Hati-hati kaum Hawa, jika ada simptom ini anda boleh dapat kencing kotor
KENCING kotor bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main kerana rasa sakitnya seperti tak tertanggung oleh badan.
Kalau nak buang air, memang rasa tak selesa langsung.
Menurut Cleveland Clinic, masalah berkenaan sering dihidapi oleh kaum Hawa.
Mengapa wanita sering berdepan dengan kemelut berkenaan?
Cleveland Clinic menjelaskan, sistem perkumuhan wanita iaitu uretra (tiub yang membawa air kencing keluar daripada badan) lebih pendek berbanding lelaki dan ia juga dekat dengan lubang dubur.
[caption id="attachment_104286" width="800"] Kredit foto: Sora Shimazaki[/caption]
Kelazimannya, pesakit kencing manis atau yang mengalami keabnormalan sistem perkumuhan akan mudah terdedah dengan kencing kotor.
Ujar CDC, jangkitan bakteria pada pundi kencing terutamanya adalah implikasi yang acap kali terjadi disebabkan kencing kotor.
Namun, jika permasalahan berkenaan telah melarat sehingga ke organ buah pinggang, ia tak lagi boleh dipandang remeh.
[caption id="attachment_104287" width="800"] Kredit foto: Sora Shimazaki[/caption]
Bercakap mengenai topik berkenaan, Pegawai Perubatan Mediklinik Sejahtera, Ipoh, Perak, Dr Amrit Kaur Ragbir Singh berkongsi pandangannya.
Menerusi video di laman sosial TikTok miliknya, Dr Amrit Kaur berkata, kencing kotor mengakibatkan seseorang rasa sakit dan pedih sewaktu membuang air kencing.
Bukan itu sahaja, pakar berkenaan turut menjelaskan beberapa gejala lain, berikut inti patinya:
i) Kencing tak lawas.
ii) Membuang air kencing dengan begitu kerap.
iii) Rasa terdesak mahu membuang air kecil.
iv) Rasa tak selesa pada bahagian bawah perut.
v) Air kencing berbau.
vi) Urin (air kencing) berwarna keruh.
vii) Mengalami kencing berdarah.
[caption id="attachment_104295" width="800"] Kredit TikTok: dr.rittz[/caption]
Bagaimanapun, untuk mengetahui seseorang ada kencing kotor, mereka tidak semestinya perlu memenuhi kesemua kriteria tersebut.
Meneruskan bicara, Dr Amrit Kaur turut berkongsi informasi sekiranya seseorang mengalami jangkitan teruk sehingga melibatkan buah pinggang.
"Individu yang mengalami kencing kotor sehingga melibatkan ginjal, mereka biasanya mengalami gejala seperti demam, sakit belakang, sakit pada pangkal peha, mual-muah, muntah dan berasa letih,” jelasnya.
Mengenai diagnosis dan rawatan, Dr Amrit Kaur berkata, langkah pertama doktor ambil adalah dengan melakukan ujian air kencing.
"Jika hasil pemeriksaan menunjukkan pesakit memang mengalami kencing kotor, kita akan teruskan dengan pemberian ubat antibiotik dan menghantar sampel urin ke makmal untuk mengetahui bakteria manakah yang menyebabkan jangkitan tersebut,” tuturnya.
[caption id="attachment_104288" width="800"] Kredit foto: cottonbro studio[/caption]
Healthline dalam penulisannya berkata, cara perawatan menangani kencing kotor adalah bergantung kepada jangkitan sama ada ia berlaku disebabkan bakteria, virus atau kulat.
Beritahu laman perubatan itu, kencing kotor yang terjadi angkara bakteria, biasanya dirawat dengan pemberian ubat-ubatan antibiotik.
"Jika seseorang mengalaminya disebabkan virus, ia boleh dirawat dengan ubat antivirus dan ubat jenis cidofovir antivirus merupakan pilihan terbaik untuk merawat kencing kotor yang berlaku angkara virus.
Kencing kotor bukanlah satu keadaan kesihatan yang boleh dipandang ringan kerana kesannya boleh menyebabkan seseorang tak selesa untuk meneruskan aktiviti harian seperti biasa.
Kalau kalian ada adik beradik atau kenalan yang mengadu sakit untuk kencing, sebaik-baiknya bawa mereka ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Baca juga: Kencing kotor: Tiada petanda-petanda awal, lebih berbahaya terutama kepada ibu hamil
Baca juga: Ini sebab-sebab kenapa anak kita kencing malam. Mak ayah jangan pandang ringan
Kredit foto utama: Andrea Piacquadio
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi