JANGAN sesekali menggunakan telefon bimbit ketika ribut petir! Berwaspada sebelum terkena, jangan menyesal kemudian hari.
Ya, itu yang yang terjadi kepada seorang murid perempuan tahun enam maut yang dipercayai disambar petir ketika sedang berbual dengan rakannya menggunakan telefon bimbit di Kampung Baru Sungai Raya Luar, Gua Musang, Kelantan, semalam.
Memetik laporan media tempatan, mangsa, Nur Asyqin Qistina M Nor Zawawi, 12, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis ditemukan terbaring di dalam bilik tidurnya dengan kesan terbakar pada bahagian lengan.
Kejadian individu disambar petir kerana menggunakan telefon bimbit bukan isu asing yang disajikan di dada akhbar negara kita.
Adakah benar penggunaan alat ini berbahaya ketika petir? Hal ini menjadi tanda tanya orang ramai kerana sesetengah situasi tidak dapat dielakkan, seperti perlu menjawab panggilan penting ketika hujan ribut berlaku.
Bagaimana petir dibentuk?
- Petir adalah pelepasan elektrik. Sepantas kilat dapat memanaskan udara di sekitarnya hingga 30,000°C!
- Pemanasan yang melampau ini akan menyebabkan udara akan mengembang dengan cepat.
- Pengembangan ini bakal menghasilkan gelombang kejutan yang berubah menjadi gelombang bunyi yang dikenali sebagai guruh.
- Oleh sebab daya tarikan, cas negatif di bahagian bawah awan ribut akan dikaitkan dengan cas positif dari tanah.
- Setelah pengumpulan negatif di dasar awan menjadi cukup besar, aliran muatan negatif tersebut akan meluru ke arah Bumi.
- Guruh dan kilat berlaku pada masa yang sama walaupun anda mungkin melihat kilat sebelum anda mula mendengar guruh.
- Ini kerana cahaya bergerak jauh lebih pantas daripada bunyi.
Baca juga Bayi 6 bulan maut, gigih dibawa bapa 12 jam menaiki motosikal untuk tonton bola sepak
Bahaya petir apabila individu bercakap dalam telefon?
Tahukah anda bahawa penggunaan telefon bimbit ketika ribut petir sebenarnya selamat jika dibandingkan dengan penggunaan telefon yang disambung dengan kabel telefon dalam sesebuah bangunan!
Ini kerana telefon yang disambung dengan kabel telefon mampu bertindak sebagai konduktor cas elektrik serta memungkinkan ia disambar petir.
Menurut pakar, kebarangkalian telefon bimbit disambar kilat juga boleh berlaku jika alat peranti elektronik ini sedang dicas dengan wayar pengecas dan disambungkan pada plug serta digunakan semasa kejadian ribut petir.
Cara-cara untuk mengelak daripada bahaya petir;
Anda boleh melindungi diri anda daripada risiko ini walaupun anda terperangkap di luar rumah ketika ribut petir sedang berlaku.
Langkah keselamatan di luar rumah;
1. Elak melakukan aktiviti luar jika berisiko untuk ribut petir berlaku.
Sekiranya ramalan cuaca memaklumkan bahawa ribut petir bakal berlaku, dinasihatkan agar anda menunda perjalanan atau aktiviti anda. Namun jika anda sudah berada di luar rumah, ketika petir sedang berlaku, cari tempat perlindungan yang selamat dan tertutup.
2. Jangan lupa peraturan perkiraan 30-30. Setelah anda melihat kilat, mulailah menghitung hingga 30 kemudian baru anda keluar daripada tempat berteduh tersebut. Sekiranya anda mendengar guruh sebelum anda mencapai 30, pastikan anda kekal di mana anda berada.
3. Tangguhkan dahulu aktiviti luar anda sekurang-kurangnya 30 minit selepas guruh yang terakhir.
Jauhkan diri daripada lantai atau dinding yang diperbuat daripada konkrit. Ini kerana kilat petir boleh bergerak melalui wayar atau palang logam di dinding atau lantai konkrit.
Baca juga Gara-gara silap ‘copy-paste’ wanita ini tak sengaja miliki 84 rumah bernilai RM2 bilion sekelip mata
Langkah berjaga-jaga dan keselamatan semasa berada di dalam rumah bagi mengelakkan bahaya petir;
- Elakkan penggunaan air semasa ribut petir.
- Elak guna peralatan elektronik daripada semua jenis.
- Elakkan penggunaan telefon bimbit.
- Elakkan berada dekat dengan lantai dan dinding konkrit.
- Serangan kilat mungkin jarang berlaku, tetapi ia masih berlaku di luar sana dan risiko kecederaan serius atau kematian boleh berlaku.
Oleh itu, jangan ambil ringan akan bahayanya, patuhilah langkah pencegahan ribut petir dengan serius.
Justeru, sekiranya petir berlaku semasa kita berada di luar bangunan, cepat-cepatlah kita mencari kawasan perlindungan yang tertutup seperti bangunan dan kereta sebagai tempat perteduhan sementara.
Elakan mencari perlindungan di bawah pokok dan kawasan yang berhampiran dengan tempat aliran cas seperti tiang elektrik dan telefon.
Selain daripada kawasan tersebut, kawasan kolam dan kawasan yang mempunyai objek besi juga mesti dielakkan.
Jika kita berada di dalam rumah, diingatkan agar tidak menggunakan alatan elektrik dan telefon bimbit yang sedang dicas terutamanya semasa petir.
Bertindaklah dengan mencabut plug alatan elektrik anda dengan segera sekiranya tanda-tanda petir akan berlaku.
Jika petir sudah berlaku, terdapat risiko pula semasa menarik alatan tersebut.
Oleh itu, sentiasalah berwaspada untuk mencegah sebarang kemungkinan perkara buruk daripada berlaku.
Semoga bermanfaat!
Sumber: HelloDoktor, Utusan Malaysia
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.