Selain wanita, betulkah lelaki dan kanak-kanak perlu makan asid folik? Pakar ini beri pencerahan

Iklan
asid folik - feature

APABILA seorang wanita merancang untuk hamil, doktor akan menasihatkan untuk mengambil asid folik. Biasanya, pengambilan disyorkan tiga atau empat bulan lebih awal. Ubatan itu dianggap sebagai ‘adiwira‘ kepada kehamilan seorang ibu mengandung.

Pun demikian, menurut National Health Services (NHS), United Kingdom, bukan semua kaum Hawa boleh makan asid folik begitu sahaja. Ini kerana terdapat beberapa kategori wanita dengan ciri-ciri tertentu tidak dibenarkan berbuat demikian demi kemaslahatan diri dan anak yang dikandung.

Iklan
Iklan

Seperkara, adakah ubat berkenaan sememangnya dicipta untuk wanita? Bukan apa, jika diteliti secara terperinci, manfaat dan kebaikan asid folik bersifat umum serta sangat luas.

Bagi mendapatkan kepastian, SinarPlus mendapatkan mantan Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Sungai Petani, Kedah, Dr Salina Sany yang kini bertugas di Sunway Medical Centre Pulau Pinang (GAMBAR) untuk menjawab pelbagai persoalan.

Iklan

Menurut Dr Salina, asid folik adalah bentuk sintetik folat yang tergolong dalam kumpulan vitamin B. Ia wujud secara semula jadi dalam makanan seperti roti, kekacang dan sayuran hijau.

Iklan

Secara amnya, fungsi asid folik adalah untuk membantu dalam penghasilan sel darah merah dan sel-sel lain di dalam badan seperti kuku, rambut, kulit, saraf dan otak.

"Oleh yang demikian, ubat itu sangat penting bagi wanita hamil untuk pertumbuhan janin yang sihat dan sempurna termasuk mengelakkan masalah seperti kerosakan pada tiub neural.

"Pengambilan asid folik juga boleh meningkatkan hormon progestogen dan membantu mengelakkan ovulasi tidak sekata. Ini akan membantu potensi untuk hamil kerana hormon dan kitaran ovulasi dapat berlaku dengan lebih baik," katanya.

BACA JUGA: Anemia boleh beri impak sampingan kepada ibu dan kandungannya. Ini saranan penting pakar

Kenyataan pakar tersebut sekali gus mengetepikan pandangan masyarakat yang mengatakan asid folik tidak memicu kepada kesuburan.

Bagus untuk lelaki?

Ujar Dr Salina, sebenarnya asid folik bukan sahaja ‘dicipta‘ untuk wanita sahaja, malah untuk mereka yang berada dalam kondisi tertentu. Paling penting, ia perlu diambil secara konsisten. Antaranya seperti:

-Pesakit anemia yang didapati kekurangan asid folik (megaloblastic anemia).

-Pesakit yang didiagnos mengalami masalah kemurungan.

-Pesakit yang menghidap darah tinggi.

-Pesakit radang sendi seperti Rheumatoid artritis.

Bagaimanapun, NHS menerusi artikel khas mereka menyebut, asid folik mungkin tidak boleh dimakan oleh sesetengah orang dan wajib mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dulu. Golongan yang dinyatakan terdiri daripada:

-Pernah mengalami reaksi alahan terhadap asid folik atau sebarang ubat lain yang mempunyai tahap vitamin B12 yang rendah (anemia, kekurangan vitamin B12 atau pernicious anemia).

-Mempunyai kanser (melainkan pesakit juga mempunyai anemia kekurangan folat)

-Sedang menjalani dialisis buah pinggang yang dipanggil sebagai hemodialisis sten (tiub plastik kecil di dalam ureter).

Jelas Dr Salina, tidak hanya wanita, kaum Adam juga boleh mendapat faedah daripada asid folik. Antara impak paling ketara adalah menjurus kepada kesihatan jantung.

"Pengambilan ubatan itu akan membantu dalam metabolisme homosistein iaitu sejenis protein yang boleh merosakkan dinding pembuluh darah," katanya.

Selain itu, ia juga berfungsi dalam soal kesuburan lelaki. Pun demikian, kata Dr Salina, kajian yang lebih mendalam masih perlu dilakukan untuk menyokong fakta tersebut.

Sebelum ini, katanya, memang terdapat penyelidikan terpencil yang menunjukkan pengambilan asid folik bersama zat zink dapat meningkatkan kesuburan golongan tersebut.

Mengulas lanjut, kongsi Dr Salina, ubatan berkenaan juga berperanan membantu pertumbuhan sel rambut lelaki, sekali gus mengurangkan keguguran.

Serentak dengan itu, seandainya seseorang sedang mengambil methotrexate (sejenis ubat yang digunakan untuk merawat penyakit kanser berkaitan darah, psoriasis yang teruk dan Rheumatoid arthrisis), asid folik dapat mengurangkan rasa loya dan muntah.

Pada masa sama, ia juga dapat mengurangkan kesan sampingan ke atas peningkatan enzim hati yang disebabkan oleh ubat methotrexate.

Mengenai jumlah dos yang dicadangkan untuk dimakan, pakar itu berkata, keperluan harian asid folik yang disarankan oleh Food Drug Administration adalah 400mikrogram (mcG) setiap hari.

Sementara itu, Office on Women‘s HealthTrusted Source, Amerika Syarikat mengesyorkan golongan yang menderita spina bifida atau memiliki sejarah keluarga yang berdepan dengan masalah ketidakaturan tiub neural (seperti spina bifida dan bayi tanpa tempurung kepala) mengambil 4,000mcg sehari.

"Bagi mereka yang menyusu harus mengambil kira-kira 500mcg setiap hari," kata sumber itu.

Kanak-kanak juga boleh mengambil ubatan itu dengan syarat, mendapat preskrispi daripada doktor terlebih dulu.

Autisme

SinarPlus kemudian memfokuskan kembali soalan berkaitan wanita hamil dengan asid folik. Ujar Dr Salina, jika seseorang ibu langsung tidak makan ubat berkenaan sebagai rutin, ia bukan sahaja memberi impak kepada bayi, tetapi diri mereka juga.

"Seperti saya katakan tadi, janin dalam kandungan boleh mengalami masalah saraf tunjang dan otak seperti kerosakan tiub neural dan anencephaly (ketiadaan tempurung kepala janin), malah si ibu juga berdepan dengan risiko mendapat anemia," katanya sambil menambah, wanita yang tidak bercadang untuk hamil juga disyorkan untuk mengambil asid folik terutama bagi mereka yang tidak menggunakan kaedah perancang keluarga.

Namun, jelas pakar berpengalaman itu, secara amnya, kandungan makanan sihat yang diambil setiap hari sudah mempunyai zat asid folik yang mencukupi.

Individu yang tidak tergolong dalam kumpulan berisiko turut tidak perlu mengambil suplemen yang mengandungi asid folik .

"Pun demikian, sekiranya seseorang tidak mengambil pemakanan yang sihat, mereka berisiko untuk mendapat anemia disebabkan kekurangan zat asid folik dan zat lain yang diperlukan oleh tubuh untuk mengekalkan kesihatan yang optimum," katanya.

Persoalan seterusnya, jikalau wanita itu hamil tanpa dirancang, adakah keberangkalian anak yang bakal dilahirkan akan mengalami masalah kesihatan?

Jawab Dr Salina ringkas:"Wanita yang kekurangan asid folik akan meningkatkan risiko sebanyak dua hingga lapan kali (risiko relatif) untuk mendapat janin yang mengalami kerosakan saraf tunjang."

SinarPlus kemudian merujuk artikel bertajuk Asid Folik Berlebihan dalam Kehamilan Terkait dengan Risiko Autisme yang disiarkan di laman perubatan, WebMD.

BACA JUGA: ‘Gemuk bersama’. Dr Sheikh Muszaphar rasa tembam tiap kali Dr Halina mengandung, ini puncanya

Salah seorang penyelidiknya Daniele Fallin yang merupakan profesor di Johns Hopkins Bloomberg School of Public Health, Baltimore, AS menyatakan, kajian terbaharu menunjukkan bahawa jumlah folat (vitamin B9) dan vitamin B12 yang berlebihan dalam badan ibu mungkin meningkatkan risiko bayi mengalami gangguan spektrum autisme.

Pada masa sama, Dr Salina turut berkongsi satu lagi penyelidikan yang menunjukkan pengambilan asid folik secara berlebihan boleh menyebabkan ubat itu (asid folik) tidak dapat ‘dimetabolismekan‘ (unmetabolized folic acid) dan dikatakan boleh memberikan kesan negatif neurokognitif yang membawa kepada spektrum autisme.

"Bagi saya, keputusan kajian yang kecil ini perlu diambil secara berhati-hati kerana asid folik dan kaitannya dengan autisme masih tidak diketahui secara mendalam. Perkaitan di antara kedua-dua elemen perlu dikaji lagi.

"Justeru, saya menggalakkan wanita mengambil dos yang disarankan sahaja pada setiap hari dan tidak melebihi yang sepatutnya," terangnya.

Jelas Dr Salina lagi, dos asid folik yang berlebihan dan tidak digunakan oleh tubuh, akan dipanggil asid folik yang tidak mengalami metabolisma (unmetabolized form) dan ia boleh menjejaskan kesihatan.

"Keadaan anemia yang disebabkan oleh kekurangan vitamin B12 boleh dikelirukan dengan keadaan asid folik berlebihan itu dan pesakit boleh mandapat tanda klinikal kerosakan sistem saraf kerana kekurangan vitamin B12," jelasnya.

#kesresponden

Anak Azwa meninggal dunia selepas menderita kepala besar & dilahirkan sumbing

DISERANG penyakit bipolar sejak zaman universiti membuatkan kehidupan Azwa, 44, serba tidak kena.

Perkahwinan yang dirancang oleh ahli keluarga sendiri pada usia beliau mencecah 35 tahun tidak mendatangkan bahagia, sebaliknya lebih mengundang derita.

Situasi menjadi bertambah bergelora apabila beliau melahirkan anak dengan pelbagai masalah.

"Sebenarnya saya fikir saya mandul, itu yang tak sangka saya boleh mengandung setelah usia mencecah 40 tahun. Seperti yang saya katakan tadi, saya seorang penghidap bipolar dan pada masa sama, saya mengakui telah diabaikan bekas suami kerana penyakit saya ini," kata beliau.

Natijahnya, ujar Azwa, sewaktu berbadan dua, fikiran beliau bercelaru sehingga tidak mengendahkan kandungannya, apatah lagi berkunjung membuat pemeriksaan di hospital.

"Saya hanya tiga kali ke pusat kesihatan dan doktor nasihatkan saya mengambil asid folik dan mengambil nutrien secukupnya kerana ia penting untuk bayi dan juga saya.

"Pun demikian, saya mengabaikan nasihat berkenaan ditambah ketika itu saya seperti tidak bersedia untuk hamil dan memiliki anak lagi," akuinya.

Dipendekkan cerita, hanya selepas tujuh bulan kandungan dan itupun selepas didesak oleh kakaknya, wanita itu baru berkunjung ke hospital swasta.

Menyesal pun tidak berguna. Doktor mengesahkan anak yang bakal dilahirkan kemungkinan besar sumbing dan akan menghidap spina bifida (tulang belakang dan saraf tulang belakang tidak terbentuk secara sempurna).

Masalah kemudian bertimpa-timpa apabila anak Azwa menghidap hydrocephalus (kondisi yang menyaksikan kepala bayi membesar secara tidak normal).

"Pembedahan demi pembedahan tidak berjaya sehinggalah si kecil itu pergi meninggalkan saya dua tahun lalu. Saya reda dengan ketentuan ALLAH dan terus berdoa agar saya terus cekal," katanya sambil memberitahu, beliau diceraikan selepas pemergian anak tersayang.

Ujar Azwa lagi, disebabkan kemurungan ditambah masalah bipolar yang semakin menjadi-jadi pada waktu tertentu, beliau kini sedang mendapatkan rawatan daripada seorang pakar psikologi wanita di sebuah hospital.