‘Hari paling bahagia buat arwah’. Didie kongsi gambar raya 2022 bersama Ridzuan Hashim, warganet terharu kebaikan menguruskan kematian bekas suami
BERITA pemergian pelakon senior, Allahyarham Ridzuan Hashim mengejutkan para peminat industri hiburan tanah air. Rebah ketika bersarapan di rumahnya, aktor berusia 62 tahun itu meninggalkan lima cahaya mata bersama bekas isteri, pelakon, pengacara dan usahawan, Didie Alias.
Menerusi laman sosial, Didie, 51, berkongsi berita duka kematian dan perjalanan terakhir bekas suaminya itu yang selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Dusun Tua, Hulu Langat.
Mereka yang berkahwin pada pada 1991 dan berpisah pada 2002 dikurniakan lima orang anak iaitu Nur Dhaniyah, Muhammad Dhanial, Nur Dinie, Nur Dayini Ahza dan Nur Diyana. Keluarga besar ini turut diserikan dengan kehadiran empat cucu.
Baca juga: Pelakon Ridzuan Hashim meninggal dunia
Didie yang sudah berkahwin dengan bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan, Norisham Ismail dikurniakan seorang anak, Muhammad Dayyan. Biarpun sudah mempunyai keluarga sendiri beliau masih mengekalkan hubungan baik dengan Allahyarham.
Didie atau nama sebenarnya Fadzilah binti Mohd @ Ali berkongsi sekeping foto famili bersama arwah pada tahun 2022 yang menyentuh hati warganet.
"4 Mei 2022. Hari paling bahagia buat arwah. 4 Mei 2023 arwah pergi tinggalkan kami buat selama-lamanya.
"Al-Fatihah buat Allahyarham Mohd Ridzuan Bin Hashim. Semoga ayah tenang di sana (1961-2023),” titip Didie.
Tidak hanya itu, terdahulu Didie menerusi perkongsian di Instagram meminta mereka yang mempunyai hutang dengan arwah untuk menghubunginya dan meminta ampun maaf bagi pihak arwah.
Baca juga: ';Buat mummy rasa wanita terbahagia dunia akhirat. ' Result anak cemerlang, Didie Alias luah sebak!
Warganet tertarik dan memuji tindakan Didie yang menguruskan pemergian bekas suami hingga ke akhirnya walaupun sudah tiada ikatan antara mereka berdua.
-"Sepatutnya pasangan yang sudah berpisah mencontohi Didie dan arwah. Walaupun sudah bertahun berpisah dan move on tapi masih boleh bahagia berkawan, membesarkan anak bersama.”
-"Alhamdulillah disaat-saat akhir umur beliau sempat merakam kenangan dalam kebahagiaan bersama keluarga tersayang. Kenangan buat anak-anak, menantu dan cucu.”
-"Seperti Chef Wan menjaga mantan isteri hingga ke akhir hayat, begitu juga mummy prihatin terhadap arwah hingga hujung nyawa. Salute you mummy.”
-"Kenangan yang terindah. Mummy punya hati yang baik. Teruskan. Satu keluarga dapat bersama buat kali terakhir dengan arwah.”
Salam takziah buat keluarga Allahyarham. Moga kebaikan yang dilakukan Didie buat bekas suaminya menjadi inspirasi dalam melakukan kebaikan sesama insan. Al-Fatihah.
Baca juga: ‘Itu mummy berlakon je….’ – Didie Alias kongsi momen lucu anak meraung lihat lakonannya
Sumber: Instagram Didie Alias