tidak ramai wanita berotot sepertimana sekarang,“ ujarnya dengan nada bersungguh.


Kata tuan punya badan, beliau tidak pasti apa pandangan kaum Hawa tentang dirinya.
“Bagi saya, terpulang kepada masing-masing bagaimana menonjolkan imej diri.

“Saya sendiri berusaha gigih untuk mendapat hasil seperti yang kalian lihat sekarang. Kalau diikutkan dulu, saya sangat kurus. Berat saya sebelum ini sekitar 47 hingga 49 kilogram dan tiada potongan badan pun.

“Pun demikian, alhamdulillah dengan pengambilan makanan yang sesuai di samping latihan yang konsisten, akhirnya saya dapat mencapai apa yang dihajati,“ katanya sambil menyifatkan pemakanan memicu kepada kesegaran kulit dan melambatkan penuaan.

BERMULA DENGAN HOBI

Tinggalkan terus cerita mengenai persepsi orang terhadapnya, penulis ingin terus menggali peribadi beliau dengan lebih lanjut.

Sambil menghela nafas perlahan, Nana meleraikan satu persatu. Ujarnya, minat yang mendalam antara faktor utama yang mengheret beliau terjun ke dalam bidang sukan seawal usia lapan tahun lagi.

“Saya memang sejak kecil lagi sangat aktif terutamanya dalam sukan olahraga. Saya pernah mewakili sekolah (untuk daerah Gombak dan negeri Selangor). Pada umur 16 tahun, saya mengambil keputusan untuk bersara dan memberi tumpuan pada pelajaran.

“Seawal usia 20 hingga 26 tahun, saya menjinakkan diri pula dengan aktiviti luar seperti mendaki dan rock climbing, sebelum serius dengan Strength Training.

“Di sinilah, terbitnya minat untuk mendalami ilmu kecergasan dan pemakanan. Terus terang saya katakan, saya buat semua ini sebab passion (keghairahan),“ kongsinya yang juga aktif sebagai jurucakap kecergasan.


Tidak terhenti setakat di situ, wanita berusia 36 tahun itu telah meluaskan prospek portfolionya dengan menjadi penyedia kandungan digital.

Jika pembaca SinarPlus menelusuri Instagramnya @nanaalhaleq, beliau banyak berkongsi gambar dan lambakan video aktiviti beliau di gimnasium.

Bukan untuk menunjuk apalagi mendabik dada, perkongsian tersebut antara pendekatan dirinya untuk memberi semangat kepada orang lain untuk menjaga kesihatan diri.

Nampaknya, wanita bernama Nana seorang yang kuat bekerja apabila terus meneroka pelbagai cabang kerjaya. Bermula pada tahun 2018, beliau ‘menjebakkan‘ diri dalam arena pengacaraan pula.

“Pada masa tertentu, saya menerima tawaran memberikan ceramah tentang kesihatan dan kecergasan oleh agensi korporat. Saya juga berhasrat untuk menambah ilmu dalam bidang pemakanan holistik, selain mahu mencuba nasib dalam bidang perniagaan,“ katanya seperti menyusun perancangan masa depan.

Melihat kesibukannya merencana itu dan ini, penulis bertanyakan bagaimana pula dengan pembahagian masa untuk rumah tangga?

Isteri kepada Nik Mohd Fadhil itu melahirkan rasa syukur dan gembira kerana suami tersayang merupakan insan yang banyak memberi sokongan.

“Sejujurnya, kadangkala tidak mudah untuk membahagikan masa di antara kerjaya dan rumah tangga. Ada masanya saya akan balik lambat, kerja lebih masa ataupun kerja pada hari minggu.

“Itu yang saya kata betapa syukurnya diri ini kerana dikurniakan suami yang cukup memahami kerja saya. Sekiranya saya tidak berkesempatan untuk menguruskan hal-hal di rumah seperti mengemas dan sebagainya, dia yang akan mengambil alih urusan tersebut,“ ulas Nana lagi sambil memberitahu selain suami, pihak pengurusannya antara yang banyak membantu dalam pelbagai perkara termasuklah memberi sokongan emosi.

KEKANGAN MASA

Rasanya tidak lengkap untuk tidak mengajukan soalan lanjut berkenaan hal kesihatan dengan seorang jurulatih kecergasan.

Iklan

Seolah dapat menelah apa yang bermain dalam fikiran penulis, Nana lantas berkata, untuk mengekalkan kesihatan dan sentiasa fit bukanlah bermakna seseorang itu harus ke gimnasium sentiasa. Sebaliknya, ia boleh dilakukan di rumah, mahupun di tempat kerja.

“Jika terdapat kekangan masa, saya nasihatkan untuk memilih aktiviti yang mudah dilakukan atau diselitkan dalam jadual harian.

“Contohnya, kalau kita di tempat kerja, apa kata luangkan waktu dengan melakukan senaman regangan untuk membantu melancarkan aliran darah dan juga menguatkan otot-otot yang tegang akibat duduk terlalu lama.

“Boleh juga selitkan senaman yang mudah seperti naik dan turun tangga. Di rumah pula, sebaik bangun tidur, terapkan senaman yoga ringkas atau senaman regangkan tubuh badan sebelum mandi,“ katanya.

Saran Nana lagi, jika mempunyai sedikit bajet, seseorang sangat dialu-alukan untuk membeli peralatan mudah dan ringkas seperti basikal atau mini stepper.

Apabila dua peralatan itu tersedia, tidak kira sama ada menonton televisyen atau sebagainya, latihan gerak badan boleh dilakukan.

“Tak perlu mengambil masa yang lama pun, lebih kurang 10 hingga 30 minit sudah memadai,“ jelas Nana yang turut mengesyorkan tarian zumba, menari atau bermain badminton bersama anak-anak atau ahli keluarga lain jika kecondongan itu ada.

AKTIVITI BERKUDA

Sebagai jurulatih kecergasan, terdetik dalam hati penulis sama ada Nana sejenis yang jarang atau tidak mudah jatuh sakit memandangkan beliau sangat mementingkan penjagaan kesihatan.

Iklan

Sambil tersenyum, empunya diri mengakui soal kesihatan adalah sangat subjektif pada perspektifnya.

“Biasa orang ingat bab kesihatan ini hanyalah tentang demam, selesema, batuk dan sebagainya, padahal ia bersifat menyeluruh. Ingat, badan kita sentiasa berubah seiring dengan peningkatan usia. Itu pentingnya melakukan saringan kesihatan setiap tahun, walaupun sihat kena buat pemeriksaan.

“Jujurnya saya seorang yang menjaga kesihatan, tahap kolestrol saya tinggi selepas pemeriksaan dilakukan baru-baru ini. Walaupun tidak teruk, tetapi saya tertanya-tanya apa puncanya,“ katanya.

Justeru, Nana kerap kali menekankan tentang peri pentingnya berjumpa doktor, meskipun badan rasa sihat dan tidak wujud sebarang masalah.

“Sebenarnya itu luaran, dalaman kita tidak tahu. Saya percaya apa yang kita makan boleh menyembuh dan mengelakkan penyakit. Jangan fokus untuk kurus semata-mata. Itu pemikiran 20 tahun dahulu. Ambillah pemakanan yang berkhasiat dan bernutiri, kurangkan gula dan garam selain makanan segera,“ katanya.

Seperti orang lain, kehidupan Nana berwarna-warni. Titik fokusnya bukanlah semata-mata tentang hal kecergasan.

Beliau seorang yang gemar menonton rancangan berbentuk dokumentari berkenaan haiwan, kesihatan dan komedi.

“Suami juga ‘sekepala. Kami juga suka menonton program komedi. Selain itu, sukan berkuda juga menjadi pilihan jika ada masa terluang ,“ ujarnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan