Berlebihan ubat kurus buat organ dalaman rosak, obses ramping macam-macam penyakit singgah
TIDAK dapat dinafikan masih ramai yang mempercayai produk atau ubat kurus yang menjanjikan bulan dan bintang kepada pengguna.
Jika dapat kita lihat hari ini lambakan barangan ubat kurus dipromosikan secara dalam talian di media sosial sudah pasti 'menjerat' golongan wanita terutamanya yang obses kurus.
Kebanyakan pengguna yang memilih untuk membeli ubat kurus tersebut mungkin disebabkan mereka tidak mengetahui bahana pengambilan produk itu terhadap kesihatan.
Tahukah anda terdapat bahan campuran bernama laxative atau julap yang jelas kesannya membuatkan anda kerap membuang air besar.
Malah, sekiranya ia diambil dengan dos yang tinggi, tidak dikawal dan tanpa pemantauan boleh menyebabkan organ dalaman tubuh badan terjejas.
Kenapa perlu sampai menzalimi tubuh badan, andai boleh kurus dengan cara yang lebih baik? Ayuh ikuti penjelasan Doktor Erna Nadia.
Baca juga Kesan lambat tapi berat turun, tak perlu tahan makan, ini cara diet setahun hilang 40kg
Kenapa ubat kurus merbahaya?
Dalam produk untuk kuruskan berat badan ini, dua bahan utama yang biasa ada adalah;
- Sibutramine
- Phentermin
Dua bahan ini akan dan boleh menyebabkan;
- Selera makan menurun.
- Menghalang penyerapan lemak.
- Meningkatkan metabolisma badan.
- Mengubah fungsi otak untuk hilangkan selera makan.
Selain itu, bahan lain yang kerap dicampur bersama adalah laxative atau nama lain adalah julap. Bahan ini akan membuatkan seseorang membuang air besar dengan jayanya dan asyik nak membuang.
Penggunaan bahan-bahan inilah yang membahayakan kesihatan dan nyawa apabila kadar dos yang tinggi dan tidak terkawal serta tidak dipantau oleh sesiapa.
Simptom terlebih atau tersalah dos ubat kurus;
- Mual atau loya
- Berdebar-debar
- Tekanan darah menjadi rendah sangat/tinggi
- Sentiasa gelisah atau tidak senang duduk
- Sesak nafas
- Sakit dada
- Masalah atau gangguan tidur (terlebih atau terkurang)
- Kerap kencing atau buang air besar
- Bibir atau kulit menjadi kering
Ramai anggap bila ada simptom-simptom ini adalah normal kerana mereka beranggapan itulah proses yang berlaku kononnya ubat tengah berfungsi atau berkerja.
Komplikasi dari ubat atau produk kurus;
- Lama-lama organ dalam menjadi rosak dan mati.
- Usus pecah akibat terlebih berkerja.
- Buah pinggang rosak sebab tak dapat nak tapis lagi.
- Fungsi hati menjadi gagal akibat terlebih dos.
- Garam galian atau elektrolik dalam badan menjadi tidak seimbang.
Semua ini adalah komplikasi akibat dari ubat atau produk kurus. Anda memang akan kurus tetapi organ anda sekali akan rosak.
Sedih dan kecewa bila tengok pesakit datang dengan komplikasi. Segalanya sudah terlambat bila organ dalaman dah rosak.
Sama ada perlukan cuci darah atau perlukan rawatan berterusan dan yang paling sedih adalah kematian.
Amalkan gaya hidup sihat untuk turunkan berat badan
Baca juga Tak perlu sampai berlapar atau ‘seksa diri’ semata-mata mahu kurus. Ketahui 4 langkah ideal ini
Usus kita tak perlu dicuci dengan produk-produk pun. Cukup sekadar minum air kosong dengan cukup, makan cukup serat dan bersenam.
ALLAH cipta elok dah. Sama juga berat badan. Jaga makan dengan betul, bersenam, minum air dan rehat dengan baik. Masalah orang kita adalah semua nak laju bak peluru pandu. Entahlah nak ke mana tu laju laju. Sabar.
Semua perlukan proses yang betul. Tak perlu shortcut. Sayangi organ dan kesihatan anda. Semua ni ALLAH bagi kita pinjam sahaja. Jadi jagalah sebaiknya.
Kepada penjual, hati hati kerana jangan kerana anda mahu kaya raya, habis kesihatan pembeli. Juallah benda yang tidak merosakkan kesihatan orang.
Dr Erna Nadia, risau tengok muda-muda dah macam-macam penyakit.
Sumber: Facebook Erna Nadia
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.