Kawal kemurungan, kemarahan dan kesunyian pesakit demensia. Teknik daripada hospital ini boleh bantu mereka

Iklan
demensia feature

APABILA diri semakin menua, demensia antara salah satu penyakit yang berpotensi menimpa seseorang.

Berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih daripada 55 juta penduduk dunia mempunyai isu kesihatan itu.

Iklan
Iklan

60 peratus daripadanya tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Perangkaan turut menyaksikan, hampir 10 juta kes baharu dilaporkan setiap tahun.

Iklan

Menurut WHO, demensia berpunca daripada pelbagai penyakit dan kecederaan yang menjejaskan otak. Alzheimer adalah bentuk (demensia) yang paling biasa.

"Demensia kini merupakan punca utama kematian ketujuh dan salah satu sebab utama warga emas hilang upaya di seluruh dunia," kata sumber itu.

Iklan

Untuk mengupas lanjut mengenai topik Medik kali ini, SinarPlus mendapatkan Ahli Terapi Pertuturan Bahasa, Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Sherin Sokmum (gambar).

 

Sherin mendefinisikan demensia sebagai masalah kecelaruan otak yang menyebabkan penyusutan dari segi kemampuan minda merangkumi masalah hilang ingatan, kekeliruan dan perubahan keperibadian.

Selain itu, ia melibatkan penurunan kemampuan berfikir, kesukaran berkomunikasi, kesulitan pengawalan emosi, kehilangan keterampilan sosial dan perubahan tingkah laku.

Ujar beliau, dalam sebuah kajian di Amerika Syarikat yang bertajuk Apa Itu Demensia? Simptom, Jenis dan Diagnosis, menyatakan,penyakit itu berpunca akibat sel-sel otak (neuron) yang mati.

"Walaupun secara fitrahnya, semua orang kehilangan beberapa neuron ketika usia meningkat, namun bagi pesakit demensia, kehilangan neuronnya pada kadar lebih besar," jelas beliau.

[caption id="attachment_115274" width="602"] DEMENSIA dideritai oleh kebanyakan warga emas di seluruh dunia. Foto: PIXABAY[/caption]

Terlupa jalan pulang

Kepada satu soalan, Sherin berkata, gejala demensia tercetus dengan cara berbeza-beza bergantung pada bahagian otak yang terjejas.

Perlu diingatkan, bahawa kebanyakan jenis demensia tiada rawatan khusus!

Seperkara, terang ahli terapi tersebut, penghidap bukan sengaja melupakan maklumat atau cuba mengganggu orang lain. Dari sisi lain, mereka juga mungkin tidak menyedari tindakan yang ditunjukkan selama ini.

"Ingin saya tegaskan, pesakit ialah orang dewasa yang memiliki banyak pengalaman hidup, keinginan dan keperluan. Justeru, kita perlu bantu tingkatkan kualiti hidup mereka," ujarnya.

[caption id="attachment_115279" width="601"] TERDAPAT sesetengah pesakit demensia ada yang terlupa jalan pulang ke rumah. FOTO: Andrea Piacquadio daripada PEXELS[/caption]

Penulis yang mempunyai ibu dengan demensia, secara jelas dapat perhatikan bahawa beliau akan terlupa tentang peristiwa yang berlaku pada hari kejadian.

Wanita kesayangan penulis itu juga akan melakukan kerja yang sama dan mengulangi soalan serupa dalam sehari.

Sherin berkata, terkini, terdapat peningkatan kejadian warga emas demensia yang hilang dari rumah. Antara faktornya, mereka terlupa alamat dan jalan pulang.

Mengulas lanjut, beliau menerangkan, penghidap memang sering dikaitkan dengan kehilangan orientasi pada arah, masa dan orang.

"Mereka mungkin juga tak mengetahui di mana ahli keluarga berada, dengan siapa mereka berkomunikasi dan tak mustahil menganggap famili sebagai orang asing.

"Di samping itu, sesetengah daripada penderita tak dapat membezakan waktu dengan baik. Ada juga yang mengalami kepayahan dalam menjalankan tugasan seperti memasak, makan, mengurus rumah mahupun memakai baju," katanya.

Menyentuh tentang transisi dalam tingkah laku, Sherin memberitahu, golongan itu juga mudah marah, cemas atau takut tanpa sebab yang pasti.

Adakalanya mereka berasa tidak bebas atau terkongkong berikutan sentiasa ditegur apabila ingin berbuat sesuatu.

Amarah akan membuak-buka jika keinginan tidak dipatuhi kerana menganggap diri sendiri sudah dewasa, berakal dan boleh berdikari.

Elak kemurungan

Tidak keterlaluan untuk penulis katakan, pesakit demensia ibarat seperti seorang anak kecil yang perlu ditatang sepenuhnya. Justeru, tugas ahli keluarga memang akan bertambah berat. Selain tahap kesihatan, pergerakan mereka juga harus dipantau.

Kata-kata Sherin seterusnya disokong 100 peratus. Ujar beliau, penjaga perlu berterusan memberi sokongan emosi kepada penghidap meski mereka sendiri barangkali stres atau kelelahan.

Bagaimana pula dengan peranan terapi pertuturan bahasa dalam membantu penghidap demensia? Beritahu Sherin, di HCTM, mereka menawarkan Combine Dementia Rehabilitation (CDR).

CDR merupakan program yang dikhususkan kepada golongan tersebut dengan mengimplementasikan pendekatan persekitaran semula jadi.

Selain itu, panduan atau rutin yang boleh meningkatkan peluang interaksi antara pesakit demensia, ahli keluarga dan kumpulan sokongan lain akan diberikan.

"Cara itu menggalakkan enviromen yang selamat bagi pesakit meluahkan idea dan perasaan secara lisan atau bukan lisan.

"Melalui program itu juga, pesakit dapat menggunakan kebolehan kognitif yang masih ada bagi mengelakkan kemerosotan selanjutnya," kata beliau.

Berikut disenaraikan aktiviti-aktiviti lain dalam CDR yang dijalankan selama enam bulan (dua jam setiap sesi):

-Menyokong keupayaan individu untuk merancang, mengingat, mencipta rutin dan menggunakan kemahiran motor.

-Menggalakkan pesakit membuat pilihan dan keputusan sewajarnya serta memberi peluang kepada mereka untuk mengambil bahagian dalam aktiviti sosial dengan orang lain.

-Mengurangkan kesunyian dan kemurungan.

-Menekankan strategi interaksi berkesan kepada ahli keluarga/penjaga. Ia penting bagi mengelak timbulnya salah faham, kekeliruan, kekecewaan dan pengasingan dalam kalangan pesakit demensia.

[caption id="attachment_115281" width="711"] ANTARA aktiviti yang dijalankan dalam CDR. Foto: SHERIN SOKMUM[/caption]

Interaksi berkesan

Menyambung hujah, Sherin berkongsi lanjut tentang strategi interaksi yang disifatkan lebih berkesan berbanding berkomunikasi secara biasa.

Berdasarkan pengalaman beliau, acapkali ahli famili akan mengatakan ‘Oh! Dulu dia (pesakit) tidak macam ini, malah dia (pesakit) yang paling aktif.‘

Nasihat beliau, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menerima hakikat terhadap peralihan kondisi pesakit.

"Dengan menerimanya, kita akan mudah beradaptasi dengan perubahan yang pesakit alami. Mungkin sukar, tapi tak mustahil," katanya.

Sehubungan itu, strategi interaksi berkesan adalah penting dalam meningkatkan kualiti hidup pesakit.Antaranya dengan mengekalkan hubungan dan komunikasi yang baik.

Secara tidak langsung, golongan tersebut akan berasa lebih dihargai dan sentiasa rasa selesa serta terhubung dengan dunia sekeliling mereka.

Di samping itu, ia menolong mengurangkan tingkah laku yang tidak bersesuaian seperti kebimbangan, kemarahan dan kerungsingan.

[caption id="attachment_115283" width="711"] ANTARA aktiviti yang dijalankan dalam CDR. Foto: SHERIN SOKMUM[/caption]

Secara asasnya, ujar Sherin, strategi interaksi yang boleh dipraktikkan adalah berlandaskan kepada konsep 3K ('kiu', kecil dan kadar kelajuan).

'Kiu' adalah cara untuk memberi bantuan sama ada secara visual (menggunakan gambar, tulisan, isyarat, gaya badan) dan bantuan secara verbal (seperti memberi pilihan si ibu mahu minum teh atau kopi).

Kecil pula bermaksud memberi arahan atau bertanya soalan dengan pecahan bahagian tertentu.

"Contohnya, mahu suruh mereka rendam ayam. Kata padanya ‘mula-mula, ibu buka peti sejuk, ambil ayam beku dan akhir sekali, rendam dalam air.‘

"Apabila kita sudah memberi arahan secara berperingkat, kita perlu berhenti seketika. Itu pula terkait dengan kadar kelajuan," terangnya.

Proses berkenaan saran Sherin, haruslah diberi perhatian agar pesakit demensia dapat memproses bahasa dengan lebih baik.

"Ia juga dapat memberi fokus kepada isi penting agar kita tidak perlu mengulangi (arahan) berkali-kali," katanya.

BACA JUGA: Disahkan hidap demensia, video terbaru isteri bawa Pak Lah berjalan di taman buat ramai sebak

BACA JUGA: 1 daripada 14 warga tua usia lebih 65 tahun alami demensia. Ini penjelasan pakar

#kesresponden

Ibu alami strok sebelah badan sebelum ingatan meluncur turun

HATI ini berdetak laju tatkala menerima panggilan telefon pada suatu malam tahun 2006. Jantung bagai mahu terhenti sebaik dikhabarkan ibu saya dikejarkan ke wad hospital.

Andaian kondisinya tidak seteruk mana, ternyata silap.

Beliau mengalami strok sebelah badan selepas menikmati beberapa ulas durian.

Makanan itu dihindari sejak sekian lama lantaran mempunyai penyakit darah tinggi.

Namun, entah apa yang menyogok fikirannya, ibu berani mematahkan prinsip sendiri.

Selepas hampir 24 tahun saya melihat ibu ulang alik bekerja di sebuah klinik, membantu orang kampung, tidak pernah lekang menghadiri majlis keramaian, berkemas dan memasak untuk kami lima beradik, semua nikmat tersebut hilang sekelip mata.

Pun demikian, paling merentap emosi saya, beliau menjadi semakin pelupa dalam masa yang cukup singkat.

Ibu akan bertanya soalan yang sama. Namun, syukur dirinya masih mengingati semua anak termasuk nama saudara mara.

Apabila pemeriksaan dilakukan, beliau disahkan mengalami demensia. Ingatannya terhenti setakat tahun 2006.

Ketika itu, saya masih bekerja di stesen televisyen swasta dan menyewa bilik di Serdang, Selangor. Dua hal berkenaan yang paling diingatinya tentang saya.

Permintaan terakhir sebelum beliau sakit adalah menyuruh saya ‘mencuci‘ gelang emasnya disebabkan rumah saya terletak di bawah kedai emas.

Bayangkan, lebih sedekad, setiap kali berjumpa, ibu akan memberi arahan sama, sedangkan permohonan itu sudah lama dilakukan.

Namun, seperkara yang hebat, cerita-cerita lama tentang ibu dan bapanya termasuk kisah kami sewaktu kecil berjaya diimbau dengan baik.

Terus terang, saya, abang, kakak dan adik berdepan dengan cabaran yang bukan biasa-biasa. Ia merupakan ujian terhebat buat kami sekeluarga.

Benar, pesakit demensia memang beremosi. Mereka berasakan lebih ‘makan garam‘, mudah merajuk, kadang-kadang rasa dirinya diabaikan dan selalu berkata bukan-bukan.

Perubahan sebegitu begitu sukar untuk dikendalikan pada awalnya. Secara beransur-ansur, kami reda dengan ujian daripada-NYA.

Jika ditanya keadaan beliau sekarang, ibu saya hanya mampu baring dan duduk sahaja dengan ingatannya tetap begitu juga. Selera makan semakin merosot.

[caption id="attachment_115284" width="633"] Foto: Cottonbro Studio daripada PEXELS[/caption]

Ajaibnya kuasa Tuhan, kehadiran cucu-cucu seperti satu ‘sakti‘ yang membolehkan beliau terus ceria dan tersenyum walau sebelum itu mengadu sakit.

Barangkali kasih dan cintanya kepada mereka membuatkan ibu saya dapat mengingati tiga anak kecil itu yang lahir ketika dirinya sudah menderita demensia.

Apa yang saya boleh katakan, penghidap penyakit berkenaan perlu mendapat sokongan moral daripada ahli keluarga.

Pesanan saya, bersabarlah dan jangan berkecil hati dengan sikap mereka. Terima dan 'telan' sahaja.

Kepada wanita cantik keturunan Tionghua, Mazenah Baba, kami mahu terus hidup dan bersama anda ratusan purnama lagi walau demensia itu tidak akan sembuh.-MAZLINA ABDUL MAJID