ANAK istimewa merupakan anugerah yang diamanahkan ALLAH kepada kedua ibu bapanya untuk dijaga.
Memang berat ujian buat ibu bapa yang diuji dengan kehadiran anak istimewa. Justeru sokongan daripada masyarakat dan orang sekeliling amat diperlukan bagi memudahkan urusan ibu bapa yang terpilih ini.
Memiliki anak istimewa pastinya bukanlah suatu ‘perjalanan’ yang mudah. Anggota keluarga perlu menjadi pendidik terbaik untuk anak-anak istimewa ini. Apabila anggota keluarga sendiri mempunyai kefahaman yang baik tentang keadaan anak istimewa, akan lebih mudahlah masyarakat memahami mereka.
Baca juga: Hebat! Kanak-kanak istimewa ini miliki IQ lebih tinggi daripada Albert Einstein
Pakar psikiatri, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria hantaran di Facebook berkongsi tip khas buat ibu bapa yang memiliki anak istimewa.
10 tip untuk ibu bapa yang memiliki anak istimewa:
Tip ini khusus buat ibu bapa yang mempunyai anak yang berkeperluan khas, tidak kira apa juga keadaan sama ada Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD), disleksia, autisme, kecacatan intelek, cerebral palsy atau apa juga keadaan yang memerlukan penjagaan khusus.
1. Belajar
Pastikan anda faham diagnosis anak anda. Dapatkan penilaian dan maklumat daripada doktor yang merawat. Dapatkan maklumat sepenuhnya, secara berperingkat, samaada secara langsung dari doktor atau bacaan yang tepat. Ini termasuk dalam hal rawatan dan pemeriksaan susulan.
2. Daftarkan
Bagi anak yang sudah/akan bersekolah, pastikan anak didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (borang khas JKM yang ditandatangani doktor) sebaiknya pada usia prasekolah. Ini penting untuk bagi memastikan anak mendapat keistimewaan yang dikhususkan untuk mereka seperti elaun khas/kemasukan ke pendidikan khas.
[caption id="attachment_96414" width="800"] Kredit foto: Pexels[/caption]
3. Hantar ke sekolah
Bincang dengan doktor dan cikgu tentang penempatan sekolah (akan ditentukan oleh JKN setelah borang diserahkan) sama ada kekal di aliran perdana, aliran khas integrasi atau pusat dalam komuniti. Dalam keadaan macam mana pun anak anda, jangan abaikan pendidikan anak.
4. Betulkan perspektif
Letakkan situasi pada perspektif yang tepat. Fahami bahawa tingkah laku dan keadaan anak anda adalah disebabkan kondisi perubatannya dan bukan sekadar ‘perangai’. Jangan rasa malu atau marah dengan perbuatannya. Suatu hari, apabila mereka dewasa, apa yang anda lalui ini mungkin akan menjadi kenangan yang manis untuk anda.
5. Pilih pertarungan
Jangan terlalu tertekan dengan perkara yang kecil. Ada kalanya, jalan terbaik ialah berkompromi daripada menimbulkan persengkataan besar. Ada ketikanya anda terpaksa mengalah bila mereka tidak mahu makan/ pakai baju warna oren/ duduk di kerusi.
6. Jangan abaikan sisi positif
Kekalkan sisi positif anak anda. Tidak kira betapa sukarnya menjaga anak anda, pasti ada sisi indah dalam kehidupannya. Tuliskan semua perkara positif tentang anak anda dan lihat semula tiap kali anda berasa terlalu tertekan. Contohnya, setiap kali anak membuat salah, mesti dia datang peluk ibunya selepas itu.
Baca juga: Permohonan Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (ANIS) kini dibuka
[caption id="attachment_96416" width="800"] Kredit foto: Pexels[/caption]
7. Jaga diri
Jaga kesihatan anda. Anda adalah orang yang paling penting dalam hidup anak anda. Maka anda perlu kekal sihat dan kuat untuknya. Dapatkan rehat dan tidur yang cukup, jumpa doktor bila sakit dan dapatkan bantuan bila perlu. Jangan jadi hero.
8. Jaga rutin
Tetapkan rutin yang konsisten seperti waktu makan, bermain, tidur, dan keluar rumah. Anak istimewa mudah terkesan dengan perubahan rutin. Permudahkan urusan mereka dan jangan libatkan mereka dengan terlalu banyak aktiviti dalam sehari.
10. Cipta makna kejayaan sendiri
Cipta makna kejayaan untuk anak anda. Sebagai contoh, seorang ibu perlu realistik dan berpada dengan meletakkan tanda aras berjaya bila anaknya boleh solat, mengaji dan berdikari sendiri. Tidak menjadi pelajar harapan sekolah pun tidak mengapa. Raikan kemampuan mereka dan jangan terlalu fokus kepada apa yang mereka tidak mampu lakukan.
Selalu bersangka baik dengan ALLAH. Setiap yang diatur oleh ALLAH adalah yang terbaik untuk masa lalu, masa kini dan masa akan datang.
Jangan berputus asa untuk terus berdoa, agar ALLAH pelihara anak-anak ini ketika kita masih ada dan bila kita sudah tiada lagi di dunia ini. Anak istimewa ini sebenarnya tiket untuk ibu ayah ke syurga.
Baca juga: Kalau rasa 'down' nak besarkan anak, cuba baca kisah anak istimewa ni dulu
Sumber: Dr Rozanizam Zakaria
Kredit foto utama: PExels
Oleh: Norhasliza Mohd Shafi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi