SELAIN dipenuhi jemaah yang datang beribadat, Masjid Seberang Takir yang terletak di Kuala Nerus, Terengganu cukup istimewa.
Rumah Inap Masjid Sebarang Takir yang didirikan di sebelahnya telah menjadi daya penarik kepada para pengunjung yang bertandang ke negeri itu. Buktinya, tempahan bilik untuk Ramadan pada tahun depan sudah penuh!
Lokasinya yang strategik iaitu berhampiran dengan Jambatan Angkat Terengganu, Pasar Payang, Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan Pantai Teluk Ketapang juga menjadi sebab utama premis tersebut mendapat sambutan.
Pengerusi Masjid Seberang Takir, Zakaria Dagang berkata, secara keseluruhannya terdapat 10 buah bilik yang disewa pada harga RM80 hingga RM100 semalam.
"Kami mempunyai lima buah bilik untuk katil bujang dan jenis berkembar yang terletak di tingkat dua, sementara bakinya untuk famili. Kesemua unit dilengkapi dengan kemudahan televisyen, bilik air dan pendingin hawa.
"Istimewa kepada yang menginap di tingkat atas, mereka secara jelas boleh menikmati pemandangan indah sungai, jeti nelayan dan Pasar Payang," katanya sambil memberitahu, sebahagian kawasan Masjid Seberang Takir terletak di atas air.
Ujar Zakaria lagi, sejak dibuka dua tahun lepas, rumah inap mereka sentiasa penuh sehingga terpaksa menolak banyak tempahan.
Menurutnya lagi, kebanyakan pelanggan terdiri daripada penduduk luar Terengganu yang gemarkan konsep penginapan bersebelahan dengan masjid.
"Seperkara yang mungkin ramai tidak tahu, setiap sen daripada wang pembayaran rumah inap ini akan disalurkan ke dalam tabung masjid dan pengurusan. Soal makan pun jangan susah hati kerana banyak gerai atau restoran yang sedap dan murah.
"Kiranya selain bercuti, pada masa sama, kita beramal dalam menyemarakkan rumah ALLAH,” katanya yang turut menyediakan kios jualan makanan dan kraf untuk pelancong membeli.
Baca juga Masih kekalkan rumah limas Johor dan Melaka guna tanggam, Trata` Leka imbau nostalgia lama
Ditanya sama ada mempunyai perancangan untuk menambah jumlah kamar, Zakaria berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan hal itu.
"Sebenarnya, kawasan masjid seluas 1.4 hektar ini sudah digunakan sepenuhnya dengan pembinaan kemudahan seperti galeri, dewan serba guna, pejabat pentadbiran dan jeti pelantar.
"Untuk tambah bangunan tambahan khas, ia memerlukan pengambilan tanah baharu dan semua itu memerlukan kos dan masa," ujarnya.
Baca juga Rasai kehangatan aura Lord Of The Rings dengan menginap di Humble Hobbit Home Kundasang
Namun, kepada pasangan yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan, Masjid Seberang Takir menyediakan kemudahan tersebut, selain pakej bot pelancongan ke Jambatan Angkat Terengganu.
Rumah Inap Masjid Seberang Takir
Alamat: Jalan Fikir, Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu
Harga pakej: Bermula RM80 hingga RM100
Facebook: Masjid Seberang Takir
#rekreasipilihan
Pembinaan rumah inap bersebelahan dengan masjid kini sudah menjadi satu trend. Perkembangan itu amat dialu-alukan oleh orang ramai.
Carian SinarPlus di laman sosial mendapati terdapat empat lagi masjid yang menawarkan pakej yang sama seperti Masjid Seberang Takir yang terletak di Kuala Nerus, Terengganu. Berikut butirannya:
Homestay Masjid Muhammadiah Beris Panchor
Alamat: Kampung Beris Panchor, Tawang, Bachok, Kelantan
Harga pakej: RM70 hingga RM300
Facebook: Masjid Muhammadiah Mukim Beris Panchor
Instagram: @masjidmbp
Homestay Masjid Al-Azhariah
Alamat: Jalan Kepau 18/4, Seksyen 18,
Shah Alam, Selangor
Harga pakej: Bermula RM100 hingga RM150
Facebook: Masjid Al-Azhariah, Seksyen 18
Shah Alam, Selangor
Instagram: @MasjidAlAzhariah
Blog: http://masjidalazhariah.blogspot.com/
Homestay Masjid Aman
Alamat: Jalan Kuala Kedah, Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah
Harga pakej: RM100
Facebook: Masjid Aman Alor Setar
Instagram: @masjidamanalorstar
Kamar Musafir Masjid Al-Ghufran
Alamat: No 6C, Jalan 4/71B, Pinggir Taman
Tun Dr Ismail, Damansara, Kuala Lumpur
Harga pakej: RM90 hinggaRM290
Facebook: Masjid Al-Ghufran
Instagram: @masjidalghufran
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi