Tibi punca utama pendarahan paru-paru dalam kalangan pesakit di Malaysia. Ada faktor lain yang perlu diwaspadai

Iklan
pendarahan paru f

APABILA pelakon Nad Zainal dikhabarkan menderita pendarahan paru-paru atau pulmonary hemorrhage (pendarahan pulmonari) sehingga perlu ditidurkan, ramai yang terkejut.

Masing-masing bertanyakan apa sebenarnya penyakit itu? Apakah faktor yang menyumbang kepada permasalahan tersebut?

Iklan
Iklan

Sejauhmana keseriusannya dan adakah ia boleh mengundang maut kepada sesiapa yang menghidapnya? Justeru, pelbagai pendapat diutarakan sehingga menimbulkan kekeliruan ramai.

Sebelum itu, merujuk National Library of Medicine, Amerika Syarikat (AS) yang memetik sebuah kajian di Perancis mengatakan, rata-rata penghidap pendarahan pulmonari ialah mereka yang berusia 54 tahun. 71 peratus pesakit ialah lelaki dan rata-ratanya merokok.

Iklan

Bagi mendapatkan pencerahan lanjut, SinarPlus mendapatkan ulasan daripada Pakar Perubatan Dalaman dan Respiratori, Pantai Hospital Pulau Pinang dan Hospital Pulau Pinang, Dr Umadevi A Muthukumaru.

Iklan

Menurut Dr Umadevi, masalah itu akan tercetus apabila pendarahan berlaku di dalam bahagian paru-paru itu sendiri umpamanya daripada vena, arteri dan kapilari. Kesannya, pesakit akan menghidap gejala batuk berdarah.

Mengulas lanjut, pakar itu memberitahu, salah satu sebab utama pendarahan paru-paru di negara ini adalah akibat penyakit tuberculosis (tibi).

Tibi adalah disebabkan oleh jangkitan kuman Mycobacterium tuberculosis. Penyakit tibi menyebabkan seseorang pesakit mengalami gejala batuk berdarah.

Selain daripada tibi, pendarahan paru-paru mungkin berpunca daripada penyakit vaskulitis seperti Systemic lupus erythematosus (sejenis penyakit autoimun), bronchiectasis, kanser, trauma dan jangkitan kuman.

Banyak faktor

Dalam pada itu, Asthma and Lung UK, National Library of Medicine (NIH), AS berkata, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada krisis kesihatan tersebut.

Ujar NIH, sebenarnya terdapat banyak kemungkinan. Bagi kanak-kanak, jangkitan adalah faktor biasa.

"Pun demikian, doktor tidak selalu dapat mengenal pasti puncanya. Situasi ini dikenali sebagai pendarahan pulmonari idiopatik," kata mereka.

Jelas sumber itu lagi, pendarahan mungkin datang dari satu kawasan sahaja atau localized hemorrhage atau pelbagai tempat (diffuse hemorrhage).

Punca-puncanya pendarahan setempat adalah seperti berikut:

-Berlaku jangkitan seperti pada radang paru-paru, batuk kering, cystic fibrosis (penyakit keturunan yang menyebabkan paru-paru dan sistem pencernaan tersumbat oleh lendir yang melekit) atau lain-lain bentuk bronchiectasis (kerosakan secara kekal pada saluran bronkial paru-paru dan membesar secara abnormal).

-Kecacatan paru-paru kongenital.

-Trauma fizikal. Sebagai contoh, kecederaan akibat kemalangan kenderaan.

-Kelemahan pada saluran darah.

-Tumor paru-paru.

Menurut NIH lagi, pendarahan serius akan menyebabkan pesakit mengalami batuk berdarah.

Sekiranya pemeriksaan doktor mendapati golongan tersebut tiada masalah keradangan paru-paru, ia mungkin disebabkan oleh beberapa sebab. Antaranya:

-Keadaan paru-paru jarang berlaku yang dipanggil haemosiderosis pulmonari idiopatik.

-Komplikasi selepas pemindahan sumsum tulang.

-Hipertensi pulmonari.

Laman web berprestij yang menjadi rujukan pengamal perubatan global itu turut berkongsi hasil kajian prospektif di Itali terhadap punca pendarahan pulmonari yang dialami 606 pesakit dari lima hospital negara itu. Berikut output yang diperoleh:

-Kanser paru-paru (19.1 peratus).

-Pneumonia (peradangan paru-paru yang disebabkan oleh infeksi) (18.6 peratus).

-Bronchiectasis (14.9 peratus).

-Bronkitis akut (peradangan atau iritasi pada bronkus yang berlangsung selama 10 hingga 14 hari. Juga dikenali sebagai chest cold (13.7 peratus).

-Tuberkulosis (penyakit menular yang disebabkan oleh infeksi dan berpotensi serius terutama pada organ paru-paru) (5 peratus).

Berdasarkan satu lagi penyelidikan Greek, bronchiectasis dan neoplasma, nampaknya menjadi punca utama pendarahan paru-paru sederhana hingga teruk (sederhana ditakrifkan sebagai 20 hingga 500ml dalam tempoh 24 jam dan teruk ditakrifkan sebagai lebih daripada 500ml dalam 24 jam).

Neoplasma adalah pertumbuhan abnormal, namun bukan kanser yang mungkin terjadi pada pelbagai bahagian tubuh badan.

Menurut NIH lagi, jika kanak-kanak mengalami pendarahan paru-paru, kemungkinan secara jelas kita akan melihat darah pada hidung atau muka mereka. Dalam sesetengah kes, si kecil juga mungkin boleh mengalami kesukaran untuk bernafas.

"Bagaimanapun, penyakit ini tidak berapa jelas kerana ramai pesakit tidak mengalami batuk darah," kata sumber itu.

Jika masalah terus berpanjangan (bermula secara beransur-ansur dan berterusan untuk tempoh masa lama) penghidap lazimnya berdepan dengan masalah batuk, demam, berat badan menyusut dan letih.

Selain itu, mereka akan mengalami sesak nafas ketika melakukan senaman.

Jika kanak-kanak turut sama menghidap anemia, wajah golongan tersebut akan bertukar menjadi pucat.

BACA JUGA: Pelakon Izuan Fitri tidak sedarkan diri, kuman tibi merebak ke otak

BACA JUGA: Kronologi kejadian, bahaya tidur dalam kereta, remaja maut pendarahan paru-paru terhidu gas

Virus Covid-19 mempengaruhi?

Apakah punca atau simptom yang menunjukkan seseorang pesakit dalam keadaan berbahaya? Persoalan itu dijawab oleh Dr Umadevi.

Katanya, pendarahan yang disebabkan oleh keradangan dan kerosakan saluran darah di dalam paru-paru, secara tidak langsung akan menyebabkan darah mengalir ke dalam alveoli (tempat pertukaran oksigen dan karbon dioksida).

Kepada satu soalan, Dr Umadevi menjelaskan, jangkitan virus Covid-19 boleh mempengaruhi penyakit paru-paru berdarah, namun bilangannya tidak banyak.

Berdasarkan beberapa kes sebelum ini, pesakit yang pernah mengalaminya dilaporkan berada dalam kondisi kritikal.

"Jikalau pesakit telah sembuh sepenuhnya daripada Covid-19, lazimnya tidak memberi impak yang negatif," ujar beliau.

Mengenai kelangsungan hayat dan potensi untuk sihat seperti sedia kala, Dr Umadevi berkata, pesakit boleh sembuh selagi punca penyakit dirawat dengan rawatan yang berkesan.

Dalam pada itu, MyHealth menerusi laman webnya berkongsi perawatan yang selalu diberikan kepada pesakit paru-paru berdarah.

Menurut sumber itu, rawatan bergantung kepada kuantiti darah yang keluar dan punca paru-paru berdarah tersebut. Ia terbahagi kepada tiga:

-Menghentikan pendarahan.

-Memastikan pesakit tidak menyedut semula darah ke dalam paru-paru.

-Merawat punca penyakit yang menyebabkan batuk berdarah

Dalam pada itu, Hello Doktor dalam penulisannya berkata, kesembuhan seseorang pesakit bergantung kepada banyak perkara. Antaranya seperti:

-Jenis pendarahan yang dialami. Adakah ia serius? Adakah pendarahan tersebut berasal daripada satu atau banyak punca?

-Skala keterukan pendarahan penghidap?

Apakah punca pendarahan? Seperti kata sumber berkenaan, paru-paru berdarah merupakan satu keadaan yang serius.

"Penyakit itu boleh mengundang maut atau menyebabkan masalah kesihatan yang total," katanya.

Walaupun demikian, dalam kebanyakan kes, ujar Hello Doktor, pendarahan tersebut berpunca daripada masalah kecil yang masih boleh dirawat.

Berdasarkan pengamatan, pendarahan akan berhenti setelah penyakit yang menjadi puncanya sembuh.

#kesresponden

MEMANDANGKAN pendarahan paru-paru jarang berlaku lebih-lebih lagi di Malaysia, SinarPlus merujuk sebuah jurnal penyelidikan yang disiarkan oleh Science Direct, Amerika Syarikat.

Berikut dua kajian kes membabitkan pesakit pendarahan paru-paru yang turut dikaitkan dengan isu kesihatan yang lain:

Pendarahan ‘besar-besaran’ berlaku, pesakit diminta lakukan pembedahan

SEORANG lelaki berumur 57 tahun telah dikejarkan ke Unit Rawatan Kecemasan (ICU) di sebuah hospital akibat demam, batuk dan sesak nafas.

Sejarah perubatannya agak samar, namun beliau merupakan seorang perokok sejak 12 tahun lalu.

Sebaik tiba di ICU, pesakit berkenaan segera diberi antibiotik untuk meredakan suhu badan.

Ujian bronchoscopy dilakukan bagi memeriksa salur udara larinks dan paru-paru. Ia dilaksanakan agar doktor dapat mendiagnosis dengan tepat sebarang keabnormalan keradangan, tumor dan masalah lain berkaitan pernafasan dan paru-paru yang mungkin dihidapi atau tidak disedari pesakit.

Semasa biopsi transbronchial, pendarahan ‘besar-besaran‘ telah berlaku (sekitar 600 mililiter).

Dua dos tranexamic (agen antifibrinolytic) yang diluluskan untuk rawatan diselitkan melalui bronkoskop ke segmen yang terjejas. Pendarahan berhenti serta-merta.

Sampel biopsi menunjukkan terdapat karsinoma (barah) paru-paru bukan sel kecil.

Pesakit telah dibenarkan keluar, tetapi perlu menjalani pembedahan kanser paru-paru.

Alami batuk berdarah yang ketara, lelaki berusia 52 tahun maut

PESAKIT ini merupakan seorang perokok tegar. Disebabkan bergelut dengan masalah pernafasan, demam dan kahak bernanah, lelaki berusia 52 tahun itu dimasukkan ke hospital.

Beliau dirawat dengan antibiotik dan diberi bantuan oksigen.

Sebelum itu, hasil diagnosis pada tahun 1999 mendapati, terdapat limfoma (kanser darah bermula dari sel sistem imun).

Sejak dikesan, pesakit itu menjalani kemoterapi termasuk autologus BMT (transplantasi sumsum tulang autologus).

Pada hari ke-10, beliau ditempatkan di hospital, dirinya mengalami batuk berdarah yang ketara.

Ujian biopsi bronchoscopy yang dilakukan tiga hari kemudian menunjukkan terdapat squamous cell carcinom iaitu sejenis kanser kulit yang tidak dapat dibezakan dengan baik.

Pesakit akhirnya meninggal dunia akibat sepsis.

Sepsis merujuk kepada suatu keadaan yang mengancam nyawa bila mana tindak balas badan manusia terhadap suatu jangkitan menyebabkan kerosakan kepada tisu dan organ dalam sistem itu sendiri.

BACA JUGA: Meninggal dunia mengejut, catatan terakhir arkitek sarat hamil menyentuh hati, luah ‘angin tak lepas’

Foto PEXELS, FREEPIK & 123RF