MADINAH al-Munawwarah menjadi mercu tanda kegemilangan penyebaran agama Islam. Kota suci kedua umat Islam selepas Makkah ini menjadi benteng atau tapak perlindungan iman khususnya kepada Rasulullah SAW ketika melalui zaman yang penuh mencabar.
Berada di kota suci Madinah sama sekali berbeza kerana perjalanan ke sini diibaratkan sebagai kembara iman. Di Madinah turunnya wahyu al-Quran selain lokasi yang menjadi saksi pelbagai peristiwa bersejarah hingga membawa kita menyusuri perjuangan Rasulullah SAW demi menegakkan agama ALLAH SWT.
Masjid pertama juga dibina di sini dan juga bersemadinya jasad Rasulullah SAW. Madinah menjadi lokasi tarikan kedua selepas Makkah bagi umat Islam. Banyak tarikan yang ada di Madinah. Dengan hanya berjalan kaki, anda dapat melihat enam tarikan yang ada di Madinah.
Baca juga: Tinggal di Makkah, wanita kongsi cara beli air zamzam, rupanya ini sebab ia tidak lagi payau
Berikut tempat-tempat menarik di Madinah yang anda boleh kunjungi dengan hanya berjalan kaki:
Masjid Nabawi
Masjid Nabawi merupakan salah satu masjid yang didirikan oleh Nabi Muhammad SAW dan merupakan masjid kedua terbesar di dunia. Keistimewaan di masjid ini ialah anda akan mendapat ganjaran pahala 1000 kali jika solat di sini. Masjid Nabawi turut dikelilingi dengan payung gergasi yang akan tertutup dan terbuka secara automatik mengikut suhu di sana.
Raudah atau Taman Syurga
Raudhah adalah satu tempat yang sangat mulia di dalam Masjid Nabawi dan sesiapa yang berpeluang menjejakkan kaki ke Madinah dan Masjid Nabawi, pasti akan berusaha untuk solat dan berdoa di dalam Raudhah.
Raudhah terletak bersebelahan dengan makam Rasulullah SAW dan hamparan karpetnya berwarna hijau berbanding kawasan lain dalam Masjid Nabawi yang karpetnya berwarna merah. Di situ, para jemaah digalakkan untuk memperbanyakkan doa kerana kawasan tersebut adalah kawasan yang dimakbulkan doa.
Baca juga: Positif hamil di Makkah, MUA Bellaz kongsi wajah Nur Aisywara Nealofa
[caption id="attachment_96040" width="800"] Kredit foto: Pexels[/caption]
Perkuburan Baqi’
Perkuburan Baqi’ atau dikenali sebagai Jannatul Baqi’ terletak di sebelah tenggara (kiri) Masjid Nabawi. Perkuburan Baqi’ ini merupakan perkuburan yang paling mulia. Rasulullah SAW sering menziarahi perkuburan ini. Ada hadis mengatakan, ahli-ahli kubur Baqi' adalah yang pertama akan dibangkitkan di akhirat kelak.
Sekiranya para jemaah mahu datang melawat, waktu lawatannya adalah selepas solat Subuh dan selepas solat Asar. Selain waktu itu, para jemaah dibenarkan masuk sewaktu ada jenazah yang hendak dikebumikan. Lawatan ini khas buat kaum Adam (lelaki) sahaja.
Di perkuburan Baqi’ ini dianggarkan lebih 10,000 sahabat Baginda SAW disemadikan di sini sekali gus mereka yang datang ke bumi Madinah al-Munawarrah pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk menziarahinya.
Masjid Ghumamah
Masjid Al-Ghumamah merupakan salah satu masjid bersejarah di Madinah. Di masjid ini Rasullulah SAW pernah mendirikan solat istisqo’ (solat meminta hujan) dan selepas itu awan menjadi mendung di kawasan masjid tersebut. Masjid ini masih kekal berdiri sehingga sekarang, bagi mengenang peristiwa penting sebelum Rasulullah SAW wafat.
Jarak antara Masjid Nabawi dan Masjid Ghumamah adalah dalam 300 meter. Justeru, tiada masalah bagi jemaah umrah mahupun haji yang ingin melawat ke Masjid Ghumamah dengan hanya berjalan kaki.
Baca juga: Ini kisah Adam Muhammad, jalan kaki 6,500 km, rentas 9 negara ke Makkah
[caption id="attachment_96041" width="800"] Kredit foto: Unsplash[/caption]
Masjid Abu Bakar As-Siddiq
Masjid Abu Bakar As Siddiq merupakan salah satu masjid yang tertua di Madinah. Menurut riwayat di masjid ini, Saidina Abu Bakar As Siddiq berdiri menunaikan solat hari raya dengan kaum Muslimin terdahulu dan diimamkan oleh Rasulullah SAW. Ada juga mengatakan, masjid ini dahulunya adalah rumah saidina Abu Bakar As-Siddiq.
Jarak antara Masjid Ghumamah dan Masjid Abu Bakar As-Siddiq adalah kira-kira 40 meter. Sekiranya anda melawat Masjid Ghumamah, anda juga boleh membuat lawatan ke Masjid Abu Bakar As Siddiq kerana jarak antara dua masjid ini tidak jauh dan boleh berjalan kaki sahaja.
Masjid Ali Bin Abi Talib
Masjid ini tidak dibenarkan untuk solat di dalamnya kerana jarak antara Masjid Nabawi dan Masjid Ali Bin Abi Talib sangat dekat dengan pintu masuk Masjid Nabawi. Oleh itu, jemaah hanya boleh membuat lawatan sahaja di Masjid Ali Bin Abi Talib.
Gunakan peluang berada di sana dengan sebaik mungkin. Berjalan santai sambil menikmati keindahan ciptaan ALLAH menjadikan kita lebih bersyukur dengan setiap nikmat yang diberikan.
Baca juga: Ambil peluang mustajab hari Arafah, ini checklist 10 doa terbaik kaum Hawa amalkan
Sumber: Latifah Umor
Oleh: Norhasliza Mohd Shafi
Kredit foto utama: Pexels
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi