Buat duit hanya guna hampas nanas, idea luar kotak wanita ini beri pulangan lumayan

Iklan
nanas

MENGUBAH hampas pertanian menjadi produk bernilai tinggi dengan pendekatan kreatif membuatkan nama Asna Nabihah Aziz dikenali dalam kalangan usahawan muda di Johor.

Mana tidaknya, inovasi daun nanas yang diusahakan beliau sejak tahun 2016 berjaya menghasilkan barangan kraftangan yang unik dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelanggan.

Iklan
Iklan

Akui Asna Nabihah, orang ramai yang datang ke galeri dan bengkelnya di Kampung Sinaran Baru, Johor Bahru masih tidak mempercayai kesemua produk yang dipamerkan dihasilkan di Malaysia dan air tangan penduduk tempatan sendiri.

Antaranya seperti variasi beg, busana, tanjak, kad kahwin, kad perniagaan, cenderahati, cetakan sijil dan kesemuanya di bawah jenama Palmy.

Iklan

Kepada SinarPlus, anak jati Johor itu berkata, ilmu yang diperoleh ketika mengikuti kursus kraftangan sangat bermanfaat kerana telah menjadi sumber rezeki dirinya dan keluarga kini.

Iklan

"Saya ambil masa tiga bulan untuk mahirkan diri dalam seni kraf. Walaupun pada ketika itu saya sudah menyambung pelajaran ke peringkat diploma dan ijazah, projek ini (seni kraf) tidak pernah terhenti. Saya juga masih aktif menerima tempahan.

"Malah, untuk projek akhir tahun sebelum menamatkan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Teknologi Kejuruteraan Pengurusan Perniagaan, saya kemukakan inovasi daun nanas dan ia berjaya menarik perhatian penilai," ceritanya kepada kru program Cerita Orang Kita.

Pemilik Nature Renascent berusia 31 tahun itu berkata, kecenderungannya melihat barangan yang lain daripada lain juga telah mendorongnya sentiasa ingin mencipta fitur baharu dengan mengimplemenkan konsep semula jadi dan mengitar semula bahan terpakai.

"Kalau bercuti ke luar negara, buah tangan yang dibeli mestilah sesuatu yang melambangkan identiti negara tersebut. Pernah sekali saya berkunjung ke Hong Kong, saya terjumpa buku nota yang diperbuat daripada bahan kitar semula.

"Saya terfikir kenapa tidak buat benda sama daripada sisa nanas. Daripada dibakar atau dibuang, lebih baik dikitar semula untuk menjadi sesuatu bernilai tinggi," katanya.

Baca juga Bonsai kelapa jadi trend hiasan rumah, usahawan ini hasilkan mahakarya unik bentuk ayam jantan

Tembus pasaran Eropah

Melihat kaedah menggaruk yang digunakan untuk mengekstrak serat daripada daun nanas, sama ada secara tradisional mahu pun mesin, bukannya mudah. Hal itu dipersetujui oleh Asna Nabihah.

"Kemahiran itu memerlukan kesabaran dan ketelitian yang tinggi. Untuk menyiapkan 10 meter kain daripada benang nanas misalnya, kami memerlukan masa lebih kurang tiga hingga empat bulan. Kainnya jenis linen lembut dan selesa untuk dipakai,” katanya yang dibantu lima pekerja.

Graduan Universiti Kuala Lumpur itu sentiasa bersemangat untuk menceritakan tentang inovasi yang dihasilkan oleh jenamanya, Palmy.

Daripada banyak produk yang diketengahkan, ahli perniagaan berwibawa itu memberitahu, selain busana, kertas kitar semula merupakan item yang paling laku keras kerana mempunyai ciri serapan 100 peratus terbaik.

Baca juga Sanggup lepaskan gaji lebih RM157,000 setahun, jutawan wanita ini buktikan hobi shopping boleh jadi kaya

"Sebab itu, untuk menghasilkan kertas, kami perlu membuat proses pemerapan untuk satu malam supaya daun lebih lembut dan permukaan lebih licin. Malah, kalau kena air sekali pun, setiap cetakan tidak akan kembang atau rosak,” terangnya.

 

Sememangnya teliti dan serius dalam pembuatan kertas tersebut, Asna Nabihah memberitahu, pihaknya mengambil masa lapan hingga 10 tahun untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Sisa hampas nanas ini juga dijadikan fiber dan dibekalkan kepada universiti tempatan untuk proses R&D untuk digunakan dalam simen, bahan pembinaan dan lain-lain,” katanya.

Melihat Palmy mampu berkembang lebih jauh, wanita penuh wawasan itu merancang untuk memperluaskan pasaran untuk pasaran di benua Eropah.

Baca juga Jual Super Ring guna eBay, wanita ini berjaya jana pendapatan 4 angka

"Saya melihat negara maju lebih mementingkan produk kitar semula, jadi saya nampak peluangnya cukup besar. Insya-ALLAH tidak lama lagi, Palmy akan akan berada di sana," katanya yang mengakui tidak menang tangan untuk memenuhi tempahan produk kraf dari jabatan kerajaan.

Pada akhir wawancara, kru Cerita Orang Kita bertanyakan mengapa beliau memilih nanas berbanding hasil pertanian lain, jawapan yang diberikan usahawanita itu cukup berasas.

"Bagi saya, Johor merupakan pengeluar nanas terbesar dalam negara, namun sayangnya kita tiada signatur produk kraf berasaskan nanas yang dikomersialkan secara meluas setakat ini.

"Justeru, usaha ini sekurang-kurangnya dapat memartabatkan hasil tangan tempatan terutamanya bangsa Johor ke peringkat antarabangsa. Pada masa sama, kita dapat membantu petani dan golongan B40 menjana pendapatan," katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan